Carian
Rekaan Sebenar OnePlus Nord 2 Pac-Man Edition Diperlihatkan
November 16, 2021 Effi Saharudin

Selepas diacah minggu lalu, rekaan OnePlus Nord Pac-Man Edition akhirnya diperlihatkan secara rasmi. Kerana ia edisi khas, beberapa ciri menarik khusus pada peranti ini telah dilakukan oleh OnePlus. Pertama sekali ialah panel belakang dengan ikon Pac-Man serta biji putih yang dimakan oleh watak ini dalam permainan. Apabila di dalam gelap, panel belakang yang sama ini akan menyala menunjukkan rekaan pagar sesat (maze) serta penjenamaan Nord.

Selain itu antaramuka yang bertemakan Pac-Man juga disertakan. Ia bukan sekadar imej latar belakang beranimasi tetapi juga dilakukan pada ikon, sistem dan nada deringan. Apabila peranti dicas, ikon Pac-Man akan diperlihatkan pada skrin menggantikan ikon pengecasan OnePlus WarpCharge. Selain itu penuras Pac-Man juga disertakan dalam aplikasi kamera. Akhir sekali sebuah kerangka khas dan tempat meletakkan peranti dengan rekaan Pac-Man disertakan dengan setiap pembelian.

Dari segi spesikasi ia masih lagi sebuah Nord 2 dengan skrin 6.43-inci 90Hz, dijana dengan cip MediaTek Dimensity 1200, memori 12GB RAM, dan storan 256GB. Melengkapkan penawaran telefon pintar ini adalah tri-kamera utama dengan sensor 50+8+2 MP dan kamera hadapan 32MP. OnePlus Nord 2 5G turut hadir dengan sokongan bateri 4500mAh, dengan pengecasan pantas 65W. Peranti dijual pada harga ₹37,999 (~RM2131) sebuah.

Komen