Cari @ Amanz

Huawei mungkin dikenali sebagai sebuah syarikat teknologi dan pembuat peranti pintar yang terpaksa membangunkan cip pemprosesan dan sistem operasi mereka selepas sekatan ketat yang dikenakan oleh kerajaan Amerika Syarikat sehingga kini. Harmony OS kini dapat dilihat melalui pelbagai peranti mereka, seperti peranti pintar, televisyen pintar, jam pintar dan juga sistem rumah pintar mereka.

Akan tetapi, dalam sektor komputer riba, mereka dilihat masih lagi aktif bekerjasama dengan syarikat-syarikat seperti Intel dan Microsoft dalam membangunkan penawaran komputer riba yang sebelum ini dilihat hadir dengan harga mampu milik, walaupun ia hadir dengan spesifikasi yang boleh dikatakan cukup hebat untuk kegunaan produktiviti harian.

Siri komputer riba ini, yang dinamakan Huawei MateBook kini hadir dengan penawaran lebih premium yang dinamakan Huawei MateBook 14S yang bukan sahaja dikuasakan oleh siri CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake dan sejumlah fungsi-fungsi menarik yang turut memanfaatkan kehadiran ekosistem Huawei sekiranya anda menggunakan peranti-peranti mereka yang lain.

Nama ModelHuawei MateBook 14s
Saiz Paparan14.2-inci LTPS Huawei FullView Display
2520 x 1680 piksel
Nisbah aspek 3:2
Skrin sesentuh
PemprosesIntel Core i7-11370H 
Cip GrafikIntel Iris Xe Graphics
RAM16GB
Muatan Dalaman1TB PCIe SSD
Kamera720p
Palam I/OUSB 3.2 (USB-C) x 1 (Thunderbolt 4)
USB 3.0 (USB-C) x 1
USB 2.0 (USB-A) x 2
Bicu audio 3.5mm
HDMIHDMI x 1
SekuritiImbasan Cap jari (Windows Hello)
Bateri60 Wh
Huawei USB-C Power Adapter 90W 
HargaRM6999

Spesifikasi Dan Rekaan

Bermula dengan spesifikasi komputer riba ini, pengguna mempunyai dua pilihan model berdasarkan penawaran CPU dan memori. Model pertama, yang dihantar kepada kami untuk ulasan ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-113700H dengan penawaran memori 16GB. Model kedua dikuasakan oleh CPU Intel Core i5-11300H dengan memori sebanyak 8GB.

Dari segi penawaran storan pula, model Intel Core i7 hadir dengan storan SSD NVMe sebesar 1TB, manakala model Intel Core i5 hadir dengan storan sebesar 512GB. Kedua-dua model ini hadir dengan penawaran cip pemprosesan grafik Intel Iris Xe terbaru terbina, membolehkannya juga menggerakkan sejumlah permainan komputer pada resolusi dan tetapan sederhana.

Salah satu aspek yang membuatkan komputer riba ini sebuah komputer riba produktiviti premium ialah penawaran paparan skrin 14.2 inci komputer riba ini. Dinamakan FullView Display, ia menggabungkan penggunaan panel LTPS-LCD, resolusi yang tinggi (2520 x 1680), nisbah aspek paparan yang meninggi (3:2) dan rekaan hampir nirbingkai dari empat arah yang mana 90 peratus daripada permukaan skrin ini adalah paparan aktif.

Dari segi palam I/O pula, MateBook 14s ini hadir dengan satu palam USB 3.0 Type-A, satu palam USB 3.0 Type-C dan satu palam USB 3.2 Type-C, yang mana ia juga adalah palam Thunderbolt 4 keluaran Intel. Ia juga hadir dengan palam HDMI yang boleh digunakan untuk melanjutkan paparan kedua sekiranya diingini.

Berbalik kepada penawaran Thunderbolt 4, fungsi ini nampaknya hanya ditawarkan pada model MateBook 14s yang menggunakan CPU Intel Core i7, dan tidak pada model Intel Core i5. Untuk orang ramai ini bukanlah sesuatu yang besar, tetapi jika anda seorang profesional kreatif yang memiliki aksesori yang memanfaatkan Thunderbolt 4, anda mungkin akan mahu mendapatkan model yang dikuasakan CPU Intel Core i7.

Huawei MateBook 14s juga hadir dengan kamera web 720p terbina di bahagian atas, dan juga pengimbas cap jari pada bahagian butang kuasa komputer riba ini. Dipadankan dengan sistem operasi Microsoft Windows 11, komputer riba ini juga hadir dengan sokongan Windows Hello yang membolehkan pengguna melog masuk kedalam komputer tanpa memerlukan kata laluan.

Dari segi rekaan, keseluruhan rangka komputer riba ini diperbuat daripada aluminum, dan dengan ketebalan 16.7mm dan berat 1.4kg, Huawei MateBook 14s boleh dikatakan adalah sebuah komputer riba produktiviti yang bukan sahaja dilihat berkuasa, tetapi juga cukup padat dan ringan untuk dibawa kemana-mana.

Satu lagi kelebihan komputer riba ini hadir melalui pengecasan USB-C, dimana anda mempunyai pilihan untuk menggunakan pengecasan 90W yang disertakan bersama-sama komputer riba ini, atau menggunakan pengecas USB-C anda sendiri tanpa masalah.

Ini cukup berguna untuk mereka yang hanya mahu menggunakan satu kepala pengecas untuk mengecas semua peranti-peranti mereka sekaligus melalui pengecas yang hadir dengan beberapa palam USB seperti sebuah pengecas GaN, misalnya.

Pengalaman Pengguna

Beberapa minggu saya menggunakan komputer riba ini, boleh saya katakan bahawa dari segi prestasi, ia agak mengejutkan bagaimana Huawei berjaya memuatkan sebuah cip pemprosesan Intel siri-H kedalam rangka komputer riba nipis dan ringan ini, yang secara lazimnya akan dimuatkan dengan cip pemprosesan siri-U, untuk komputer riba kelas Ultrabook.

Sebagai contoh, saya mempunyai tabiat buruk membuka banyak tab pada pelayar web saya (20-30 secara lazimnya) dan dengan gabungan memori 16GB dan juga sleeping tabs pada pelayar web Microsoft Edge, saya boleh melayar semua laman web-laman web ini tanpa isu sela masa.

Dalam pada itu, paparan FullView komputer riba ini juga berani saya katakan adalah diantara paparan skrin pada sebuah komputer riba dalam kelas ini yang tercantik saya pernah gunakan. Gabungan paparan LTPS-LCD dan nilai kecerahan 400 nit, disamping sudut pandangan 178 darjah membolehkan pengguna untuk bukan sahaja memanfaatkan paparan ini untuk pelbagai tujuan kerja, tetapi juga menikmati pelbagai kandungan hiburan video, tidak kira di YouTube, Netflix dan sebagainya.

Jika anda memiliki sebuah tablet Huawei seperti Huawei MatePad yang terbaru, anda juga boleh memanfaatkan fungsi File Sharing dan juga Screen Sharing dan menyambungkan tablet tersebut secara Bluetooth ataupun kabel untuk menghantar fail dari satu peranti ke peranti yang lain, atau menggunakan tablet sebagai cara untuk menambah paparan komputer riba dengan cepat dan mudah.

Secara peribadi, saya menggunakan fungsi perkongsian skrin setiap hari dengan tablet MatePad di pejabat untuk memudahkan saya membaca dan menulis berita harian tanpa perlu menukar tab. Dari segi produktiviti, ia telah sedikit sebanyak meningkatkan produktiviti kerja saya, dan saya pasti akan berasa agak sedih apabila kedua-dua produk ini perlu dipulangkan kelak.

Dari segi jangka hayat bateri, berdasarkan penggunaan saya, (kecerahan skrin 50 peratus, WiFi dipasang), saya boleh menggunakan komputer riba ini selama sekitar 5-6 jam, bergantung kepada corak penggunaan yang termasuklah mengemaskini laman web Amanz dengan berita, mendengar lagu melalui Spotify dan tontonan YouTube dan Netflix yang terhad.

Untuk pengecasan, menggunakan plag pengecasan 90W yang terbina, saya boleh mengecas bateri 60Wh komputer riba ini dari kosong hingga penuh dalam sekitar sejam lebih, dan saya boleh menggunakan komputer riba ini selama sekitar sejam lebih dengan pengecasan selama setengah jam sahaja.

Berdasarkan corak penggunaan saya, saya juga boleh mengatakan bahawa Huawei MateBook 14s ini tidak pernah sekali berasa panas, walaupun apabila menggerakkan permainan seperti Genshin Impact. Paling-paling pun, komputer riba ini berasa suam, dan menunjukkan bagaimana sistem penyejukan komputer riba ini berfungsi dengan agak baik.

Mungkin satu-satunya masa apabila komputer riba ini berasa panas ialah apabila saya menggunakan perisian penanda-aras, tetapi itu hanya digunakan sekali dua, dan bukanlah indikator bagaimana komputer riba ini berfungsi dalam penggunaan nyata.

Webcam

Jika ada satu aspek mengenai komputer riba ini yang saya tidak begitu gemari, ia adalah webcam 720p yang terbina. Apabila saya menggunakannya untuk mesyuarat atas-talian menggunakan Google Meet, kamera webcam tersebut memperlihatkan warna yang sangat pudar dan dilihat mempunyai penuras melicinkan kulit yang tidak boleh dipadamkan.

Anehnya, apabila saya berubah menggunakan aplikasi kamera terbina, warna dilihat lebih menyerlah, tetapi masih lagi pudar jika dibandingkan dengan kamera peranti pintar, khususnya. Saya tidak faham mengapa ia berlaku, tetapi apabila saya melihatkan bahawa kamera Huawei MateBook ini hadir dengan resolusi 720p sahaja, saya tidak begitu berkira mengenainya.

Walaupun begitu, saya juga perlu mengatakan bahawa webcam ini akan kelihatan agak berpiksel apabila digunakan dalam keadaan bilik yang mana pencahayaannya tidak begitu baik.

Audio

Paparan skrin FullView yang sangat cantik pada MateBook 14s ini haruslah dipadankan dengan sistem audio yang sedap didengari juga. Dan untuk ini, Huawei telah memperkenalkan sistem pembesar suara Huawei Sound yang memperlihatkan empat pemandu audio yang diletakkan di bahagian sisi komputer riba ini dan menghala keatas.

Dua daripada pemandu audio ini hadir dengan saiz besar dan dua lagi mempunyai saiz yang lebih padat, yang memberikan kedalaman dan kepadatan bunyi yang secara lazimnya hanya didengari pada komputer riba kelas premium.

Satu lagi bahagian sistem audio Huawei Sound ialah penggunaan sistem empat mikrofon terbina yang menjanjikan pengalaman perbualan digital yang lancar. Tidak seperti webcam 720p yang terbina, sistem mikrofon MateBook 14s ini cukup baik sekali.

Malah, Huawei mengatakan bahawa salah satu kelebihan sistem mikrofon ini ialah ia boleh menangkap bunyi dari jarak 5 meter, dan ini memberi ruang kepada pengguna untuk bergerak sekeliling apabila berada dalam mesyuarat. Anda mungkin akan bertanya sama ada ini akan menyebabkan mikrofon ini untuk menangkap bunyi latar yang tidak dimahui, dan benar, apabila digunakan begitu sahaja, sistem mikrofon ini akan melakukannya.

Untuk mengatasi masalah ini, Huawei turut memperkenalkan ciri Personal Voice Enhancement yang menggunakan sistem kecerdasan buatan untuk memastikan bahawa sistem mikrofon ini hanya menangkap suara anda sahaja dan bukan suara latar. Pada percubaan kami, sistem kecerdasan buatan ini adalah 50-50 dalam fungsinya, dan ini mungkin adalah kerana ciri PVE ini masih akan mengambil masuk perbualan di latar belakang kerana menyangkanya ialah suara pengguna.

Saranan kami ialah anda gunakan sahaja fon telinga dengan mikrofon terbina untuk memastikan bahawa percakapan anda dalam mesyuarat atas-talian anda tidak terganggu dengan bunyi-bunyi luaran.

Skor Penanda Aras

Berikut ialah skor penanda-aras menggunakan PCMark 10 untuk prestasi keseluruhan komputer dan juga CrystalDiskMark untuk kelajuan storan SSD terbina komputer riba ini:

PCMark 10

CrystalDiskMark

Ia dapat dilihat bahawa skor CPU Intel Core i7-11370H adalah agak tinggi khususnya kerana cip pemprosesan tersebut hadir dengan kemampuan prestasi yang lebih baik berbanding dengan cip pemprosesan siri U. Kelajuan storan SSD terbina juga memperlihatkan komputer riba ini hadir dengan kelajuan SSD PCIe 3.0 sepantas yang mungkin menggunakan teknologi penghantaran data tersebut.

Satu perkara yang aneh ialah SSD yang digunakan dalam Huawei MateBook 14s ini dipisahkan menjadi dua bahagian, satu khusus untuk bahagian sistem operasi sebanyak 120GB, manakala selebihnya digunakan untuk storan data yang lain.

Saya katakan ini aneh kerana fungsi partitioning secara lazimnya digunakan untuk cakera keras dimana cara data disimpan dalam cakera keras menggunakan sektor fizikal. Storan SSD tidak menggunakan pengasingan sektor, dan sebaliknya data mereka disimpan dalam bit dan byte yang boleh diakses dengan mudah pada bila-bila masa sahaja tanpa masalah lengah masa.

Ini bukanlah suatu masalah untuk sesebuah SSD, cuma seperti yang dikatakan, storan ini tidak perlu diasingkan dengan cara ini.

Penutup

Pada tanda harga permulaan RM4999 untuk model Intel Core i5 dan RM6999 untuk model Intel Core i7 generasi terbaru, Huawei MateBook 14s ialah sebuah komputer riba yang dilihat pada kelas yang berbeza berbanding dengan penawaran komputer riba MateBook mereka sebelum ini.

Saya tidak akan menafikan bahawa tanda harga untuk Huawei MateBook 14s ini hadir pada tahap komputer riba produktiviti kelas bangsawan seperti Dell XPS ataupun Apple MacBook Pro. Dari segi kemampuan untuk menyiapkan tugas-tugas produktiviti harian, komputer riba ini mampu lakukannya tanpa masalah, dan dalam masa yang sama, penawaran ciri-ciri yang memanfaatkan ekosistem peranti Huawei membuatkannya sebuah peranti yang menambahkan nilai untuk pengguna tegar jenama ini.

Akan tetapi, perlu juga saya katakan bahawa sekiranya anda mahukan sebuah komputer riba yang boleh digunakan untuk tujuan yang sama, tetapi dengan sejumlah fungsi yang sama seperti Screen dan File Sharing pada harga yang lebih mampu milik, Huawei hadir dengan penawaran lain juga seperti Huawei MateBook 14, D14, D15 dan sebagainya.

Akan tetapi, jika anda mempunyai wang untuk memiliki komputer riba premium yang menawarkan semua fungsi dan ciri-ciri terbaik dan terbaru yang boleh ditawarkan oleh Huawei dan Intel, Huawei MateBook 14s mungkin sahaja komputer riba yang anda akan mahu dapatkan hari ini.

Pro

  • Prestasi produktiviti yang memuaskan
  • Gabungan paparan dan sistem audio yang mantap
  • Ciri-ciri tambahan menarik
  • Pengecasan 90W yang pantas
  • Manfaat ekosistem peranti Huawei

Kontra

  • Mahal
  • Model Intel Core i5 tiada sokongan Thunderbolt 4
  • Kualiti webcam tidak baik
  • Gabungan mikrofon dan sistem AI yang kadang-kala tidak berfungsi dengan baik
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd