Black Shark adalah jenama yang cukup terkenal untuk peranti dan aksesori gaming telefon pintar kerana setiap produk dijual pada harga yang mampu milik berbanding jenama seperti Asus ROG Phone. Mereka bersaing sengit dengan Nubia dan jenama-jenama lain yang turut berkecimpung dalam arena yang sama.

Terkini, meluaskan lagi katalog produk gaming mereka – Black Shark Malaysia mula menawarkan TWS terbaru Black Shark JoyBuds. Ia adalah iterasi lebih berbanding model Lucifer T1 yang dijual sebelum ini. Seperti biasa, TWS ini memfokuskan sokongan sambungan sela masa ultra-rendah agar pengalaman bermain permua lebih memuaskan. Pemacu audio yang digunakan kali ini adalah 14.2mm, hadir dengan mikrofon pembatalan hingar persekitaran, serta ketahanan bateri sehingga 28 jam.

JoyBuds memfokuskan kepada bass yang lebih dalam melalui pemacu dengan plat diafragma titanium. Ia juga hadir dengan sokongan kawalan sentuhan untuk mengawal muzik, panggilan telefon atau mengaktifkan mod permua. Ia bukan jenis dalam telinga dan lebih kepada jenis terbuka seakan Earpod. Harga jualan di Malaysia adalah RM299 dengan pilihan warna hitam atau putih.
Kali ini, Black Shark Malaysia turut ingin menawarkan sesuatu kepada para pemain permainan video di PC dengan melancarkan tetikus gaming pertama mereka Black Shark Mako M1 Gaming Mouse. Seperti TWS mereka, tetikus ini turut menyokong sambungan sela masa ultra-rendah. Memberi perlindungan tambahan kepada pengguna, tetikus ini turut mempunyai perlindungan IPX4 untuk kalis peluh.

Ia merupakan tetikus nirwayar dengan Bluetooth 5.2, bateri sehingga 35 jam yang boleh ditukar dan dicas melalui USB-C serta sokongan lampu RGB. Bagi yang ingin menggunakan tetikus ini tanpa risiko terputus sambungan, penggunaan wayar turut disokong. Sensor di bawah tetikus ini adalah jenis optikal dengan 10k DPI dan menggunakan kerangka dengan corak berlubang indung madu.

Black Shark Mako M1 ini turut mempunyai perisian Black Shark Gaming Software untuk pengguna kawal lampu RGB, serta mengubah fungsi butang-butang di sisi, butang di bawah di roda tatalan, mengawal kelajuan tatalan, dan banyak lagi. Harga jualan adalah RM199 sahaja.