Carian
Google Menjelaskan Kenapa Pengecasan Pantas Pixel 6 Lembab
November 18, 2021 Fahim Zahar

Google Pixel 6 dan Pixel 6 Pro adalah telefon pintar Google Pixel yang paling hangat. Ia laris terjual sehinggakan di beberapa negara, kedai atas talian Google Store setiap penghantaran tempahan boleh mencapai sehingga Januari 2022.

Peranti ini dijana dengan Google Tensor, iaitu cip pemprosesan Google tersendiri, tri-kamera atau dwi-kamera 50MP, rekaan serba baharu dan bateri yang lebih besar. Tetapi peranti ini bukanlah yang sempurna dan masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pesaing.

Contohnya, ia hadir dengan sistem pengimbas cap jari bawah skrin yang perlahan dengan alasan sekuriti yang lebih ketat dan baru-baru ini mereka edarkan kemaskini untuk baiki beberapa masalah. Masalah lain pada Pixel 6 ini adalah, sistem pengecasan “pantas” mereka yang turut perlahan.

Walaupun menggunakan Power Delivery sama seperti iPhone, dan di atas kerta Pixel 6 jauh sedikit lebih pantas – tahukah anda iPhone 13 di Makmal Amanz boleh dicas lebih pantas berbanding kedua-dua Pixel 6? Google kini telah memberi penjelasan kenapa sistem pengecasan mereka perlahan. Pixel 6 dan Pixel 6 Pro menggunakan sistem pengecasan Power Delivery jenis PPS iaitu Programmable Power Supply atau mudah faham kuasa adaptif.

Menurut Google, sistem pengecasan pantas adaptif dapat menjamin kesihatan bateri dan juga akan memastikan peranti tidak akan ada masalah. Begitu juga jika pengguna menggunakan Pixel Stand baharu untuk pengecasan nirwayar pantas.

Pixel 6 dan Pixel 6 Pro akan mengecas 1%-50% dalam masa 30 minit dengan pengecas Google 30W USB-C Power Charger, kemudian 50%-80% akan capai dalam masa satu jam mengikut penggunaan peranti dan juga suhu peranti dan akhir sekali 80%-100% akan menjadi berkali ganda lebih perlahan dan kuasa pengecasan dihadkan untuk kesihatan bateri.

Buat pertama kali saya alami satu pengalaman penggunaan peranti Android, di mana pengecasan peranti Android lebih perlahan daripada iPhone.

Komen