Lagu yang didengari lebih sedap dinikmati jika boleh dinyanyikan bersama seperti sesi karaoke. Tetapi satu isu pada aplikasi Spotify ialah sokongan lirik dengan kerjasama Musicmatch telah dihentikan pada tahun 2016. Selepas sekian lama menghilang, Spotify hari ini mengumumkan ciri paparan lirik lagu kini diaktifkan kepada semua pengguna.

Sebelum ini paparkan lirik hanya diberikan kepada pengguna di beberapa pasaran tertentu sahaja. Kali ini ia diaktifkan pada aplikasi telefon pintar, tablet, desktop dan konsol. Tiada keperluan untuk melanggan kepada akaun Premium kerana pengguna percuma juga boleh mengakses ciri ini sekarang.
Pada aplikasi telefon pintar pengguna hanya perlu mengemaskini aplikasi kemudian menatal ke atas dari skrin Now Playing untuk melihat lirik yang bergerak serentak dengan muzik yang sedang didengari. Pada aplikasi desktop, terdapat ikon mikrofon baharu berhampiran butang kawalan kelantangan audio.