Facebook Menguji Ciri Yang Membenarkan Pengguna Mengawal News Feed Peribadi

Diterbitkan pada Nov 19, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Meta hari ini mengumumkan mereka sedang menguji beberapa ciri baharu News Feed pada sebilangan kecil pengguna Facebook. Menerusi ciri ini, pengguna boleh mengawal berapa banyak kandungan dari kawan, ahli keluarga, Groups, dan Pages boleh dipaparkan pada News Feed peribadi.

Dengan kawalan lebih granular ini, ia seakan mengembalikan kebebasan kepada pengguna yang selama ini perlu bersetuju dengan kandungan yang disarankan oleh algoritma Facebook. Anda mungkin tidak mahu melihat kemas kini status dari Makcik Kiah dan mengarahkan Facebook mengurangkannya dari News Feed. Anda juga mungkin tidak mahukan terlalu banyak berita mengenai filem yang dibeberkan oleh laman tertentu dari muncul di susur masa. Kuasa kini di tangan pengguna sepenuhnya.

Facebook

Ujian diberikan kepada sebahagian kecil pengguna terlebih dahulu sebelum dikembangkan kepada kumpulan lebih besar sebelum akan diberikan kepada semua. Turut diumumkan oleh Meta hari ini ialah memberikan pengiklan kawalan lebih baik di mana iklan mereka akan dipaparkan. Mungkin pengiklan tidak mahu produk mereka diiklankan bersebelahan berita politik, tragedi atau mana-mana yang boleh dianggap negatif.

Kawalan ini diberikan selang beberapa minggu selepas Frances Haugen yang merupakan bekas kakitangan Facebook mendakwa syarikat mementingkan keuntungan dengan meletakkan berita sensasi negatif di susur masa. Iklan juga dipaparkan bersebelahan kandungan sensasi negatif keran akan dilihat lebih banyak pengguna.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami