Di dalam pasaran TWS, Jabra boleh dikatakan antara jenama ternama yang berada di kelas premium, dan kerap menawarkan aksesori audio yang baharu setiap tahun. Untuk tahun ini, mereka melancarkan pelbagai siri Elite terbaru dan di sini saya ingin mengulas mengenai Jabra Elite 3.

Spesifikasi
Jabra Elite 3 | |
---|---|
Jenis | TWS dalam telinga |
Pemandu | 6mm |
Mikrofon | 4 mikrofon |
Bateri | 7 Jam/ 28 jam dengan pod |
Port pengecas | USB-C |
Pengecasan nirwayar | Tiada |
CODEC | Qualcomm aptX, SBC |
Sistem operasi disokong | Semua |
Sokongan pembantu maya | Ya/ Alexa, Assistant. Siri |
Pad sesentuh | Ya 2X |
Kemampuan kalis air | IP55 |
Storan Dalaman | Tiada |
Audio Offline | Tiada |
Pengimbas nadi | Tiada |
Harga Jualan | RM 389 |
Rekaan
Jabra Elite 3 disasarkan sebagai peranti audio kelas permulaan, di mana fungsinya tidak sebanyak versi yang lain namun tidak sedikitpun mengurangkan kegunaan hariannya. Ia hadir dalam bekas kelongsong yang juga bertindak sebagai pengecas, mampu memberikan waktu operasi berterusan sehingga 7 jam, dengan waktu bersedia 28 jam termasuk dengan tempoh ketika ia dicaj dalam bekas kelongsong.
Berbanding dengan Jabra Elite 65t yang pernah saya ulas sebelum ini, kualiti binaan dari kelongsong sehinggalah kepada earbuds ini agak jauh berbeza. Mungkin berikutan harganya, kualiti binaan haruslah bersesuaian namun memang dapat dirasakan kualiti binaan Jabra Elite 3 terutamanya pada bekas kelongsongnya sedikit lebih ‘murah’.

Keseluruhan putik audio diperbuat daripada plastik dengan bahagian hujung yang memasuki telinga pula daripada bahan silikon. Tiga pasang putik silikon disertakan dengan setiap pembelian dan saya menggunakan saiz sederhana yang sedia terpasang. Secara keseluruhan putik audio Elite 3 adalah ringan dan selesa jika dibandingkan dengan 65t yang lebih besar. Amat bersesuaian jika anda jenis yang ingin tidur mendengar muzik.
Pada bahagian sisinya pula terdapat pad sesentuh. Menerusi pad sesentuh pengguna boleh menjeda, melangkau, menyeru aplikasi Spotify dan menyeru pembantu maya pada peranti pintar yang ditambat. Ini ialah ciri standard TWS moden dan saya tidak mempunyai sebarang masalah mengawal audio menggunakan pad sesentuh yang disertakan.

Apa yang dimaksudkan di sini adalah meskipun ia hadir dalam kemasan matte yang mengurangkan kesan-kesan cap jari, pengalaman memegang dan membukanya memang boleh dirasakan murah. Namun begitu, untuk earbuds tidak terdapat kekurangan dalam kualiti. Mungkin ini salah satu cara bagi membolehkan peranti ini dijual pada harga kelas permulaan. Apapun pujian harus diberikan kepada bentuknya yang kini mudah untuk diletakkan di permukaan yang rata. Ini sememangnya berbeza dengan rekaan terdahulu.
Bercakap mengenai fungsi, Jabra Elite 3 ini juga hadir dengan sokongan codec aptX yang berupaya melakukan tambatan pantas menerusi fungsi Android terbina iaitu Fast Pair, dan juga kualiti bunyi yang agak bagus. Namun sokongan aptX ini hanya berfungsi dengan lebih baik untuk Android, dan ada penanda untuknya. Tiada sokongan juga untuk AAC atau LDAC yang kini menjadi codec pilihan untuk mendengar audio beresolusi tinggi. Sekali lagi sebagai langkah penjimatan, sokongan codec juga terhad jika dibandingkan dengan TWS yang lebih premium.

Sebagai salah satu peranti Jabra yang ditawarkan untuk kelas permulaan, Jabra Elite 3 ini tidak mempunyai sebarang pembatalan hingar aktif akan tetapi ia mempunyai penebat bunyi menggunakan putik telinga yang agak baik. Malah ia selesa dipakai untuk satu jangka masa dan, bentuk serta saiznya kini boleh diberikan pujian kerana tidak terlalu besar dan selesa. Antara Jabra Elite 65t dan Elite 45e, saya rasakan rekaan Jabra tahun ini lebih selesa, kecil, tidak terlalu ‘menyumbatkan’ telinga.

Namun begitu walaupun tiadanya pembatalan hingar aktif, TWS ini masih menyertakan fungsi HearThrough, iaitu fungsi yang membenarkan bunyi dari luar didengari. Fungsi ini biasanya disertakan pada TWS yang mahal, dan membenarkan fungsi HearThrough ini sedikit sebanyak membantu membuatkan pengguna sedar dengan keadaan di sekeliling. Anda hanya perlu menekan butang di sebelah kiri untuk mengaktifkan fungsi ini, atau mematikannya.
Jika anda kerap menggunakan peranti Jabra, kebiasaannya akan terdapat pernyataan suara yang akan memberikan maklum balas kepada pengguna. Pengguna dapat mendengar sebutan seperti ‘HearThrough’, ‘Noise Cancelling On’, dan juga tahap bateri serta arahan suara untuk tambatan TWS namun kesemua sebutan suara ini tidak akan didengari apabila anda menukar mod ‘HearThrough’ sebaliknya digantikan dengan nada bunyi.
Audio
Bercakap mengenai kualiti bunyi, ia mungkin tidak dapat menandingi kualiti peranti TWS yang lebih premium, boleh dikatakan ia dapat memberikan audio yang baik. Boleh dikatakan hampir menyamai, atau lebih baik dari AirPods dan lebih baik jika pengguna memilih tetapan runut bunyi yang terdapat menerusi aplikasi Jabra Sound+. Menerusi aplikasi ini, terdapat 6 pilihan bunyi namun pengguna tidak bebas untuk menetapkan Equalizer sendiri.

Dari pengamatan saya, 6 pilihan bunyi ini boleh dikatakan mencukupi bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam peranti audio, kerana kesemua tetapan pilihan runut bunyi ini bukan sahaja berbeza malah, memberikan berupaya memberikan identiti kepada lagu yang anda dengari. Seperti contoh Energize yang boleh dikatakan seolah-olah kombinasi antara Treble Boost dan Bass Boost, atau pilihan bunyi Smooth yang hanya kurang sedikit memenuhi rongga telinga anda.
Bateri
Dari segi ketahanan bateri, pada hemat saya ia menepati apa yang ditawarkan, dengan penggunaan berterusan selama 6 jam dan diperpanjangkan dengan kelongsong selama 28 jam. Saya sendiri hanya beberapa kali mengecas peranti ini, dan tidak berasakan pernah kehabisan bateri. Penegcasan semula dilakukan menerusi port USB-C pada bahagian belakang.
Tiada ciri mercu seperti pengecasan nirwayar di sini. Walaupun mengecas menggunakan kabel, waktu pengecasan semula adalah 3.5 jam yang saya rasakan terlalu lama. TWS lain keluaran Samsung, Apple dan Redmi tidak mengambil masa yang amat panjang ini. Dengan pengecasan telefonpun boleh dilakukan dalam masa kurang sejam sekarang, misteri mengapa pengeluar TWS tidak memberikan pengecasan yang lebih pantas.
Kesimpulan
Boleh disimpulkan untuk Jabra Elite 3, ia merupakan percubaan terbaik Jabra untuk memasuki peranti kelas permulaan dan ditawarkan pada harga RM 389 dengan 4 pilihan warna serta jaminan selama 2 tahun. Untuk TWS dengan ketahanan air IP55, ia mungkin sedikit mahal berbanding pesaing lain namun perlu diingatkan ini adalah dari Jabra yang sedia popular dengan peranti audio, sebelum jenama lain tumbuh bagai cendawan.
Pro
- Berupaya meredam bunyi luaran dengan baik meskipun tanpa pembatalan hingar aktif.
- Menyokong tambatan Fast Pair / AptX.
- Pelindungan ketahanan air IP55.
- Saiz lebih kecil mudah dibawa.
Kontra
- Kualiti kelongsong yang tampak nipis dan tidak kukuh.
- Tiada pembatalan hingar aktif.
- Ketiadaan Equalizer.
- Ketiadaan arahan suara bagi memberikan petunjuk kepada pengguna.
