Carian
El Salvador Akan Membina Bandar Bitcoin Hijau Dengan Kuasa Gunung Berapi
November 22, 2021 Effi Saharudin

El Salvador menjadi negara pertama di dunia menggunakan bitcoin sebagai mata wang rasmi. Eksperimen cukup berani oleh Presiden Nayib Bukele ini akan diteruskan pula dengan rancangan membina Bandar Kripto pertama dunia yang akan menjadi pusat perlombongan kriptowang yang menggunakan sumber tenaga berapi.

Rancangan yang seakan sains fiksyen ini akan dibina di kawasan La Union, timur El Salvador. El Salvador akan mengeluarkan bon bernilai $1 bilion dengan $500 juta akan dibelanjakan untuk membina infrastruktur Bandar Bitcoin lengkap dengan kemudahan melombong bitcoin hijau dan $500 juta lagi dibelanjakan untuk membeli lebih banyak bitcoin.

Stesen janakuasa geotermal dari gunung berapi akan digunakan untuk menjadi kuasa elektrik bandar bitcoin ini. Kerajaan El Salvador mengalu-alukan kedatangan pelabur kripto ke bandar ini apabila ia siap dibina kelak. Sebuah lapangan terbang akan dibina dengan pusat bantar mempunyai logo bitcoin bersaiz gergasi.

Sebelum ini China menjadi pusat perlombongan kriptowang dunia sebelum arahan dikeluarkan kerajaan pusat untuk menghentikan kesemua aktiviti dengan segera. Semua bentuk kriptowang tidak sah digunakan di China dan semua aktiviti telah diharamkan. Antara alasan yang diberikan ialah melombong kripto mencemarkan alam sekitar dan bagi memastikan China memenuhi sasaran pengurangan kabon dioksida yang dipersetujui dengan Amerika Syarikat, pembaziran tenaga menerusi perlombongan kripto perlu dihentikan.

Sumber Reuters

Komen