Cari @ Amanz

Beberapa hari yang lalu, MediaTek dilihat memperkenalkan cip pemprosesan paling berkuasa mereka, Dimensity 9000 yang merupakan cip pemprosesan pertama yang dibangunkan menggunakan proses 4nm TSMC.

Terkini, MediaTek dan Micron, syarikat pembuat cip memori dan storan mengumumkan bahawa mereka telah mengesahkan penggunaan memori LPDDR5X bersama-sama dengan cip pemprosesan Dimensity 9000 tersebut. Micron ialah diantara syarikat pertama yang membangunkan memori DDR5, dan dengan penawaran LPDDR5X mereka, ia dilihat bahawa memori ini akan digunakan dalam peranti-peranti mercu bermula tahun hadapan.

MediaTek Dimensity 9000

Pada kadar kelajuan penghantaran data 8.5Gb/s, Micron mengatakan memori LPDDR5X yang dibangunkan mereka hadir dengan prestasi 33 peratus lebih pantas berbanding dengan penawaran memori LPDDR5 sedia ada, Peningkatan kelajuan memori ini dilihat penting untuk peranti-peranti masa hadapan yang dijangka akan diperlukan untuk menggerakkan pelbagai jenis aplikasi yang akan memakan jumlah memori yang cukup banyak sekali.

Dengan ini, ia disahkan bahawa MediaTek Dimensity 9000 ialah SoC pertama yang akan menyokong penggunaan memori berkapasiti dan berkelajuan tinggi ini, dan akan diperlihatkan dalam sejumlah peranti kelas mercu bermula tahun 2022.

Ini dilihat selari dengan pengumuman bahawa jenama-jenama pembuat peranti terkemuka seperti Samsung, Oppo, Xiaomi, Vivo dan OnePlus yang mengesahkan bahawa mereka akan menggunakan cip Dimensity 9000 ini didalam peranti-peranti mereka.

Sumber: TechPowerUp

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd