Poco Bakal Memperkenalkan Komputer Riba?

Diterbitkan pada Nov 27, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada hari ini, ramai sedia mengemari penawaran telefon pintar Poco, disebabkan penawaran dan harga jualannya. Dalam terus memperluaskan jenama mereka, Poco sebelum ini melalui temuramah telah mengatakan akan memperluaskan penawaran produk dibawah peranti berhubung dan ekosistem Poco pada 2022.

Selari dengannya, kini melalui pengesahan pendaftaran bateri di India, pihak Poco dilihat bakal melancarkan sebuah komputer riba tidak lama lagi. Di India, bateri dibawah siri komputer riba Redmi G dilihat didaftarkan dibawah jenama Poco, sekaligus membawa kepada spekulasi ini.

Redmi G merupakan siri komputer riba dengan fokus terhadap permainan video daripada Redmi. Sekiranya ini adalah komputer riba Poco yang dijenamakan semula, maka kita mungkin melihat penawaran skrin 16.1-inci dengan kadar segar semula 144Hz, dijana cip Intel Core i5 atau Ryzen 7, memori 16GB RAM, dan storan 512GB.

Apa pun, buat masa ini, ia sekadar spekulasi awal sahaja berdasarkan pendaftaran di India. Terdapat kemungkinan juga kita tidak melihat sebarang komputer riba Poco dalam masa terdekat ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami