NSO Group yang hanya beberapa tahun yang lalu langsung tidak diketahui kewujudannya kini mula menjadi bualan ramai kerana perisian hasad Pegasus ciptaan mereka. Ia pada awalnya digunakan oleh pihak berkuasa negara untuk mengintip peranti pintar milik penjenayah sebelum disalah gunakan untuk mengintip musuh politik, aktivis, dan wartawan. Akibatnya NSO Group telah dimasukkan ke dalam senarai entiti kerana mengancam keselamatan negara.
Terkini Apple turut bertindak menyaman NSO Group kerana Pegasus mendatangkan ancaman ke atas peranti yang dihasilkan oleh mereka. Saman difailkan bagi pihak pengguna bagi menghentikan ancaman ke atas privasi pengguna Apple dari berterusan. Pada waktu yang sama Apple memfailkan injunksi ke atas NSO Group dan menggunakan sebarang peranti, perkhidmatan dan perisian Apple.
Kerentanan FORCEDENTRY pada peranti Apple telah digunakan oleh NSO Group untuk memasang Pegasus pada peranti sasaran tanpa disedari pengguna. Ia telahpun ditambal oleh Apple sejurus selepas laporan Citizen’s Lab mendedahkan senarai ahli politik, aktivis dan wartawan yang menjadi sasaran Pegasus.
Kerana ia telah menjadi kes yang memalukan negara, Kementerian Pertahanan Israel kini hanya membenarkan 37 negara terus menggunakan perisian intipan keluaran negara mereka. Arab Saudi, UAE dan Morocco yang dahulunya menjadi pelanggan kini dihalang dari mengaksesnya.