Jurutera UK Mendakwa Berjaya Mengesan Lokasi MH370 Terhempas

Diterbitkan pada Dis 6, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pejam celik sudah tujuh tahun pesawat MH370 hilang tanpa sebarang kesan. Sehingga ke hari ini lokasi pesawat masih menjadi misteri dengan hanya puing-puing kecil yang hanyut berjaya ditemukan memberikan petunjuk pesawat Boeing 7777 Malaysia Airlines Berhad ini terhempas ke laut. Kini Richard Godfrey, seorang jurutera aeronautik dari United Kingdom mendakwa beliau berjaya mengesan lokasi akhir pesawat.

Richard Godfrey

Untuk mendapatkan lokasi terakhir MH370, beliau menganalisa data sistem satelit Inmarsat, data prestasi Boeing, data puing yang hanyut di laut dan data WSPR net. Apabila kesemua data ini digabungkan, Godfrey berkata MH370 terhempas di kedudukan 33 darjah selatan dan 95 darjah timur di Lautan Hindi. Beliau menyarankan kawalan carian sebesar 40 batu nautika pada lokasi tersebut bagi mencari MH370.

Sungguhpun bangkai pesawat ditemukan, adalah mustahil untuk menaikkannya semula ke permukaan kerana lautan berkedalaman sehingga 4000 meter. Tambahan lagi kos untuk melakukan carian adalah terlalu tinggi lebih-lebih lagi selepas dua usaha mencari sebelum ini menemui kegagalan selepas ratusan juta dibelanjakan kerajaan Australia, China dan Malaysia.

Selepas kehilangan MH370, pelbagai penambahbaikan dilakukan pada operasi pesawat komersial seperti penggunaan sistem penjejakan masa nyata Iridium-Aireo yang kini mula digunakan syarikat penerbangan.

Sumber BBC

komen


© Amanz / 2022 Kami