Baru-baru ini, beberapa jam tangan baharu Garmin didapati telah tertiris dalam sejumlah imej pengolokan tular. Salah satu daripada adalah Garmin Venu 2 Plus. Ia bakal menjadi model terkini di bawah siri Garmin Venu 2 yang telah diumumkan sekitar bulan April yang lalu. Seperti namanya, juga sudah semestinya hadir dengan beberapa penambah-baikan berbanding model sedia ada. Spesifikasinya juga kini telah pun tertiris menerusi laman WinFuture.
Garmin Venu 2 Plus akan mempunyai muka jam berbentuk bulat sebesar 1.3-inci AMOLED beresolusi 416 X 416 piksel yang turut sama menyokong fungsi Always On Display. Di samping itu, ia juga dikhabarkan hadir dalam saiz 44mm bersama tubuh yang diperbuat daripada bahan keluli tahan karat. Seterusnya, skrinnya juga akan disertakan lapisan kaca dari Corning Gorilla Glass 3 sebagai pelindung utama. Bateri yang disertakan pula mampu untuk bertahan sehingga 9 hari dengan satu pengecasan penuh.
Penambah-baikan utama pada Garmin Venu 2 Plus adalah sokongan tiga butang fizikal yang terbina pada sisi muka jam dan salah satu daripadanya berfungsi untuk menyeru pembantu maya. Di samping itu, Garmin Venu 2 Plus juga dikhabarkan hadir dengan kemampuan membuat dan menjawab panggilan telefon menerusi jam tangan. Bukan itu sahaja, ia juga kelak menyokong fungsi membalas mesej dengan cepat menggunakan suara.
Lain-lain fungsi adalah sama seperti Garmin Venu 2 dan Venu 2S, di mana jam tangan ini akan menyediakan lebih daripada 25 fungsi sukan terbina, kebolehan memantau tahap tekanan dan tidur, menyokong GPS , VO2 Max dan sebagainya. Selain daripada itu, ia juga akan dilengkapi penarafan kalis air sehingga 50 meter dan memori dalam yang mencukupi. Buat masa ini, belum ada sebarang informasi lanjut berkaitan tarikh pelancarannya yang ditemui.