Telegram Menguji Ciri Reaksi Emoji Seakan iMessage

Diterbitkan pada Dis 24, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tidak dinafikan, Telegram Messenger juga adalah salah satu aplikasi pemesejan popular yang kerap digunakan oleh orang ramai. Selepas dikatakan sedang menguji ciri yang membolehkan beberan disembunyikan. Kini, terdapat satu lagi ciri menarik lain yang sedang diuji yang dikenali sebagai reaksi emoji pada mesej.

Dengan ciri ini, ia membolehkan pengguna meletakkan emoji bagi meluahkan emosi terhadap sesuatu mesej yang diterima. Maka, sesuatu mesej itu akan menjadi lebih interaktif dan sesuai dengan pengguna mengikut cita rasa masing-masing. Setakat ini, terdapat 11 reaksi emoji yang telah tersedia secara lalai – ini termasuklah hati, ketawa, ibu jari dan lain-lain.

Dalam pada itu, terdapat juga kemungkinan untuk pengguna melihat respon yang diberikan oleh mana-mana individu kepada setiap mesej yang di hantar dalam sesebuah saluran. Di samping, pentadbir juga dikhabarkan akan mempunyai pilihan untuk mengehadkan penggunaan serta menapis mana-mana reaksi emoji tertentu.

Buat masa ini ia masih dalam fasa ujian dan perkongsian hanya memperlihatkan ia diuji pada peranti iOS. Namun, kita boleh menyasarkan ia akan diperluaskan ke lebih banyak platform yang disokongnya – termasuklah peranti Android. Masih tidak dapat dipastikan bilakah Telegram akan menawarkan ciri ini kepada umum.

Sumber : Android Police

komen


© Amanz / 2022 Kami