Siri Vivo V23 5G Akan Dilancarkan Pada 5 Januari Hadapan

Diterbitkan pada Dis 27, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Vivo kini telah menjadualkan sebuah acara pelancaran yang bakal berlangsung di India pada 5 Januari hadapan. Melaluinya, Vivo bakal memperkenalkan siri Vivo V23 yang bakal menjadi kemas kini baharu untuk rangkaian peranti pintar keluaran mereka. Terdapat sekurang-kurangnya dua model berbeza yang akan diumumkan – iaitu Vivo V23 dan Vivo V23 Pro.

Laman pengiklanan rasmi peranti juga telah mula diterbitkan. Pada masa sama, reka bentuk dan sebahagian spesifikasi turut dikongsi. Ia menunjukkan peranti akan mempunyai dua rekaan tubuh yang berbeza. Pertama, peranti dengan kemasan sisi tubuh melengkung bersama panel hadapan yang menyokong dwi-kamera swafoto dengan sensor 50MP. Seterusnya, terdapat juga peranti dengan tubuh berkotak dan skrin yang rata. Tidak dapat dipastikan sama ada ia juga akan mempunyai dwi-kamera swafoto atau sebaliknya.

Bercakap lebih lanjut mengenai kedua-dua peranti, terdapat juga dua pilihan warna yang akan tersedia – salah satunya adalah Sunshine Gold. Di samping itu, Vivo juga dikatakan menggunakan bahan berasaskan kaca yang mampu berubah warna pada peranti berkenaan. Lain-lain informasi yang dikongsi adalah peranti akan dilengkapi sistem tri-kamera di belakang, cip MediaTek Dimensity 1200, rangkaian 5G terbina dan memori 8GB RAM dengan tambahan memori maya mencapai 4GB.

Bagi mengetahui penawaran peranti-peranti ini dengan lebih khusus, sama-sama nantikan pelancaran rasmi kelak. Sekadar selingan, Vivo V23e juga telah ditawarkan secara rasminya di Malaysia. Terdapat dua variasi model yang disediakan seperti Vivo V23 berharga RM1399, sementara itu Vivo V23 5G pula dijual pada RM1599.

Sumber : Vivo India

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami