Selepas komputer riba, kini Realme mengambil langkah berani dengan menceburi segmen tablet melalui pengenalan Realme Pad. Jelas menunjukkan Realme kini mahu memperluaskan lagi penawarannya buat para pengguna. Realme Pad lebih menyasarkan kepada penggunaan yang minimum. Ini termasuklah penggunaan multimedia, permainan ringan, pembelajaran dan sebagainya. Permulaan harga yang ditawarkan juga lebih mesra poket dengan beberapa gabungan yang menarik. Jadi bagaimana prestasi peranti dalam dunia nyata? Ini adalah artikel ulasan untuk Realme Pad selepas penggunaan beberapa bulan.

Spesifikasi Ringkas Peranti:
Telefon Pintar | Realme Pad |
Skrin | 10.4-inci IPS LCD, WUXGA+ (2000 x 1200 piksel), (~224 ppi) |
Pemproses | Mediatek Helio G80 (12nm) |
Cip Grafik | Mali-G52 MC2 |
RAM | 3GB / 4GB RAM / 6GB RAM |
Muatan Dalaman | 32GB / 64GB / 128GB ROM |
Kamera Utama | 8-Megapixel |
Kamera Swafoto | 8-Megapixel |
Bateri | 7100 mAh Pengecasan 18W Pengecasan berbalik |
SIM/Telefoni | SIM Nano + SIM Nano/MicroSD |
NFC | Tiada |
Bicu Audio | Ada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM899 (3GB/32GB) – WiFi RM949 (3GB/32GB) – LTE RM999 (4GB/64GB) – LTE RM1,199 (6GB/128GB) – LTE |
Rekaan & Kemasan:
Melihat pada rekaan keseluruhan, ia menampilkan konsep yang moden sesuai buat pengguna pelbagai usia – terutamanya mereka yang menggunakan peranti ini untuk pembelajaran dan kerja harian. Realme Pad hadir dengan rekaan rata pada bahagian hadapan dan belakang, bersama sisi yang membulat di keempat-empat sisi. Kemasan badan tablet diperbuat daripada bahan berasaskan logam dengan gabungan matte pada bahagian belakangnya bagi menjadikannya tampak lebih premium. Ianya berkilat dan nampak anggun meskipun di tahap sederhana.

Tapi sayangnya, ia sangat mudah memerangkap kotoran. Dalam masa sama, adalah sukar untuk menjawab persoalan tentang calar kerana kami tidak pula berhadapan dengan isu berkenaan sepanjang ulasan dibuat. Seperkara lagi, Realme juga tidak menyediakan sebarang kerangka pelindung di dalam kotak pembelian. Oleh itu, anda perlu mengeluarkan sedikit belanja untuk mendapatkan kerangka pelindung secara berasingan. Kami juga sempat membuat carian di Internet dan ianya ada dijual di platform Shopee dan Lazada. Soal harga pula adalah bergantung kepada bajet masing-masing. Sebelum terlupa, Realme Pad tersedia dalam dua pilihan warna seperti emas dan kelabu.
Panel hadapan menggunakan skrin sejenis IPS LCD dengan resolusi WUXGA+ (2000 x 1200 piksel), nisbah aspek 15:9 dan kadar segar semula standard 60Hz. Sungguhpun ia mungkin tidaklah semewah Xiaomi Pad 5 yang menyokong kadar segar semula tinggi 120Hz dan format HDR Dolby Vision. Disebabkan ini adalah tablet pertama daripada Realme, makanya ia masih boleh dimaafkan. Ditambah pula dengan harganya yang dikelaskan sebagai mampu milik, rasanya tidak adil rasanya untuk kami membandingkannya dengan tablet di pasaran yang lebih berkuasa. Sungguhpun begitu, ia sebenarnya adalah sebuah tablet yang baik dalam kelasnya.

Kemudian, Realme Pad juga adalah tablet yang cukup besar untuk penggunaan harian menerusi skrin berukuran 10.4-inci. Kemudian, saiz bezel juga boleh diterima kerana ia langsung tidak mengakibatkan isu skrin tersentuh secara tidak sengaja. Ruangnya juga cukup baik untuk melabuhkan jari sewaktu memegang mahupun menggunakannya. Melengkapinya juga adalah sokongan kamera hadapan 8MP – yang mana ia adalah saiz sensor yang sama digunakan pada tablet Xiaomi Pad 5 sebelum ini.

Sisi kanan terdapatnya butang laras audio dan ruang slot SIM yang menyokong kebolehan talam SIM dari jenis hibrid yang menyokong dwi SIM bersaiz nano atau satu kad mikroSD. Sementara itu, butang kuasa pula boleh ditemui di bahagian atas. Kedua-dua butang membawakan binaan dan kualiti yang baik secara keseluruhannya. Selain itu, Realme turut menyertakan bicu audio 3.5 pada tablet ini. Ini sekaligus memberi kelebihan buat mereka yang belum bersedia untuk meninggalkan aksesori audio berwayar. Lubang untuk bicu audio ini diletakkan pada bahagian bawah bersama-sama port pengecasan USB-C. Tidak ketinggalan, Realme Pad turut disertakan dengan empat pembesar suara yang dikuasai sistem bunyi Dolby Atmos.
Pengalaman Penggunaan:
Pada kami, Realme Pad mempunyai binaan yang berkualiti baik. Rekaan tubuhnya yang ergonomik memberi keselesaan kepada tangan pengguna termasuk sewaktu memegangnya dalam jangka masa yang panjang. Selain daripada itu, ia juga menampilkan asas binaan yang nipis serta ringan dengan berat sekitar 440 gram Penawaran ini sekaligus membolehkan tablet mudah dibawa ke mana sahaja untuk memenuhi pelbagai tugasan harian. Bukan itu sahaja, cengkaman padanya juga terasa bagus sekali.
Menyentuh aspek kualiti skrin, ia memberikan hasil yang cukup baik sewaktu digunakan di dalam bangunan dengan keseimbangan warna nampak memuaskan. Namun begitu, ini tidaklah bermakna penggunaan di luar bangunan adalah teruk. Paparannya masih boleh dilihat, cuma sedikit terganggu terutamanya penggunaan tablet di bawah cahaya matahari terik.

Seterusnya, skrin juga cukup baik untuk penggunaan multimedia dan hiburan tanpa gangguan. Pada masa sama, paparan berasaskan teks dapat dilihat dengan baik, tetapi ia masih memberi penampakan piksel yang jelas. Ketiadaan sokongan tambahan seperti kadar segar semula yang tinggi, sokongan stylus dan HDR bukanlah isu yang sangat besar. Ini kerana, tidak ada keperluan untuk sokongan berkenaan pada sebuah tablet yang memfokuskan kepada tujuan asas seperti pembelajaran atas talian atau menonton kandungan video sepanjang hari.

Seperkara yang perlu diketahui umum ialah tablet ini tidak menyokong sebarang sistem pengimbas cap jari – baik terbina pada skrin mahupun fizikal. Sebaliknya, ia bergantung sepenuhnya pada sistem imbasan wajah dan beberapa pilihan untuk kod keselamatan lain. Kesemua sistem sekuriti menunjukkan prestasi yang memuaskan dan mampu menyahkunci peranti tanpa masalah sepanjang ulasan dibuat. Kemampuan pembesar suara pula mempunyai keseimbangan audio yang baik untuk kedua-dua bahagian atas dan bawah.

Dikuasai dengan sistem bunyi Dolby Atmos menjadikan tablet ini mempunyai pengalaman pendengaran audio lebih baik. Melaluinya, ia mampu memberikan kualiti audio yang kuat, lantang dan jelas untuk didengar. Bukan itu sahaja, bunyi audio yang dihasilkan juga kedengaran tidak pecah meskipun digunakan pada aras yang paling tinggi. Anda juga semestinya akan menghargai kewujudan bicu audio 3.5mm dan storan tambahan yang diberi untuk pengalaman penggunaan lebih baik.


Realme Pad menggunakan sistem operasi Android 11 berasaskan antara muka Realme UI for Pad. Melihat pada penawarannya, antara muka yang dibawakan adalah lebih hampir kepada Android asli. Ia kelihatan ringkas dan minimalis tanpa sebarang kewujudan aplikasi pihak ketiga. Pada masa sama, ia juga tidak menyertakan sebarang kebolehan atau kemampuan untuk proses pengubahsuaian tema, ikon, warna dan sebagainya. Kemudian, kebanyakan aplikasi Google juga telah sedia terbina secara lalai – seperti Gmail, Google One, Google Duo, Gdrive dan sebagainya. Turut melengkapinya adalah fungsi kids space yang membolehkan ibu bapa memantau penggunaan tablet bagi anak-anak kecil. Disebabkan itulah, kami mengatakan tablet ini sesuai digunakan untuk pembelajaran.
Kamera:
Realme Pad dibekalkan sensor sebesar 8-Megapixel untuk kedua-dua belah kamera di hadapan dan belakang. Aplikasi kamera juga menunjukkan antara muka yang ringkas serta mudah untuk difahami. Anda juga akan perasan ia adalah berbeza dengan mana-mana aplikasi kamera pada peranti Realme sedia ada. Seterusnya, mod kamera yang ditawarkan pula sekadar cukup untuk penggambaran harian biasa – misalnya seperti photo, video dan expert. Ianya benar-benar asas untuk sebuah tablet yang disifatkan mencukupi untuk memenuhi keperluan minimum pengguna. Seterusnya, kebolehan rakaman pula adalah sehingga 1080P/30fps tetapi tiada sebarang penstabilan yang disertakan padanya.

Bercakap soal kualiti, ia dilihat memberikan hasil yang sederhana. Di mana, gambar kelihatan kabur dengan penghasilan semula warna kurang menyerlah meskipun diambil dalam situasi yang terang. Pada masa sama, butiran juga tidak dijaga dengan baik bersama masalah dedahan berlebihan berlaku. Sama seperti tangkapan gambar dalam pencahayaan rendah, jelas kelihatan keperincian pada imej yang lembut bersama penampakan hingar yang jelas. Kemudian, kekurangan ketara adalah ketiadaan sokongan LED Flash sebenarnya agak menyukarkan proses tangkapan di dalam kawan yang tiada sumber cahaya.



Pada masa sama, kualiti video turut memberikan hasil yang kurang memuaskan dengan hasil yang purata. Kesemua ini adalah dijangka kerana prestasi kebanyakan kamera pada tablet adalah setanding dengan sebuah telefon pintar Android kelas permulaan sahaja. Sungguhpun begitu, kamera hadapan adalah baik dengan penghasilan semula warna yang semula jadi. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada situasi di mana pencahayaan yang cukup amat diperlukan untuk imej yang baik. Seterusnya, tangkapan audio juga boleh dibuat dengan baik dan kedengaran cukup jelas sewaktu digunakan untuk sesi telesidang.
Bateri:
Bateri sebesar 7,100mAh pada Realme Pad menunjukkan prestasi yang memuaskan dengan bacaan SOT mencapai 8. Ini adalah penggunaan kerap seperti menatal media sosial, mendengar lagu dan sebagainya. Pada penggunaan ringan pula ia mampu bertahan melebihi sehari dengan sekali pengecasan. Seterusnya, Realme Pad juga boleh dicas semula menggunakan port sambungan USB-C dengan kuasa output sehingga 18W. Melaluinya, ia mengambil masa lebih daripada 2 jam untuk proses pengecasan semula.

Kesimpulan:
Seperti yang kami kata tadi, ini adalah percubaan pertama Realme untuk segmen tablet. Tidak dinafikan, ia adalah sebuah tablet yang mencukupi untuk memenuhi keperluan minimum segenap pengguna. Misalnya seperti penggunaan multimedia dan aplikasi mudah alih. Dengan skrin berukuran 10.4-inci yang dimuatkan pada panel hadapan, anda sudah semestinya boleh melihat pelbagai kandungan media menarik dengan baik menerusi skrinnya yang besar.
Seterusnya, kewujudan mod kanak-kanak secara terbina boleh dianggap sebagai kelebihan menarik kerana ibu bapa tidak perlu risau soal keselamatan. Tidak berakhir di situ kamera hadapannya juga lebih dari mencukupi untuk sesi telesidang dan kamera utama juga baik-baik sahaja untuk menangkap gambar kerja rumah. Bukan itu sahaja, kemampuan audio juga adalah memuaskan dengan sokongan Dolby Atmos.

Namun begitu, ketiadaan sokongan untuk beberapa aksesori tambahan seperti stylus dan papan kekunci jelas menunjukkan tablet ini tidak memfokuskan kepada produktiviti harian secara menyeluruh. Pada masa sama, ia juga tidak sesuai untuk dijadikan pilihan yang baik sekiranya anda gemar bermain permua yang berat pada tablet. Dengan memori 4GB RAM adalah tidak sesuai untuk proses multi-tugas yang baik. Tetapi, penggunaan untuk hiburan dan permainan 2D adalah memuaskan.
Bagi yang berminat, Realme Pad ditawarkan pada harga RM899 (3GB/32GB) versi Wi-Fi. Sementara itu, Realme Pad versi LTE pula berharga RM949 (3GB/32GB), RM999 (4GB/64GB) dan RM1,199 (6GB/128GB). Terdapat beberapa pilihan warna yang boleh dipilih seperti Real Gold dan Real Grey.
Pro
- Rekaan yang baik dengan skrin cukup besar.
- Audio yang juga mantap dan seimbang.
- Hayat bateri yang baik.
- Mod kanak-kanak terbina.
- Bicu audio 3.5mm.
Kontra
- Tiada aksesori tambahan khusus yang dijual.
- Sokongan kamera sekadar sederhana.
- Pengecasan hanya 18W.
- Info
- Beli : Kedai Realme Di Shopee
- Info
- Beli : Kedai Realme Di Lazada
