Carian
Dizo Watch R Dan Buds Z Pro Bakal Dilancarkan Pada 5 Januari
December 28, 2021 Amy Maizuraa

Tahun 2022 yang bakal menjengah tidak lama lagi menyaksikan pelbagai pengeluar dalam persediaan untuk penawaran produk baharu. Salah satu daripadanya adalah Dizo yang kini berkongsi perancangan untuk mengemaskini rangkaian peranti boleh pakai dan aksesori audio dengan pengenalan produk terkini.

Melaluinya, mereka akan memperkenalkan Dizo Watch R. Kewujudan jam tangan ini bukanlah sesuatu yang baru, malah telah diperkatakan sejak kebelakangan ini. Di mana, ia dikatakan siri baharu yang lebih memfokuskan kepada harga lebih berpatutan. Dari segi rekaan, ia kelihatan seakan seutas Realme Watch T1 yang diumumkan di China, tempoh hari. Pada masa sama, spesifikasi utama turut telah mula dikongsi menerusi laman web rasmi.

Ia menunjukkan Dizo Watch R akan dilengkapi muka berbentuk bulat dengan skrin AMOLED berukuran 1.3-inci. Ia juga akan menampilkan penarafan kalis air 5ATM bersama sejumlah sensor terbina untuk pemantauan kesihatan bagi kemudahan ramai pengguna. Selain itu, terdapat juga 100 mod sukan berbeza yang disertakan dan bateri pula mampu bertahan mencapai 12 hari lamanya dengan sekali pengecasan.

Seterusnya, Dizo Buds Z Pro juga turut sama akan diperkenalkan kelak. Ia merupakan fon telinga dari jenis dalam telinga bersama pod pengecas berbentuk bujur. Ia juga akan dilengkapi pemandu audio sebesar 10mm, sokongan pembatalan hingar aktif, mod permainan dengan latensi 88ms dan kebolehan masa main balik mencapai 25 jam. Dari segi rekaan, ia adalah mirip seperti Dizo Budz Z yang telah diumumkan sebelum ini.

Kedua-dua peranti ini akan dilancarkan secara rasmi pada 5 Januari hadapan. Untuk penawaran lebih lanjut, sama-sama kita nantikan.

Sumber : Twitter, GSMArena

Komen