Siri iQOO 9 Akan Dilengkapi Pengecasan Pantas Berwayar 120W, Nirwayar 50W

Diterbitkan pada Dis 29, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

IQOO akan memulakan tahun baru 2022 dengan mengemaskini portfolio peranti pintarnya menerusi pengenalan siri iQOO 9. Jelas kelihatan, iQOO masih mengekalkan ciri kemasan yang sama seperti generasi sebelumnya, tetapi reka bentuk nampak lebih segar dengan penggayaan yang baru.

Penggunaan perkataan siri juga jelas menunjukkan bahawa terdapat beberapa model berbeza yang bakal tiba. Seterusnya, peranti di bawah siri ini akan mempunyai modul kamera yang agak besar dengan sokongan tri-kamera di belakang. Sebagai tambahan, kamera ini juga akan disertakan dengan sokongan OIS untuk penggambaran lebih baik. Panel hadapan pula adalah sejenis rata dengan skrin berlubang untuk peletakan kamera hadapan di tengah.

Kemudian, ia juga akan menawarkan sokongan pengecasan pantas 120W dengan bateri sebesar 4,700mAh. Di samping itu, sistem pengecasan nirwayar turut ditawarkan dengan kuasa output mencapai 50W. Namun begitu, iQOO tidak pula menyatakan model manakah yang akan disertakan fungsi dinyatakan ini secara khusus. Tetapi, ia besar kemungkinan disertakan pada iQOO 9 Pro. Sementara itu, iQOO 9 pula didakwa akan mempunyai bateri sebesar 4,550mAh.

Antara spesifikasi lain yang diketahui buat masa ini adalah peranti di bawah siri ini akan menggunakan panel AMOLED sebesar 6.78-inci dengan resolusi FHD+. Ini adalah jenis panel yang sama digunakan pada pendahulunya, siri iQOO 8. Seterusnya, cip Snapdragon 8 Gen1 dan sistem penyejukan cecair setaraf sebuah PC turut akan digunakan.

Siri iQOO 9 akan membuat kemunculan rasminya pada 5 Januari hadapan. Seperti biasa, penawaran lebih lanjut bakal terjawab sewaktu pelancaran rasmi kelak. Kami di Amanz juga akan mengemaskini perkembangan selanjutnya kelak.

Sumber : Weibo

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami