Ulasan Huawei P50 Pro – Masih Harmoni Meskipun Tiada 5G

Diterbitkan pada Jan 12, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sudah masuk tahun kedua Huawei terpaksa berdikari dengan sistem operasi sendiri selepas tidak lagi dibenarkan menggunakan GMS. Sistem HMS mereka kini semakin baik dengan pelbagai aplikasi penting ditawarkan dengan mudah serta dengan sokongan Petal Search pula mengisi kekosongan yang ada. Perisian HarmonyOS yang saya cuba pula mempunyai potensi yang baik untuk menjadi sistem operasi alternatif kepada Android dan iOS. Tetapi adakah ini memadai untuk mengekalkan pengguna Huawei sekarang untuk terus setia?

Dengan Huawei P50 Pro, Huawei cuba untuk menawarkan peranti mercu pertama mereka tahun ini. Seperti model sebelumnya, sistem kamera yang padu dengan bantuan Leica dikekalkan dengan rekaan bonggol kameranya pula unik jika dibandingkan dengan peranti lain di pasaran. Bezanya tahun ini ialah P50 Pro hanya dilancarkan pada bulan Julai, lewat lima purnama dari tarikh tradisi Februari kerana masalah mendapatkan bekalan komponen. Ia kemudiannya hanya ditawarkan di Malaysia bulan ini.

Adakah sayang semuanya sudah terlambat atau Huawei P50 Pro masih mempunyai beberapa kelebihan tersendiri yang membolehkan ia terus bersaing secara kompetitif dengan peranti mercu keluaran pengeluar lain?

Spesifikasi

Huawei P50 Pro
Skrin6.6″ OLED, 1228 x 2700 pixel
120Hz adaptif
PemprosesKirin 9000 (5nm)
Cip1 X 3.13 GHz Cortex A77
3 X 2.54 GHz Cortex A77
4 X 2.05 GHz Cortex A55
Cip GrafikMali-G78 MP24
RAM8 Gigabyte
Muatan Dalaman256GB (NM card 256GB)
Kamera Utama50+64+13+40 Megapixel.
f/1.8+f/3.5+f/2.2+f/1.6, OIS, HDR, 4K 60p
Kamera Depan13 Megapixel f/2.4, 4K 60p
Bateri4360 mAh
Pengecasan berwayar 66W
Pengecasan nirwayar 50W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFCYa
Infra MerahYa
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanCap jari terbina dalam skrin
Harga JualanRM4199

Skrin

Skrin 6.6″ OLED FHD+ tahun ini bukan sahaja lebih besar berbanding 6.58″ pada P40 Pro+. Selain skrin yang lebih besar, kadar segar semula meningkat ke 120Hz adaptif berbanding hanya 90Hz tahun lalu. Dengan ini P50 Pro mempunyai skrin yang setanding dengan yang digunakan oleh Apple, Samsung dan Xiaomi pada peranti paling mercu mereka tahun ini.

Pada waktu yang sama rekaan skrin yang melengkung pada kedua-dua sisi juga turut dikekalkan. Huawei nampaknya masih merasakan rekaan ini masih lagi mempunyai peminat walaupun harus mengaku amat tidak menyukainya. Sebab utamanya adalah kandungan video yang melimpah keluar serta mendedahkan sisi skrin kepada hentakan sekiranya peranti terjatuh.

Secara rasminya skrin peranti tidak melepasi sebarang piawaian HDR. Tetapi apabila menggunakan aplikasi YouTube, video HDR dapat dimainkan tanpa sebarang masalah. Apabila diletakkan bersebelahan skrin iPhone 13 Pro Max, saya tidak dapat melihat sebarang perbezaan yang ketara. Dari pandangan mata kasar saya yang tidak seberapa ini, skrin P50 Pro adalah setanding dengan skrin peranti terbaik Apple tahun ini.

Perbezaan lain yang ketara ialah penggunaan satu sahaja lubang kamera di hadapan dan tiada lagi lubang berbentuk bujur. Dengan rekaan ini peranti kelihatan lebih simetri dari hadapan dan sekaligus ruang yang lebih besar boleh digunakan bagi mempamerkan notifikasi yang diterima. Pada bahagian atas juga terdapat kekisi pembesar suara sama seperti pada Mate 40 Pro.

Jika anda ingat tahun lalu P40 Pro+ hanya dilengkapi speaker mono yang membuatkan pengalaman audio menjadi kurang seimbang. Dari segi teknologi skrin, jelas sekali P50 Pro membawakan pelbagai penambahbaikan berbanding P40 Pro+ dengan menyelesaikan beberapa isu yang telah dibangkitkan tahun lalu.

Rekaan

Rekaan tubuh peranti memang terasa premium. Bahagian sisi yang dibulatkan tidak menyakitkan tangan apabila dipegang dan juga tidak terasa licin. Seperti yang telah saya katakan di beberapa perenggan di atas, hanya permukaan kaca yang besar di bahagian sisi menjadi isu kerana terdedah kepada hentakan terus. Butang kuasa dan laras suara pada sisi kanan juga terasa tegap. Dari segi kualiti binaan Huawei memang setanding dengan apa yang mampu ditawarkan Samsung, Apple dan Oppo.

Panel belakang diperbuat daripada bahan kaca yang sedikit pudar. Sungguhpun begitu ia masih memerangkap kotoran dengan terlalu mudah. Huawei memberikan kerangka polikarbonat dengan setiap pembelian dan ini sedikit sebanyak menyelesaikan isu panel belakang yang berminyak.

Bercakap tentang panel belakang, dwi-bonggol kamera yang digunakan adalah agak besar sehingga peranti tidak boleh diletakkan rata di permukaan meja tanpa bantuan kerangka. Ada yang mungkin mengatakan rekaan bonggol kamera P50 Pro adalah tidak cantik tetapi saya terdiri dalam golongan minoriti yang menyukainya. Sejak kali pertama rekaan ini tertiris tahun lalu saya menyukainya.

Kerana pelbagai sekatan perdagangan yang dikenakan, rekaan P50 Pro digunakan terlebih dahulu pada Honor 50 Pro. Maka ada yang mungkin mengatakan rekaan peranti ini tidak lagi unik. Saya faham apa yang anda maksudkan tetapi ini ialah rekaan asal Huawei dan saya berikan kredit kepada pereka asalnya.

Pada bahagian bawah pula terdapat port pengecasan USB-C yang dihimpit oleh kekisi speaker dan talam SIM. Talam SIM menyokong dwi-SIM nano dan satu NM Card sebesar 256GB untuk storan tambahan. Akhir sekali pada bahagian atas terdapat pula pemancar infra merah untuk alat kawalan jauh.

Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan

Huawei P50 Pro ialah telefon pertama Huawei yang saya ulas menggunakan Harmony OS 2.0. Sebelum ini saya hanya menggunakan Harmony OS 2.0 pada tablet dan menyukainya. Pada skrin yang lebih kecil sistem operasi yang sebenarnya berasaskan Android 10 masih lagi sedap digunakan. Masih lagi mengekalkan elemen-elemen asal EMUI tetapi dengan beberapa perubahan kecil yang membuatkan antaramuka kelihatan lebih menarik. Tanpa halangan dari Google lagi, Huawei bebas mengubah antaramuka mengikut keperluan mereka.

Talam tetapan pantas misalnya lebih mirip iOS 15 dengan kotak besar khusus untuk mengawal media, aksesori bluetooth dan juga WiFi. Kemudian jubin-jubin pintasan pantas lain seperti mod kapal terbang boleh ditambah sekiranya diinginkan oleh pemilik peranti. Paling penting sekali segala animasi memang lancar lebih-lebih lagi sekiranya mod skrin 120Hz adaptif diaktifkan.

EMUI adalah antara pelancar yang akan tetap lancar selepas dua tahun penggunaan. Sesuatu yang harus saya katakan agak jarang pada pelancar Android yang lain. Kerana Harmony OS 2.0 masih berusia sebulan jagung, saya tidak tahu sama ada sistem optimasi perisian bagi mengelakkan peranti terasa perlahan dikekalkan atau tidak. Diharapkan ia dikekalkan kerana ia antara sebab mengapa saya masih menggunakan P30 Pro di rumah kerana kelancarannya kekal dari hari pertama sehingga ke hari ini.

Dengan Huawei Mobile Services, ekosistem yang setahun lalu sedikit rompong kerana hilangnya aplikasi Google telah berjaya ditampal. Aplikasi yang ditawarkan dalam App Gallery juga bertambah. Jika tiada sekalipun Petal Search boleh digunakan untuk memuat turun APK yang diperlukan. Ia masih bukan penyelesaian yang paling elegan tetapi adalah yang terbaik untuk waktu ini sehinggalah perang perdagangan Amerika Syarikat dan China berakhir.

Aplikasi seperti Netflix, Prime Video, dan YouTube boleh digunakan tetapi dengan beberapa isu. Pertama sekali Netflix masih terhad kepada SD dan tiada HDR. YouTube pula tersangkut-sangkut apabila menstrim kandungan 4K. Sesuatu yang tidak pernah saya alami apabila menggunakan peranti Snapdragon 888, A15 Bionic dan Exynos 2100. Peranti mercu 2021 tetapi tiada sokongan ciri yang wajib pada peranti mercu 2020? Inilah yang berlaku.

Sokongan GMS juga masih diperlukan oleh beberapa aplikasi popular. Katakanlah anda tidak peduli dengan Gmail, YouTube, Google Maps, Google Drive tetapi GMS masih diperlukan untuk memasang Disney+ Hotstar. Kekangan oleh GMS ini membuatkan pengalaman yang lengkap tidak dapat dinikmati pada P50 Pro.

Bukan 100% salah Huawei di sini tetapi sebagai pengulas saya perlu memaklumkan kepada pembaca tentang beberapa isu ini. Saya tahu memang ada segelintir pengguna yang sudah bebas dari ekosistem Google. Jika anda jatuh ke dalam kumpulan ini, tahniah kerana HarmonyOS pada P50 Pro akan menggembirakan anda. Sebaliknya berlaku jika anda masih memerlukan GMS pada sebuah telefon pintar kegunaan harian.

Penanda Aras

Huawei P50 Pro di Malaysia menggunakan Snapdragon 888 4G tidak seperti unit ulasan yang kami terima

Misteri mengenai prestasi sebenar Kirin 9000 akhirnya terungkai. Tahun lalu kesemua aplikasi penanda aras tidak boleh dipasang pada Mate 40 Pro yang menggunakan cip yang sama. Jadi apakah markah yang berjaya dicatatkan oleh Kirin 9000 yang dihasilkan menggunakan teknologi 5nm ini? Dalam ujian Geekbench 5 ia mencatatkan 785/3174 markah dan dalam ujian Antutu 3D pula mencatatkan 683,878 markah.

Ini pula markah yang dicatatkan oleh pemproses pesaing:

Apple A15 Bionic – Geekbench 5 (1716/4678) dan Antutu 3D (789,647)

Snapdragon 888 – Geekbench 5 (1122/3620) dan Antutu 3D (818,572)

Exynos 2100 – Geekbench 5 (709/2474) dan Antutu 3D (719864)

Kemampuan CPU dan GPU Kirin 9000 berada di belakang A15 dan Snapdragon 888 tetapi di hadapan Exynos 2100. Ini menjawab persoalan mengapa P50 Pro tidak mampu memainkan video YouTube pada resolusi 4K. Tetapi aplikasi lain dapat dijalankan tanpa masalah. Melayari web adalah lancar begitu juga dengan aplikasi media sosial yang lain. Tiada isu menatal dengan lancar pada tetapan 120Hz sekalipun. Untuk penggunaan harian Kirin 9000 adalah lebih daripada mencukupi.

Menjalankan permua juga tiada asalkan pada tetapan sederhana. Permua seperti COD Mobile, Asphalt 9 dan Free Fire boleh dimainkan dengan lancar. Cip hanya tidak boleh menjalankan COD Mobile menggunakan pek tekstur dan audio resolusi tinggi pada kadar bingkai yang tinggi.

Kamera

Sistem kuad kamera digunakan dengan lensa sudut lebar 50MP, lensa telefoto 64MP, lensa monokrom 40MP dan lensa sudut ultra lebar 13MP. Kesemua lensa adalah peningkatan dari kamera yang digunakan pada P40 Pro+. Di hadapan pula sensor 13MP digunakan dalam lubang kamera yang kecil. Dengan sistem kamera yang digunakan ini, peranti mempunyai kemampuan julat zum sehingga 200 X.

Perubahan paling menarik ialah kembalinya sensor monokrom yang kali terakhir digunakan pada P20 Pro. Saya antara insan yang amat menyukai sensor monokrom peranti Huawei kerana mempunyai Leica Look yang unik. Sejak sensor monokrom dihentikan penggunanya beberapa tahun yang lalu, mod hitam putih siri P pada hemat saya sedikit mengecewakan.

Lensa sudut lebar dan telefoto dilengkapi dengan sistem OIS yang menstabilkan gambar dan membolehkan gambar yang lebih tajam diambil khususnya pada waktu malam. Hasilnya ialah mod malam Huawei menjadi bualan industri. Berikut ialah beberapa contoh gambar yang sempat kami ambil menggunakan kamera P50 Pro.

Audio

Terdapat sepasang speaker stereo dengan satu di bahagian bawah dan satu lagi di gagang telinga. Sistem yang digunakan adalah lebih baik berbanding hanya mono pada P40 Pro+. Audio masih lagi tidak begitu seimbang kerana speaker bawah adalah lebih lantang. Tiada sokongan Dolby Atmos sebaliknya ia digantikan dengan sistem Histen yang beroperasi apabila aksesori audio dipasang.

Audio adalah lantang tetapi terasa sedikit rata. Dengan codec LDAC sekalipun, prestasi audio P50 Pro masih mengecewakan. Pertama sekali tahap audio paling maksimum peranti adalah sekitar 75% pada Galaxy S21 Ultra yang saya gunakan setiap hari. Tidak berakhir di situ audio terasa sedikit rata dengan bass yang kuat tetapi treble kurang menyerlah. Pengalaman audio pada P50 Pro adalah lebih mirip peranti kelas pertengahan dan ini adalah mengecewakan.

Bateri

Bateri 4360 mAh tidaklah terlalu besar tetapi adalah peningkatan daripada P40 Pro+. Hayat bateri adalah memuaskan dengan SOT antara 8-9 jam boleh dinikmati dengan peranti beroperasi pula sehingga 15 jam pada penggunaan yang sederhana. Ia tidak boleh beroperasi sehingga dua hari seperti iPhone 13 Pro Max yang kini adalah juara bateri di makmal Amanz. Namun begitu dengan sokongan pengecasan pantas 66W, peranti boleh dicas semula dalam masa hanya 50 minit yang amatlah laju. Terdapat juga pengecasan nirwayar 50W menerusi aksesori khas Huawei.

Pesaing

Huawei P50 ProApple iPhone 13 Pro MaxOppo Find X3 Pro
6.6″ OLED, 120Hz (450 ppi)6.7″ OLED, 1284 x 2778, Dolby Vision, 60Hz (458 ppi)6.7″ AMOLED, QHD+, HDR10+, 120Hz (525 ppi)
Kirin 9000 (5nm)
1 X 3.13 GHz Cortx A77
3 X 2.54 GHz Cortex A77
4 X 2.05 GHz Cortex A55
Apple 15 Bionic (5nm)
2 X 3.2 GHz Avalanche
4 X ? GHz Blizzard
Snapdragon 888 (5nm)
1 X 2.84 GHz Kryo 680
3 X 2.42 GHz Kryo 680
4 X 1.8 GHz Kryo 680
Mali G-78 MP24Apple GPU 5 TerasAdreno 660
8 GB LPDDR56 GB12 GB LPDDR5
128 GB
(NMCard 256GB)
128/256/512/1000 GB nVMe256 GB UFS 3.0
(mikro SD 1TB)
Kamera Utama 50+13+44+40 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/3.5+f/1.6),OISKamera Utama 12+12+12+3DToF Megapixel (f/1.5+f/1.8+f/2.8), OISKamera Utama 50+50+13+3 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/3.0),OIS
Kamera Hadapan
13-Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.4
IP68IP68IP68
Tiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4360 mAh (Berwayar 66W, Nirwayar 50W)4352 mAh (Berwayar 27W, Nirwayar 15W)4500 mAh (Berwayar 65W, Nirwayar 30W)
Harga RM4199Harga bermula RM5299Harga RM4289

Kesimpulan

Tahun lalu saya boleh memaafkan kelemahan pada peranti Huawei kerana mereka sedang cuba berjalan selepas kaki dicantas oleh halangan perdagangan. Dengan tiada alternatif untuk peranti Huawei pro masih melebihi kontra dalam pelbagai aspek peranti. Pada tahun 2021 beberapa kekurangan tidak lagi boleh diberikan diskaun kerana dua tahun telah diberikan.

Huawei P50 Pro ialah peranti yang baik untuk fotografi kerana prestasi kamera dengan lensa Leica masih antara yang terbaik tahun ini. Kekurangan tahun lalu pada sistem telefoto berjaya diperbaiki dengan menggunakan sensor yang lebih besar. Sensor hitam putih khusus juga berjaya mengembalikan “Leica Look” yang hilang sejak setahun lalu. Bagi yang inginkan peranti dengan sistem Leica terbaik P50 Pro ialah satu-satunya pilihan anda pada waktu ini.

Unit yang diulas Amanz menggunakan cip Kirin 9000 yang tidak setanding cip Snapdragon 888 dan Apple A15 Bionic. Berita baik yang diiumumkan Huawei Malaysia iala P50 Pro pasaran tempatan menggunakan cip Snapdragon 888 4G. Prestasi Snapdragon 888 4G lebih baik berbanding Kirin 9000 bersasarkan pengalaman saya menggunakan P50 Pocket minggu ini. Ini terakhir peranti tidak semua aplikasi yang dipasang akan berfungsi dengan baik seperti Disney+ yang memerlukan GMS.

Huawei P50 Pro hanya boleh saya sarankan kepada peminat tegar Huawei yang memerlukan kamera dengan lensa Leica. Dengan Honor kini sudah melancarkan peranti mereka di Malaysia, peminat Huawei mempunyai alternatif dengan GMS jika masih inginkan peranti yang masih mengekalkan DNA Huawei pada rekaan dan juga perisian. Huawei P50 Pro dijual di Malaysia pada harga RM4199 sebuah dengan pratempahan dibuka sekarang sehingga 21 Januari 2022.

Pro

  • Skrin akhir 120Hz adaptif.
  • Rekaan yang unik dan menarik.
  • HarmonyOS semakin matang dengan pelbagai ciri menarik disertakan.
  • Isu tiada aplikasi diselesaikan dengan Petal Search.
  • Kemampuan fotografi yang amat baik.
  • Sistem pengecasan yang pantas.

Kontra

  • Skrin terlalu melengkung sehingga melimpah keluar sukar menonton video.
  • Tiada sokongan HDR dan resolusi HD Penuh pada Netflix.
  • Prestasi audio kurang memuaskan.
  • Tiada 5G
  • Petal Search masih tidak mampu menawarkan kelancaran kemas kini seperti GMS.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami