Carian
Ulasan Technics EAH-AZ60 – Kualiti Audio Memang Setaraf Harga
January 7, 2022 Effi Saharudin

Tahun 2021 ialah tahun yang amat menarik di Amanz kerana kami menggandakan usaha untuk menulis produk audio. Dengan semakin banyak peranti di pasaran yang tidak lagi dilengkapi bicu audio, pelbagai jenama TWS mula membanjiri pasaran Malaysia. Dari yang semurah makanan Happy Meal McDonalds hinggalah ke versi premium yang lebih mahal berbanding sebuah telefon pintar telah kami ulas demi anda.

Hari ini tiba giliran Technics EAH-AZ60 diulas dan ia adalah TWS yang paling mahal pernah saya sendiri ulas di Amanz. Dengan harga jualan

Spesifikasi

Technics EAH-AZ60
JenisTWS dalam telinga
Pemandu5/16 inci / 8 mm
Mikrofon8 mikrofon
BateriSehingga 7 jam / 24 jam dengan pod dan ANC
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarTiada
CODECSBC, AAC, LDAC
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaYa/Semua
Pad sesentuhYa 2X
Kemampuan kalis airIPX4
Storan DalamanTiada
Audio OfflineTiada
Pengimbas nadiTiada
Harga Jualan RM 1049

Rekaan yang digunakan oleh Technics adalah lain daripada kesemua TWS yang saya ulas tahun lalu. Samsung memilih rekaan aerodinamik yang kecil membuatkan fon telinga mereka kelihatan seperti telur yang licin. Sony pula dengan rekaan futuristik. Technics memilih rekaan yang lebih industrial dengan kemasan seakan logam dan panel belakang yang bersambung kepada telinga pula rata bahagian bawahnya.

Putik telinga EAH-AZ60 adalah lebih besar jika dibandingkan dengan Buds Pro yang pada waktu ini saya gunakan sebagai TWS kegunaan harian ketika bersenam di waktu malam. Pada awalnya memang terasa sedikit janggal kerana saiz yang besar juga membuatkannya lebih berat. Memang dapat dirasakan EAH-AZ60 menerjah bukan sahaja rongga telinga tetapi ruang-ruang lain pada cuping telinga.

Saya melihatnya dari sudut positif kerana saiz yang besar membuatkannya tersekat pada cuping telinga dengan lebih rapat. Jika kepala digerakkan dengan pantas sekalipun ia tidak mudah tertanggal. Amat berguna ketika menggunakan mesin treadmill di gimnasium. Kekurangan rekaan ini hanyalah bagi mereka yang mendengar muzik untuk tidur. Putik telinga terlalu besar dan apabila berbaring ia ditekan masuk lebih dalam ke dalam rongga telinga. Adalah kurang selesa untuk menggunakannya untuk tidur. Jika anda rasakan ini ialah perkara aneh, saya adalah antara insan yang suka menggunakan TWS ketika tidur dengan hanya mengaktifkan ANC bagi mengurangkan gangguan bunyi bising di luar.

Terdapat enam tip silikon dibekalkan dengan setiap pembelian (XS1, XS2, S1, S2, M, L dan XL). Saya merasakan tip yang terpasang bersaiz M adalah terlalu besar dan mujur ada pilihan tip-tip yang lebih kecil. Selepas tip yang selesa digunakan, lubang telinga terasa lebih selesa dan mampu menghalang bunyi bising secara pasif dengan agak baik.

Pada kedua-dua bahagian sisi EAH-AZ60 terdapat pad sesentuh yang agak besar. Saya amat sukakan permukaan pad sesentuh yang rata ini kerana ia mengesan sentuhan dengan baik dan tidak asyik tersasar. Pada Buds Pro, permukaan pad sesentuh melengkung dan kadang kala saya sendiri keliru sedang menyentuh pad atau tersentuh tubuh yang tidak mempunyai sensor. Pad sesentuh ini juga menyokong beberapa gestur berguna yang saya akan terangkan pada bahagian pengalaman penggunaan di bawah.

Pemandu audio yang digunakan adalah sebesar 8 mm dan juga yang terbesar di pasaran. Technics merasakan konfigurasi satu pemandu audio sahaja sudah mencukupi untuk menghasilkan audio yang baik. Ini dipadankan dengan lapan mikrofon (empat pada setiap putik) untuk menyokong sistem ANC dan melakukan panggilan telefon yang terang. Keseluruhan putik telinga ini melepasi piawaian IPX4 yang membuatkannya kalis peluh.

Jika di atas saya memuji rekaan putik yang kemas, saya ingin merungut sedikit dengan rekaan pod pengecas yang terasa sedikit murah. Ia masih diperbuat daripada plastik dengan bahagian penutup yang terasa sedikit murah untuk TWS yang dijual pada harga melebihi RM1000. Tiada isu dengan plastik jika ia tidak terasa murah. Apple dan Samsung menggunakan bahan plastik pada TWS mereka tetapi ia diperbuat daripada plastik yang berkualiti tinggi pada bahagian penutup. Pada EAH-AZ60, pod pengecas terasa lebih layak digunakan pada TWS berharga sub RM600.

Pod simpanan plastik yang tidak fantastik ini juga tidak menyokong sebarang sistem pengecasan nirwayar Qi. Pengecasan hanyalah menerusi port USB-C pada bahagian belakang. Canggung sekali TWS yang mahal tetapi tidak diberikan ciri pengecasan nirwayar. Banyak TWS berharga lebih murah menyokongnya seperti AirPods dan Galaxy Buds2.

Penggunaan dan Aplikasi

Proses menambat bluetooth adalah mudah pada peranti Android kerana terdapat sokongan Fast Pair. Sejurus selepas pod dibuka grafik EAH-AZ60 terpapar pada skrin. Pada peranti iOS proses adalah lebih sukar dengan kedua-dua pad sesentuh perlu ditekan selama beberapa saat sehingga lampu LED berkelip-kelip menunjukkan ia sudah memasuki mod tambatan.

Untuk memudahkan penggunaan fon telinga, aplikasi Technics Audio Connect perlu dimuat turun. Menerusi aplikasi ini pengguna diberikan akses kepada beberapa tetapan penting. Sebagai contoh bagi pengguna Android, LDAC hanya boleh diaktifkan menggunakan aplikasi ini. Secara default ia tidak diaktifkan. Harus kami nyatakan jika LDAC diaktifkan, mod menambat EAH-AZ60 kepada dua peranti serentak tidak boleh digunakan. Pengguna perlu memilih ingin audio terbaik atau kemudahan menambat kepada multi peranti.

Saya perkara yang saya rasakan aneh ialah apabila putik telinga dimasukkan ke dalam telinga. Ia mengambil masa sekitar sesaat sebelum sensor mengesan ia bersambung kepada telinga untuk memainkan muzik. Lebih perlahan dari yang biasa saya nikmati pada TWS lain.

Dalam aplikasi Audio Connect pengguna kemudiannya boleh mengubah tahap kekuatan ANC dan juga Ambient Sound. Jumlah tetapan yang boleh dipilih adalah cukup mewah sekitar 20 tahap kesemuanya. Ini kelebihan yang ada pada EAH-AZ60. Pada Buds Pro misalnya tetapan Ambient hanya sekadar 5 dan ANC pula sekadar dua. Tetapan lain yang boleh diubah ialah mengubah kawalan pada sesentuh. Tidak mahu tertekan secara tak sengaja? Ia boleh dinyahaktifkan. Kesemua kawalan boleh diubah mengikut kehendak pengguna.

Ciri lain yang saya rasakan menarik ialah ia mengesan suara pengguna yang bercakap dan secara automatik muzik dijeda dan EAH-AZ60 memberikan tumpuan kepada suara di persekitaran. Ini adalah ciri yang seingat saya dipopularkan oleh Sony dan kini mula digunakan oleh pengeluar lain. Tiada lagi isu perlu mengorek putik telinga semata-mata untuk mendengar apa yang dicakapkan oleh insan di depan muka. Aplikasi ini juga diperlukan untuk melakukan kemas kini firmware fon telinga, melakukan carian TWS yang hilang, dan mengakses equaliser. Dari segi perisian, Audio Connect adalah cukup lengkap dan mudah digunakan kerana penggunaan ikonografi yang mudah difahami.

Kualiti Audio dan Mikrofon

Kualiti audio adalah amat baik lebih-lebih lagi pada peranti Android dengan LDAC diaktifkan. EAH-AZ60 seakan membuka dunia bunyi baharu kepada telinga saya. Selama ini saya merasakan TWS di pasaran tidak ada satupun yang benar-benar dapat menawarkan kualiti audio yang memuaskan. Telahan saya salah kerana EAH-AZ60 adalah TWS yang terbaik pernah saya ulas sepanjang di Amanz.

Kita mulakan dengan soundstage yang terasa lebih terbuka dengan telinga tidak terasa terhimpit atau tersumbat. Apabila mendengar lagu jazz, piano atau orkestra klasik treble adalah cukup nyaring dan rangup. Dapat didengari tali dipetik dengan jelas. Bass juga padu dan rasa menerobos gegendang dengan cukup padu. EAH-AZ60 agak versatile kerana sedap digunakan untuk mendengar muzik klasik dan juga moden pada waktu yang sama. Setiap peralatan yang dimainkan juga kedengaran jelas. Tidak menjadi rojak walaupun pada tetapan audio yang tingi.

Muzik K-Pop dengan penggunaan instrumen elektronik yang banyak terasa lebih hidup apabila didengari dengan TWS ini. Jarang sekali ini berlaku pada sebuah fon telinga jenis dalam telinga di pasaran. Sebagai contoh TWS Samsung lebih sesuai digunakan untuk muzik moden dengan bass yang kuat. Secara keseluruhan kualiti audio pada EAH-AZ60 adalah amat-amat memuaskan lebih-lebih lagi jika LDAC digunakan. Oleh sebab itu pengalaman penggunannya pada peranti iOS adalah tidak sebaik di Android.

Mikrofon yang digunakan juga baik. Semasa melakukan panggilan telefon, kami diberitahu suara adalah jelas walaupun dengan ANC diaktifkan. Kami tiada isu juga menggunakannya EAH-AZ60 untuk beberapa sesi telesidang.

EAH-AZ60 juga tidak menawarkan sebarang gimik seperti audio spatial 360 darjah atau Dolby Atmos pada waktu ini. Atas sebab yang sama pengalaman menggunakannya pada peranti iOS tidak sebaik menggunakan sebuah AirPods. Jelas wujud pro dan kontra bergantung kepada platform yang digunakan. Pada PC misalnya, kualiti audio yang dinikmati adalah tidak sebaik Android. Ada ulasan mengatakan kualiti audio EAH-AZ60 adalah di bawah Sony WF100XM4 tetapi saya tidak boleh mengesahkannya kerana tidak mengulasnya tempoh hari.

Bateri

Dengan ANC dan LDAC hayat penggunaan fon telinga ini adalah hanya sekitar 4 jam dan ini adalah kurang memberangsangkan. Jika ANC sahaja diaktifkan, sepatutnya ia bertahan sekitar 7 jam tetapi dalam penggunaan dunia sebenar saya hanya dapat menikmatinya sekitar 6 jam sahaja kerana saya lebih gemar mendengar muzik pada tetapan tinggi dan ANC juga pada kekuatan maksimum.

Pengecasan semula adalah sekitar 3 jam juga saya rasakan perlahan kerana input kuasa sekitar 5W sahaja. Apa yang saya lakukan sepanjang tempoh ulasan ialah mengecas pod di pejabat setiap hari. Dengan ini putik audio akan sentiasa dicas sepenuhnya apabila tidak begitu digunakan di rumah. Tiadanya pengecasan nirwayar adalah mengecewakan tetapi jika pengecasan berwayar pun membuatkan kami berjanggut menunggu sistem nirwayar akan membuatkan kami berjambang.

Kesimpulan

Technics EAH-AZ60 ialah TWS terbaik yang pernah saya gunakan sejak mula mengulas peralatan audio di Amanz. Audionya terang, lantas, dan mantap walaupun saiznya tidak begitu besar. Dengan sokongan LDAC, penstriman audio pada kadar bit yang lebih tinggi dapat dinikmati. Ini ialah ciri yang lazimnya hanya diberikan kepada fon kepala tetapi kini sudah mula ditawarkan kepada TWS. Jika kualiti audio adalah penting bagi anda, EAH-AZ60 tidak mengecewakan.

Sokongan ciri tambahan dan aplikasi yang baik membuatkan penggunaan TWS ini menjadi lebih mudah. Pelbagai parameter mod Ambient, ANC dan pad sesentuh boleh diubah mengikut keperluan pengguna.

Kekurangan terletak pada putik telinga yang agak besar dan berat. Pod pengecas yang terasa murah juga membuatkan kami tawar hati memandangkan EAH-AZ60 dijual pada harga RM1049. Sepatutnya pada harga ini, komponen premium sahaja digunakan seperti yang dilakukan oleh Sony.

Pro

  • Prestasi audio yang amat memuaskan.
  • Mod ANC dan Ambient yang cukup cemerlang.
  • Adanya sokongan codec LDAC.
  • Pad sesentuh amat responsif kepada arahan gestur yang diberikan.
  • Perisian telefon pintar yang baik.
  • Kalis air IPX4.

Kontra

  • Pod pengecas/simpanan tidak premium terasa murah.
  • Hayat bateri dengan LDAC adalah agak pendek.
Komen