Cari @ Amanz

Samsung ialah pengeluar telefon pintar dengan pasaran terbesar pada tahun 2020 dengan nampaknya kan mengekalkan kedudukan ini pada tahun 2021. Majoriti peranti yang dijual mereka adalah peranti kelas pertengahan kerana ia masih menawarkan beberapa ciri yang tidak lagi ditawarkan pada peranti mercu mereka. Tahun ini Samsung Galaxy A52s 5G ialah peranti yang paling semuanya ada. Dalam ulasan ini saya akan cuba menerangkan mengapa Galaxy A52s layak dimasukkan ke dalam senarai peranti kelas pertengahan premium terbaik Amanz

Spesifikasi

Samsung Galaxy A52s 5G
Skrin6.5″ SAMOLED,
1080 x 2400 pixel, (405 PPI), 120Hz
PemprosesSnapdragon 778G (6nm)
Cip4 X 2.0 GHz Kryo 260 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 26o Silver
Cip GrafikAdreno 642L
RAM8GB
Muatan Dalaman256 GB (mikro SD 1TB)
Kamera Utama64+12+5+5 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4, OIS
Kamera Swafoto32 Megapixel f/2.2
Bateri4500 mAh
Pengecasan berwayar 25W
SIM/TelefoniNano/5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirIP67
Sistem ImbasanPengimbas cap jari
Harga JualanRM 1899

Skrin

Skrin 6.5″ Super AMOLED yang digunakan bukanlah yang paling besar di pasaran tetapi mencukupi untuk melayari web, menonton video dan menikmati permua. Dengan resolusi FHD+ sahajapun, skrin masih kelihatan cantik dan tajam. Samsung menyertakan sokongan kadar segar semuka 120Hz tetapi ini adalah dari jenis diaktifkan setiap masa bukan LTPO yang adaptif. Memang tatalan terasa lancar namun ia biasanya menimbulkan isu penggunaan bateri yang tinggi.

Terdapat sokongan HDR apabila memainkan kandungan di YouTube tetapi tidak pada aplikasi Netflix. Malahan pada spesifikasi rasmi, skrin ini tidak mempunyai sebarang piawaian HDR. Aneh kerana HDR10+ yang dipopularkan oleh Samsung biasanya disertakan pada peranti dengan skrin Super AMOLED mereka. Ini sedikit sebanyak meletakkannya sedikit di belakang Xiaomi 11 Lite 5G NE yang menyokong Dolby Vision.

Sungguhpun begitu skrin ini masih mempunyai saiz bezel yang kecil dan rata. Saya adalah antara pengguna yang memerlukan skrin rata kerana ia membolehkan video ditonton dan aplikasi kamera digunakan tanpa kandungan melimpah ketepi. Ia juga lebih praktikal kerana bahagian sisi tidak begitu terdedah sekiranya peranti terjatuh secara tidak sengaja.

Sebuah pengimbas cap jari turut diletakkan di bahagian bawah skrin. Ianya pantas mengesan jari kami apabila ia diletakkan pada ikon sensor. Kami difahamkan ia adalah dari keluarga optikal tetapi masih lagi memuaskan dengan hanya sukar membaca cap jari jika jari sedikit basah. Komen kami hanyalah kedudukan sensor sepatutnya lebih tinggi seperti yang dilakukan pada Galaxy S21 Ultra. Akhir sekali sebuah lubang kamera diletakkan simetri di bahagian atas.

Rekaan

Rekaan Samsung Galaxy A52 dikitar semula pada Galaxy A52s. Badan berbentuk kotak mempunyai bahagian bingkai yang diperbuat daripada logam yang keras. Sisi dibulatkan bagi memastikan peranti yang agak besar ini selesa dipegang di dalam tangan pengguna. Butang laras audio dan kuasa terletak di sisi kanan. Kesemua butang ini diperbuat daripada logam juga dengan binaan yang cukup tegap.

Pada bahagian bawah terdapat sebuah port pengecasan USB-C yang dihimpit oleh bicu audio 3.5mm pada bahagian kiri dan kekisi audio pada bahagian tangan. Tiada apa-apa pada sisi kiri dan slot SIM bersaiz nano pula diletakkan pada bahagian atas. Slot SIM memerlukan jarum untuk dikeluarkan dengan terdapat dua ruang untuk kad SIM bersaiz nano dan satu kad mikro SD. Sekiranya storan 256GB yang diberikan tidak mencukupi, pengguna boleh menambah sehingga 1TB. Ini satu lagi ciri yang semakin pupus sedangkan suatu ketika dahuly ia adalah ciri mengapa pengguna memilih perangi Android.

Panel belakang diperbuat daripada panel polikarbonat yang sama seperti Galaxy A52. Saya tahu ramai yang membenci panel polikarbonat tetapi ia membuatkan peranti lebih ringan dan lebih tahan lasak berbanding panel kaca. Samsung sudah bereksperimen dengan panel polikarbonat sejak tiga tahun lalu dan kini ia sudah menjadi perkara normal pada peranti siri Galaxy A. Memang saya akui ianya terasa sedikit murah tetapi dengan ramai pengguna membeli kerangka, ia dengan mudah boleh disorokkan.

Tubuh peranti turut melepasi piawaian kalis air serta debu IP67. Samsung meneruskan janji mereka untuk menawarkan ciri-ciri peranti mercu pada peranti siri Galaxy A. Ini ialah salah satu kelebihan Samsung kerana kebanyakan pesaing mereka langsung tidak mengeluarkan peranti dengan piawaian yang sama atau sekadar kalis percikan air. Dengan Malaysia mempunyai iklim hujan boleh datang tiba-tiba dan kini berhadapan pula dengan bencana banjir, peranti dengan IP67 ke atas saya rasakan sudah perlu menjadi keperluan untuk memastikan ia tidak mudah rosak jika berlaku bencana.

Secara keseluruhan rekaan Galaxy A52s tidak menakjubkan atau terasa premium tetapi ia lebih praktikal untuk kegunaan harian. Bagi yang lebih mementingkan estetik, saya tidak boleh mengubah pendapat anda mengenai penggunaan panel polikarbonat. Tetapi sungguhpun tidak kelihatan premium sekalipun, peranti masih selesa digunakan dalam tangan kerana tidak terlalu berat, saiz yang cukup selesa untuk penggunaan sebelah tangan dan tahan lasak untuk mereka yang mempunyai gaya hidup yang aktif.

Penggunaan Dan Perisian

Penggunaan adalah amat mirip dengan telefon pintar mercu Samsung seperti Galaxy S21 Ultra dan Galaxy Z Flip3. Kesemua ciri yang ada pada Galaxy S21 Ultra disertakan juga pada Galaxy A52s. Samsung percaya dengan memberikan ciri sama rata tanpa mengira kasta peranti. Anda mahukan mod gelap, skrin segar semula tinggi, Side Panel dan Multi Window? Semuanya ada dan cukup sifat. Ini adalah tidak mengejutkan kerana One UI 3.1 berasaskan Android 11 ialah antara antaramuka yang paling banyak menambah ciri yang tidak disertakan pada Android asli.

Rekaan One UI ini sendiri menjadi ikutan pengeluar lain seperti Oppo, OnePlus dan berani kami katakan Pixel Laucher kerana amat mudah digunakan dengan sebelah tangan dan elemen antaramuka yang diletakkan pada kedudukan yang ergonomik. Bagi yang menantikan menantikan Android 12, Galaxy A52s ialah antara peranti yang disahkan akan menerimanya tahun ini dengan sokongan sistem operasi diberikan sehingga tiga tahun.

Ciri lain yang menarik ialah RAM Plus yang menambah 4GB RAM secara maya sekiranya diperlukan oleh pengguna. Bagi yang memiliki komputer Windows pula, sokongan Link To Windows untuk memaparkan kandungan telefon pada komputer peribadi turut disertakan sebagai standard. Yang tiada dan kami sedari ialah sokongan DeX. Ciri ni nampaknya masih eksklusif kepada peranti dan tablet kelas mercu Samsung sahaja setakat ini.

Pengalaman penggunaan memang memuaskan tetapi saya menyedari bahawa ia tidak selancar pengalaman pada peranti mercu seperti Galaxy S21 Ultra. Dapat dirasakan proses membuka aplikasi dan menukarnya perlahan sedikit. Sekiranya anda tidak pernah menggunakan peranti mercu Samsung dengan One UI sebelum ini, perbezaan kelancaran ini mungkin tidak akan disedari. Secara keseluruhan One UI 3.1 pada Galaxy A52s menawarkan pelbagai ciri tambahan yang menarik yang akan membantu proses menggunakan peranti.

Telefoni dan GPS

Sokongan Dwi-SIM 5G serentak disertakan bagi mereka yang ingin menggunakan dua perkhidmatan selular secara serentak. Galaxy A52s 5G ialah antara peranti yang akan hanya menerima sokongan 5G di Malaysia bermula suku pertama 2022. Oleh itu kami sekadar dapat menguji rangkaian 4G sahaja setakat ini. Panggilan telefon adalah terang dan jelas lengkap dengan VoLTE dan WiFi Calling secara terbina. Jadi jika rangkaian selular anda lemah, masih terdapat sandaran. Capaian GPS juga pantas dengan lokasi dapat dijejak dengan pantas walaupun diantara bangunan-bangunan di sekitar Kuala Lumpur.

Penanda Aras

Markah penanda aras yang dicatatkan menggunakan Geekbench 5 dan Antutu 3D menunjukkan prestasi Snapdragon 778G yang agak baik. Ia mencatatkan 880/2994 markah dalam ujian Geekbench 5 dan 506,621 markah dalam ujian Antutu 3D. Markah penanda aras yang dicatatkan adalah sedikit lebih rendah berbanding Snapdragon 870 yang kategorikan sebagai kelas pertengahan mercu tahun lalu.

Dalam kegunaan harian tiada isu pemanasan dapat kami kesan. Menjalankan permua pada tetapan sederhana juga dapat dilakukan dengan lancar. Snapdragon 778G ialah cip kelas pertengahan jadi adalah tidak realistik untuk membandingkan prestasinya dengan Snapdragon 888 apatah lagi Apple A15 Bionic. Yang pasti jika anda meminati permua PUBG Mobile, COD Mobile dan Genshin Impact, ketiga-tiga aplikasi dapat dimainkan tanpa sebarang isu pada tetapan yang konservatif. Jika tetapan tinggi dipilih juga, jangan terkejut apabila prestasi kurang memuaskan.

Kamera

Sistem kuad-kamera 64MP sudut lebar, 12MP ultra sudut lebar, 5MP makro dan 5MP kedalaman digunakan pada bahagian belakang dan 32MP pula di bahagian hadapan. Hanya lensa sudut lebar dilengkapi sistem OIS. Di atas kertas sistem kamera adalah setanding dengan yang ditemui pada Xiaomi 11 Lite 5G NE dan sama dengan yang digunakan pada Galaxy A52 sebelum ini.

Kamera dilengkapi sistem kecerdasan pintar yang kini digunakan pada hampir kesemua aplikasi kamera. Tetapan terbaik akan digunakan dengan saranan untuk menggunakan mod malam atau lensa ultra sudut lebar bergantung kepada situasi. Perisian kamera Galaxy A52s adalah amat mudah digunakan.

Kualiti gambar yang diambil adalah baik. Jelas, terang dan paling penting sekali tajam. Sistem OIS banyak membantu untuk memastikan setiap gambar yang diambil adalah baik. Penghasilan semula warna juga memuaskan apabila menggunakan lensa utama ini. Gambar dari lensa ultra sudut lebar pula bergantung kepada situasi. Jika diambil dengan tangan yang stabil maka baiklah hasilnya.

Ketiadaan OIS pada lensa ultra sudut lebar ini amat dirasai lebih-lebih lagi apabila menggunakan mod malam. Gambar menjadi kurang tajam dalam mod malam apabila lensa ultra sudut lebar digunakan. Zum digital yang digunakan pula hanya senonoh sehingga sekitar 5X. Selepas melangkaui had ini gambar menjadi pecah dan pada waktu malam langsung tidak boleh digunakan.

Mod makro juga saya rasakan adalah sekadar gimik. Seperti yang berlaku pada kesemua peranti kelas pertengahan dengan lensa makro yang dipadankan dengan sensor bersaiz kecil, gambar yang terhasil tidak tajam, tidak cukup terang dan mengingatkan saya kepada peranti dari awal 2010. Lebih baik dibuang sahaja lensa makro dalam situasi seperti ini. Untuk menikmati kualiti makro yang baik anda perlu membeli peranti kelas mercu seperti Galaxy S21 Ultra atau Oppo Find X3 Pro. Amat menyedihkan sekali dan diharap pada tahun 2022 ini, lensa makro yang berguna akan digunakan pada peranti kelas pertengahan.

Bateri

Bateri 4500 mAh yang digunakan adalah sama seperti Galaxy A52 tetapi pada Galaxy A52s ia mampu bertahan lebih lama. Waktu SOT antara 9-11 jam dapat kami nilkmati setiap hari pada penggunaan sederhana. Ia boleh bertahan melebihi sehari sekiranya digunakan dengan lebih ringan. Kepada yang ingin membeli, hayat peranti antara 11-16 jam dapat dinikmati pada penggunaan sederhana. Pengecasan semula mengambil masa sekitar 90 minit menggunakan pengecas 25W. Sistem pengecasan yang digunakan bukanlah yang paling pantas tetapi ia juga tidaklah terlalu perlahan. Tiada sokongan pengecasan nirwayar atau berbalik disertakan.

Audio

Audio stereo dengan Dolby Atmos dapat dinikmati menggunakan speaker stereo. Bunyi yang dihasilkan kedengaran lebih dinamik jika dibandingkan tanpa Atmos. Audio masih kurang seimbang kerana arah kekisi audio yang berbeza dengan speaker bawah lebih lantang. Pada tetapan paling tinggi bunyi masih lantang dan tidak pecah. Untuk pengalaman audio terbaik saya sarankan menggunakan fon telinga dengan LDAC. Bagi mereka yang tidak mempunyai fon telinga/kepala nirwayar, sambungan secara berwayar disertakan menerusi bicu audio 3.5mm pada bahagian bawah.

Pesaing

Samsung Galaxy A52s 5GXiaomi 11 Lite 5G NEHonor 50
6.5″ SAMOLED, 1080 x 2400, 120Hz, (405 PPI), HDR10+
6.55″ AMOLED, 1080 x 2400, 90Hz, (402 PPI), Dolby Vision6.57″ OLED, 1080 x 2340,
120Hz, (392 ppi)
Snapdragon 778G (6nm)
4 X 2.4 GHz Kryo 670 Gold
4 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver
Snapdragon 778G (6nm)
4 X 2.4 GHz Kryo 670 Gold
4 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver
Snapdragon 778G (6nm)
4 X 2.4 GHz Kryo 670 Gold
4 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver
Adreno 642LAdreno 642LAdreno 642L
8 GB 8 GB8 GB
256 GB
(Mikro SD 1TB)
256 GB

256 GB
(Mikro SD 512GB)
Kamera Utama
64+12+5+5 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4
Kamera Utama
64+8+5 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4)
Kamera Utama
108+8+2+2 Megapixel (f/1.9+f/2.2+f/2.4+f/2.4)
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
20-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.2
IP67IP53Tidak kalis air
Bicu audioTiada Bicu audioTiada Bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Mono
4500 mAh (Berwayar 25W)4250 mAh (Berwayar 33W)4300 mAh (Berwayar 66W)
Harga RM1899Harga RM1599Harga RM1999

Kesimpulan

Samsung Galaxy A52s 5G ialah peranti kelas pertengahan terbaik ditawarkan oleh Samsung tahun ini. Dilengkapi cip kelas pertengahan Snapdragon 778G yang berkuasa dipadankan dengan kamera yang baik dan paling penting sekali kesemua ciri tambahan yang kini tidak lagi ditemui pada peranti mercu sekalipun. Ini adalah sebab mengapa A52s 5G menjadi antara tiga peranti kelas pertengahan premium terbaik untuk tahun 2021.

Bagi yang tidak mahu berkompromi dalam penawaran ciri dan prestasi, Galaxy A52s ialah peranti yang kami tiada masalah sarankan kepada anda. Kekurangan hanya terletak pada binaan panel belakang polikarbonat yang mungkin dianggap murahan dan sokongan 5G belum diaktifkan di Malaysia pada waktu ini. Tetapi di akhir hari, Samsung Galaxy A52s 5G pada waktu ini ialah antara peranti yang paling lengkap dengan semua ciri yang diperlukan tersedia.

Pro

  • Rekaan kemas yang selesa di dalam tangan.
  • Cip Snapdragon 778G adalah berkuasa dan tidak mengecewakan.
  • Masih dilengkapi bicu audio 3.5m
  • Kalis air IP67.
  • Kemampuan fotografi yang baik.

Kontra

  • Pengecasan hanya 25W tidak sepantas peranti pengeluar.
  • Panel belakang polikarbonat.
  • Kamera makro hanya gimik.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd