Peranti Terbaik Amanz 2021 – Telefon Kelas Pertengahan Premium

Diterbitkan pada Dis 28, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tirai 2021 semakin hampir tutup kedai dengan baki bawa bawah akan disambung pada tahun 2022. Setiap tahun sudah menjadi tradisi di Amanz kami akan menyenaraikan peranti-peranti terbaik 2021. Tahun ini sedikit berbeza kerana artikel peranti terbaik Amanz akan dipecahkan kepada beberapa bahagian bagi memudahkan pembacaan pada telefon pintar. Kami melihat statistik dan lebih 80% pembaca mengakses menggunakan telefon pintar. Maka artikel dengan 2000 patah perkataan pada telefon pintar adalah menyakitkan mata.

Masa untuk peranti kelas pertengahan premium pula. Nampaknya senarai yang kami terbitkan semalam menimbulkan kontroversi kerana tiadanya Galaxy A52. Persoalan kenapa tiada ada akan terjawab hari ini.


Kriteria Pemilihan

  • Tiada batasan harga dan peranti dinilai berdasarkan ciri-ciri yang disertakan.
  • Skrin sebesar 6-inci dan ke atas.
  • Prestasi yang baik dengan cip kelas pertengahan sehingga Snapdragon 870
  • Kemampuan kamera yang baik.
  • Menggunakan Android 11
  • Telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia

Tempat Ketiga – Samsung Galaxy A52s 5G

Kenapa kami tidak meletakkan Samsung Galaxy A52s 5G dalam senarai peranti berbaloi? Kerana kami merasakan ia lebih sesuai diletakkan dalam senarai antara peranti kelas pertengahan premium terbaik 2021. Kami kelaskan ia sebagai premium kerana dilengkapi pemproses Snapdragon 778G yang berkuasa, hadir dengan kamera OIS, klasik air, sokongan kad mikro SD, bicu audio 3.5mm, speaker stereo dan skrin HDR10.

Samsung Galaxy A52s 5G menawarkan kesemua di atas dalam pakej menarik RM1899 sahaja. Nilai tambahan lain peranti ini ialah menambah RAM secara maya menggunakan RAM Plus dan menerima sokongan kemas kini sistem operasi sehingga 3 tahun seperti peranti mercu Samsung yang lain. Ia juga mempunyai sokongan 5G tidak seperti A52 dan A72. Kesemua ciri-ciri ini adalah sebab utama A52s 5G kami pilih dan bukannya Honor 50 yang mempunyai spesifikasi setanding.

Spesifikasi: 6.5” SAMOLED FHD+ 120Hz, Snapdragon 778G 6nm (1X Kryo 670 Prime 2.4 GHz + 3X Kryo 670 Gold 2.2 GHz + 4X Kryo 670 Silver 1.9GHz), 8GB RAM, storan 256GB, 64+12+5+5 MP (Utama), 32 MP (Swafoto), 4500 mAh (25W), Android 11.

Harga: RM1899 (8/256GB)

Tempat Kedua – Oppo Reno6 Pro

Oppo Reno6 Pro di tangga kedua kerana ia menggabungkan rekaan yang sebaik peranti kelas mercu dengan pemproses Snapdragon 870. Skrin Super AMOLED melengkung menyokong paparan HDR10+ dan kelihatan amat cantik lengkap dengan pengimbas cap jari bawah skrin yang pantas. Jika memori 12GB RAM yang diberikan anda rasakan masih tidak mencukupi, 7GB RAM boleh ditambah lagi secara maya!

Kekuatan sebenar Reno6 Pro terletak pada sistem kuad -amera. Lensa utama mempunyai sokongan sistem OIS yang amatlah perlu bagi memastikan gambar yang diambil tajam terutamanya apabila menggunakan mod malam. Malah kami merasakan kualiti gambar yang diambil dengan Reno6 Pro adalah setanding dengan peranti kelas mercu. Lebih penting ialah ia menyokong pengecasan pantas 65W yang juga lebih pantas berbanding majoriti peranti mercu yang kami ulas tahun ini.

Spesifikasi: 6.55” SAMOLED FHD+ 90Hz, Qualcomm Snapdragon 870 7nm (1X Kryo 585 Prime 3.2 GHz + 3X Kryo 585 Gold 2.42 GHz + 4X Kryo 585 Silver 1.8 GHz), 12+7 GB RAM, storan 256GB, 50+13+16+2 MP (Utama), 32MP (Swafoto), 4500 mAh (65W), Android 11.

Harga: RM2989 (12/256GB)

Juara – Vivo X70 Pro 5G

Juara peranti kelas pertengahan premium di Amanz untuk tahun 2021 ialah Vivo X70 Pro 5G. Peranti ini mempunyai spesifikasi yang paling padu di antara kesemua peranti pesaing dalam senarai ini. Kelebihannya terletak pada kemampuan fotografi kerana hadir dengan gimbal. Gambar yang diambil tajam sementara video pula paling stabil untuk sebuah peranti kelas pertengahan.

Ini dipadankan pula dengan lensa Zeiss yang semalam ini eksklusif untuk peranti Nokia sahaja sebelum kini digunakan juga oleh peranti Sony. Gambar yang diambil oleh X70 Pro adalah sangat mantap terutamanya mod malam. Ia mampu memalukan beberapa peranti mercu tahun 2021 dari segi kemampuan fotografi.

Mungkin ialah sebab mengapa Vivo menjual peranti ini pada harga RM3299 sebuah. Tetapi dalam anugerah peranti terbaik Amanz faktor harga tidak diambil kiri. Sebaliknya kami mencari yang terbaik di dalam kelasnya. Oleh itu kami meletakkan Vivo X70 Pro 5G sebagai peranti kelas pertengahan premium terbaik 2021.

Spesifikasi: 6.56” AMOLED FHD+ 120Hz, MediaTek Dimensity 1200 5G 6nm (1X Kryo 585 Prime 3.2 GHz + 3X Kryo 585 Gold 2.42 GHz + 4X Kryo 585 Silver 1.8 GHz), 12GB RAM, storan 256 GB, 50+8+12+12 MP (Utama), 32MP (Swafoto), 4450 mAh (44W), Android 11.

Harga: RM3299 (12/256GB)


Baiklah pemenang peranti kelas pertengahan premium telah diumumkan. Jadi adakah anda bersetuju atau mempunyai calon pilihan peribadi yang dirasakan lebih layak? Kongsikan di rumahan komen di bawah.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami