Tirai 2021 semakin hampir tutup kedai dengan baki bawa bawah akan disambung pada tahun 2022. Setiap tahun sudah menjadi tradisi di Amanz kami akan menyenaraikan peranti-peranti terbaik 2021. Tahun ini sedikit berbeza kerana artikel peranti terbaik Amanz akan dipecahkan kepada beberapa bahagian bagi memudahkan pembacaan pada telefon pintar. Kami melihat statistik dan lebih 80% pembaca mengakses menggunakan telefon pintar. Maka artikel dengan 2000 patah perkataan pada telefon pintar adalah menyakitkan mata.
Kita mulakan dahulu dengan senarai telefon pintar terbaik bawak RM1000 terlebih dahulu kerana ini ialah kategori yang paling popular lebih-lebih dalam dunia masih bertarung dengan pandemik dan pelbagai bencana alam melanda negara. Peranti yang murah tetapi tidak berkompromi dengan prestasi menjadi buruan ramai.
Kriteria Pemilihan
- Harga mesti di bawah RM1000 sebelum promosi.
- Skrin sebesar 6-inci dan ke atas.
- Prestasi masih memuaskan walaupun pemproses berusia.
- Port pengecasan USB-C
- Menggunakan Android 11
- Telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia
Tempat Ketiga – Infinix Zero X Neo
Buat pertama kalinya dalam sejarah Amanz, sebuah peranti Infinix menjadi antara tiga peranti terbaik. Infinix Zero X Neo layak dimasukkan ke dalam senarai ini kerana ia dijual pada harga RM899 sahaja. Namun begitu ia masih dilengkapi skrin besar 90Hz, jumlah RAM yang memuaskan, kamera telefoto dengan OIS, bateri yang besar dengan sokongan pengecasan 18W yang cukup pantas.
Pemproses Helio G95 bukan yang paling berkuasa tetapi dengan teras Cortex-A76 ia mempunyai prestasi yang setanding dengan sebuah Snapdragon 675. Untuk wang yang dibelanjakan pembeli mendapat pelbagai ciri menarik yang hanya tiga tahun yang lalu mustahil untuk ditemukan pada sebuah peranti sub-RM1000.
Seperkara lagi yang menarik pada tahun 2021 ialah, peranti yang mampu milik sekalipun boleh dibeli dengan sistem operasi Android 11 tersedia. Masihkah anda ingat zaman sistem operasi setahun ke belakang digunakan pada peranti kelas mampu milik? Google memperketatkan syarat untuk menggunakan Android dan GMS maka hasilnya ialah pengguna yang meraih keuntungan.
Spesifikasi: 6.78” IPS LCD FHD+ 90Hz, MediaTek Helio G95 12nm (2X Cortex-A76 2.05 GHz + 6X Cortex-A55 2.0 GHz), 8GB RAM, storan sehingga 128GB, 48+8+2MP (Utama), 16MP (Swafoto), 5000 mAh (18W), Android 11.
Harga: RM899 (8/128GB)
Tempat Kedua – Honor 50 Lite
Honor kembali ke Malaysia dengan peranti-peranti yang mempunyai sokongan GMS tahun ini. Sejak tidak lagi bergerak di bawah payung Huawei, Honor dibenarkan menggunakan GMS, membeli cip Snapdragon dan hadir dengan antaramuka MagicUI yang amat mirip dengan EMUI. Kami telah mengulas Honor 50 Lite dan ia kami rasakan adalah alternatif paling mampu milik bagi pengguna peranti Honor dan Huawei yang tidak lagi disokong oleh syarikat.
Bagi mereka yang mahukan antaramuka seakan EMUI tetapi hadir dengan sokongan GMS bersama dengan aplikasi YouTube, Gmail, Maps, Drive dan banyak lagi yang diperlukan oleh pengguna di Malaysia. Kami berpuas hati dengan prestasi Snapdragon 662 yang dipadankan dengan 8GB RAM dan storan 1288GB.
Bateri mungkin tidak begitu besar tetapi diberikan sokongan pengecasan 66W yang disertakan dengan pembelian. Menarik sekali melihat peranti bawah RM1000 hadir dengan sistem pengecasan yang lebih pantas berbanding peranti yang dijual pada harga RM6-7000 sebuah. Inilah realitinya pada tahun 2021.
Spesifikasi: 6.67” IPS LCD FHD+ 60Hz, Qualcomm Snapdragon 662 11nm (4X Kryo 260 Gold 2.0 GHz + 4X Kryo 460 Silver 1.8 GHz), 8GB RAM, storan sehingga 256GB, 64+8+2+2MP (Utama), 16MP (Swafoto), 4300 mAh (66W), Android 11.
Harga: RM999 (8/128GB)
Juara – Poco M4 Pro 5G
Baik beli Poco kembali di tahun 2021 selepas agak sendu tahun lalu. Poco ialah jenama yang paling murah diantara Xiaomi, Redmi dan Poco. Tetapi murah tidak bermakna tidak berbaloi. Kami katakan begitu kerana masih hadir dengan skrin 90Hz, cip Dimensity 810G, bateri yang besar dan sokongan rangkaian 5G. Ini ialah satu-satunya peranti 5G di dalam senarai peranti bawah RM1000 yang kami sarankan tahun ini.
Ini juga antara peranti yang menyokong rangkaian 5G yang sudah mula ditawarkan di Malaysia. iPhone 13 Pro Max dan Galaxy Z Fold3 pun masih belum boleh menyokong rangkaian 5G Malaysia pada waktu artikel ini ditulis. Kesemua ciri menarik ini boleh dinikmati dengan hanya membayar RM849 untuk model paling mampu milik. Jika 5G tidak penting bagi anda, Dimensity 810G ialah pemproses yang menawarkan prestasi permua kelas pertengahan yang tidak mengecewakan. Atas sebab-sebab ini, Poco M4 Pro 5G ialah peranti bawah RM1000 terbaik Amanz untuk tahun 2021.
Spesifikasi: 6.6” IPS LCD FHD+ 90Hz, MediaTek Dimensity 810 5G 6nm (2X Cortex-A76 2.4 GHz + 6X Cortex-A55 2.0 GHz), 4/6GB RAM, storan 64/128GB, 50+8 MP (Utama), 16MP (Swafoto), 5000 mAh (33W), Android 11.
Harga: RM849 (4/64GB) / RM999 (6/128GB)
Baiklah ini ialah senarai peranti-peranti terbaik bawah RM1000 untuk tahun 2021 menurut pilihan barisan editorial Amanz. Tahniah diucapkan kepada pemenang. Untuk senarai peranti-peranti terbaik 2021, nantikan artikel yang akan kami terbitkan menjelang 2022 minggu hadapan. Adakah anda bersetuju dengan pilihan kami? JIka tidak apakah peranti yang anda rasakan lebih layak?