Carian
Peranti Terbaik Amanz 2021 – Telefon Nilai Terbaik
December 27, 2021 Effi Saharudin

Tirai 2021 semakin hampir tutup kedai dengan baki bawa bawah akan disambung pada tahun 2022. Setiap tahun sudah menjadi tradisi di Amanz kami akan menyenaraikan peranti-peranti terbaik 2021. Tahun ini sedikit berbeza kerana artikel peranti terbaik Amanz akan dipecahkan kepada beberapa bahagian bagi memudahkan pembacaan pada telefon pintar. Kami melihat statistik dan lebih 80% pembaca mengakses menggunakan telefon pintar. Maka artikel dengan 2000 patah perkataan pada telefon pintar adalah menyakitkan mata.

Sebelum ini kami menerbitkan senarai tiga peranti bawah RM1000 terbaik Amanz untuk tahun 2021. Hari ini tiba pula giliran untuk peranti dengan nilai terbaik tahun 2021. Teruskan ke tiga pemenang di bawah.


Kriteria Pemilihan

  • Harga mesti di bawah RM2200 sebelum promosi.
  • Skrin sebesar 6-inci dan ke atas.
  • Prestasi yang baik dengan cip tidak mengira kelas.
  • Ciri-ciri tambahan yang meningkatkan nilai.
  • Menggunakan Android 11
  • Telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia

Tempat Ketiga – Samsung Galaxy A52

Samsung Galaxy A52 berjaya memasuki senarai tiga peranti kelas pertengahan dengan nilai yang terbaik kerana ia dilengkapi pemproses Snapdragon 720G yang berkuasa, mempunyai kemampuan kalis air IP67, dilengkapi kamera dengan OIS, skrin OLED 90Hz, speaker stereo, bateri besar, sokongan kad mikro SD dan bicu audio 3.5mm. Ini kesemuanya adalah ciri yang jarang dilihat pada peranti pintar tahun 2021 atas sebab ingin mengurangkan kos.

Pakej yang cukup menarik ini ditawarkan pada harga RM1899 di Malaysia yang kami rasakan berbaloi untuk wang yang dibelanjakan. Ia mungkin antara peranti paling lengkap penawaran cirinya sepanjang 2021. Kekurangan hanya terletak pada tiadanya sokongan 5G dan panel belakang yang diperbuat daripada bahan polikarbonat. Atas sebab-sebab inilah ia hanya layak diletakkan di tempat ketiga.

Spesifikasi: 6.5” SAMOLED FHD+ 90Hz, Snapdragon 720G 8nm (2X Kryo 465 Gold 2.3 GHz + 6X Kryo 465 Silver 1.8 GHz), 8GB RAM, storan sehingga 256GB, 64+12+8+5 MP (Utama), 32 MP (Swafoto), 4500 mAh (25W), Android 11.

Harga: RM1899 (8/256GB)

Tempat Kedua – Realme GT Neo2

Realme juga tidak kurang hebatnya tahun ini dengan penawaran peranti yang boleh dibeli pada harga yang amat kompetitif. Dengan Realme GT Neo2, anda boleh memiliki sebuah telefon pintar dengan Snapdragon 870 dengan harga hanya RM2099. Ianya berbaloi kerana cip ini membawakan prestasi permua yang amat memuaskan dan turut menyokong rangkaian 5G.

Selain itu skrin AMOLED yang digunakan adalah besar dan hadir dengan kadar segar semula 120Hz. Hasilnya ialah pengalaman penggunaan yang terasa lebih lancar. Bagi yang gemar memainkan permua, bateri 5000 mAh yang disertakan boleh memberikan tempoh permainan yang lama. Kemudian apabila bateri habis ia boleh dicas semula menggunakan pengecas 65W yang cukup pantas.

Kekurangannya pula ialah tiada sebarang piawaian kalis air dan bicu audio 3.5mm. Tetapi jika anda inginkan sebuah peranti untuk permua yang berbaloi untuk dimiliki.

Spesifikasi: 6.62” AMOLED FHD+ 120Hz, Qualcomm Snapdragon 870 7nm (1X Kryo 585 Prime 3.2 GHz + 3X Kryo 585 Gold 2.42 GHz + 4X Kryo 585 Silver 1.8 GHz), 12GB RAM, storan 256GB, 64+8+2 MP (Utama), 16MP (Swafoto), 500 mAh (65W), Android 11.

Harga: RM2099 (12/256GB)

Juara – Xioami 11T

Hanya ada satu sahaja peranti yang sejak ia dilancarkan di Malaysia kami rasakan layak untuk memenangi kategori peranti dengan nilai tebaik. Peranti tersebut ialah Xiaomi 11T yang kami rasakan lebih berbaloi berbanding 11T Pro. Pertama sekali ialah pemproses MediaTek Dimensity 1200 yang digunakan adalah dari kelas mercu yang mampu memberikan persaingan sengit kepada Snapdragon 888.

Ada sokongan 5G, skrin AMOLED 120Hz, kalis air IP53, kamera sensor besar, pengecasan pantas dan harga yang boleh dikatakan tidak masuk akal kerana lebih murah berbanding kebanyakan peranti kelas pertengahan tahun 2021. Xiaomi 11T menang secara default kerana ia peranti mercu yang murah mengalahkan Xiaomi 11 yang menjadi calon kami sejak Januari. Jika peranti bawah RM1000 dimenangi oleh Poco M4 Pro 5G, untuk peranti paling berbaloi 2021 ia adalah Xiaomi 11T yang tiada tandingannya.

Spesifikasi: 6.67” AMOLED FHD+ 120Hz, MediaTek Dimensity 1200 5G 6nm (1X Kryo 585 Prime 3.2 GHz + 3X Kryo 585 Gold 2.42 GHz + 4X Kryo 585 Silver 1.8 GHz), 8GB RAM, storan 128/256 GB, 198+8+5 MP (Utama), 16MP (Swafoto), 5000 mAh (67W), Android 11.

Harga: RM1699 (8/128GB) / RM1899 (8/256GB)


Baiklah pemenang peranti memberikan nilai terbaik 2021 telah kami terbitkan. Seterusnya ialah giliran peranti kelas pertengahan terbaik 2021 pula dalam masa beberapa hari. Teruskan bersama Amanz untuk senarai ini.

Komen