Cari @ Amanz

Tidak dapat dinafikan bahawa pelaksanaan PdPR dan kerja daripada rumah sejak awal tahun lalu telah mewujudkan kesan peningkatan terhadap penjualan tablet di pasaran. Di mana, aktiviti pembelajaran serta kerja dilakukan secara menyeluruh di rumah. Ini sekaligus menjadikan ramai pengguna mula mendapatkan tablet yang sesuai untuk pelbagai kegunaan. Tetapi mencari yang terbaik bukanlah mudah kerana kita perlu menilai setiap satu fungsinya terlebih dahulu. Kemudian, memilih tablet yang tepat juga memerlukan keputusan yang bijak untuk penggunaan lebih baik.

Bukan apa, terdapat sesetengah tablet di pasaran yang terlalu asas dan tidak memfokuskan kepada aktiviti produktiviti secara menyeluruh. Justeru itu, berikut kami senaraikan tiga tablet terbaik pilihan editorial Amanz. Ini termasuklah pilihan tablet bajet dan premium. Lebih menariknya, ia juga sesuai dijadikan pengganti kepada komputer riba kerana turut menyokong beberapa aksesori tambahan seperti papan kekunci dan stylus. Pada masa sama, kami juga telah mencubanya sendiri dalam artikel ulasan yang telah diterbitkan sebelum ini.


Kriteria Pemilihan

  • Tiada hada harga jualan.
  • Skrin sebesar 7-inci dan ke atas.
  • Prestasi memuaskan dengan cip tidak mengira kelas.
  • Gabungan fungsi tambahan yang meningkatkan nilai.
  • Ditawarkan secara rasmi di Malaysia pada tahun 2021.

Tempat Ketiga – Huawei MatePad 11

Huawei MatePad 11 adalah salah satu tablet terbaik kerana ia mampu menawarkan pengalaman yang hampir sama dengan penggunaan komputer riba. Ia menyokong papan kekunci magnetik dan Huawei M-Pencil generasi kedua yang dapat digunakan dengan lancar untuk tugasan produktiviti. Kemudian, skrin 10.95-inci TFT LCD 120Hz (WQXGA) adalah cukup besar dan terang boleh dianggap sesuai untuk memenuhi tuntutan ramai pengguna yang mahukan pengalaman penggunaan cukup imersif.

Seterusnya, penggunaan cip Snapdragon 865 juga masih lagi masih cukup berkuasa walaupun sudah berusia setahun. Sistem operasi juga telah dikemaskini ke HarmonyOS 2.0 yang amat mirip dengan EMUI sebelum ini. Oleh itu, kami yakin pengguna semestinya tidak akan mengambil masa yang lama untuk membiasakan diri dengannya. Seperkara yang menarik mengenainya, ia juga dilengkapi ciri tambahan yang mampu meningkatkan nilai seperti mirror mode, extend mode, collaborate mode dan kebolehan muat-turun aplikasi popular di Google Play menerusi GSpace.

Tidak berakhir di situ, swafoto pula 8MP adalah lebih mencukupi untuk sesi untuk sesi telesidang dan kamera 13MP cukup baik untuk menangkap pelbagai jenis gambar misalnya. Pengecasan 18W mungkin agak mengecewakan tetapi bateri yang disertakan adalah baik untuk jangka hayat penggunaan yang panjang. Kekurangan lain adalah tiadanya bicu audio, 6GB RAM tidak mencukupi dan terhad untuk sokongan WiFi. Atas sebab-sebab inilah ia hanya layak diletakkan di tempat ketiga. Baca ulasan penuh mengenai Huawei MatePad 11 di sini.

Spesifikasi: 10.95″ TFT LCD, 2560 x 1600, 120Hz, Snapdragon 865 (1 x Cortex-A77 2.84 GHz + 3 x Cortex-A77 2.4 GHz + 4 x Cortex-A55 1.8 GHz), 6GB RAM, storan 128GB, 13MP(Utama), 8MP (Swafoto), 7250 mAh (18W), Android 10.

Harga: RM1,999 (128GB) / RM2,399 (256GB)


Tempat Kedua – Xiaomi Pad 5

Xiaomi juga tidak kurang hebatnya tahun ini dengan penawaran tablet yang boleh ditawarkan pada harga kompetitif. Kami akui, ia juga adalah antara tablet yang paling seronok pernah kami ulas. Ia mempunyai beberapa faktor menarik seperti skrin yang cantik, meskipun panelnya adalah sejenis IPS LCD. Paparan 11-inci yang digunakan juga adalah sama saiz dengan Huawei MatePad 11, bahkan anda juga mampu menikmati kandungan HDR Dolby Vision melaluinya.

Seterusnya, ia juga berbaloi kerana cip Snapdragon 860 yang digunakan adalah cukup berkuasa. Pengalaman kami sendiri mendapati, majoriti aplikasi boleh dijalankan pada tetapan yang tinggi dengan lancar tanpa sebarang isu panas melampau. Dalam masa sama, ia juga mempunyai hayat bateri yang baik dengan sokongan pengecasan pantas 33W. Keupayaan pembesar suara yang memuaskan dengan lontaran audio yang lantang turut menjadikannya antara tablet yang menarik pada tahun ini.

Kekurangan pula ialah tiadanya ciri menambah RAM Memory Extension sedangkan penambahan memori ini sangat membantu untuk pengalaman lebih lancar. Seperkara lagi, perisian khusus untuk tablet ini juga masih tidak mencukupi. Baca ulasan penuh mengenai Xiaomi Pad 5 di sini.

Spesifikasi: 11″ IPS LCD, 1600 x 2560, 120Hz (274 ppi), Dolby Vision, Snapdragon 860 (1 X 2.96 GHz Kryo 485 Prime + 3 X 2.42 GHz Kryo 485 Gold + 4 X 1.78 GHz Kryo 485 Silver), 6GB RAM, storan 128/256, 13MP (Utama), 8MP (Swafoto), 8720 mAh (33W), Android 11

Harga: RM1,399 (128GB) / RM1,599 (256GB)


Juara – Apple iPad Mini Gen 6

Ini juga adalah tablet yang paling menyeronokkan pernah kami ulas untuk jangka masa yang lama. Mengapa? Tablet ini mempunyai rekaan keseluruhan yang tidak mengecewakan. Ia didatangkan dengan tubuh yang teguh, bergaya dan tegap. Bahkan, penggunaan sebelah tangan juga langsung tidak memberi sebarang masalah.

Seterusnya, saiz skrin yang lebih besar berbanding pendahulunya turut menjadikan tablet ini terbaik kerana anda boleh melihat apa yang dipaparkan dengan mudah. Selain itu, gabungan sokongan Apple Pencil Gen 2 dan cip Apple A15 Bionic yang berkuasa adalah antara faktor yang melayakkan lagi iPad Mini Gen 6 untuk menjadi tablet terbaik dalam kelasnya. Kelebihan juga terletak pada sokongan perisian dan aplikasi yang baik turut memberikan kelebihan ketara berbanding ekosistem Android.

Bateri mungkin tidak begitu besar berbanding dua tablet yang disenaraikan tadi. Tetapi, ketahanannya masih boleh dibanggakan untuk penggunaan yang panjang sebelum perlu di cas semula. Menarik bukan? Kesemua kelebihan ini telah dimuatkan dalam tubuh sebuah tablet yang bersaiz kompak. Baca ulasan penuh mengenai iPad Mini Gen 6 di sini.

Spesifikasi: 8.3″ Liquid Retina IPS LCD, 1488 x 2266 pixel, (327 PPI), 60Hz, Apple A15 Bionic (2 X 3.22 GHz Avalanche + 4 X ? GHz Blizzard), 4GB RAM, storan 64/256 Gb, 12MP (Utama), 12MP (Swafoto), 5124 mAh (20W)

Harga: RM 2299 (64GB) / RM 2949 (256GB)


Baiklah ini ialah senarai tablet-tablet terbaik pilihan barisan editorial Amanz untuk tahun 2021. Tahniah diucapkan kepada pemenang. Adakah anda bersetuju dengan pilihan kami? Jika tidak apakah peranti yang anda rasakan lebih layak?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd