Cari @ Amanz

Tahun 2020 dan 2021 adalah dua tahun yang berlalu dengan pantas kerana diranapkan oleh pandemik. Sekelip mata kesemua perancangan yang dilakukan terpaksa dimasukkan ke dalam tong sampah kerana kekangan kewangan dan penutupan ekonomi. Dalam kekabutan ini, tablet antara yang mendapat kesan positif dari pandemik kerana jualannya meningkat mendadak kerana keperluan bekerja atau bersekolah dari rumah.

Ramai di kalangan ibu bapa yang mula mencari tablet murah untuk mengisi keperluan anak-anak termasuk saya sendiri. Dengan sekolah sudah mula dibuka, timing jualan Apple iPad Mini Gen 6 mungkin sedikit lari. Tetapi saya boleh katakan kepada anda sekarang ia adalah tablet yang paling menyeronokkan pernah saya ulas untuk jangka masa yang lama.

Spesifikasi

Apple iPad Mini Gen 6
Skrin8.3″ Liquid Retina IPS LCD, 1488 x 2266 pixel, (327 PPI), 60Hz
PemprosesApple A15 Bionic (5nm)
Cip2 X 3.22 GHz Avalanche
4 X ? GHz Blizzard
Cip GrafikGPU 5 Teras
RAM4GB LPDDR5
Muatan Dalaman64/256 GB NVMe
Kamera Utama12 Megapixel f/1.8
Kamera Swafoto12 Megapixel f/2.4
Bateri5124 mAh
Pengecasan berwayar 20W
SIM/TelefoniNano/5G
NFCTiada
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanTouch ID
Harga JualanRM 2299 (64GB)
RM 2949 (256GB)

Skrin

Kenapa seronok? Kerana akhirnya rekaan iPad Pro dan iPad Air digunapakai pada iPad Mini yang tidak diubah rekaannya sejak Datuk Sri Najib Bosque masih lagi Perdana Menteri Malaysia. Ya sejak 2013 rekaan klasik berdagu dan bezel gergasi iPad Mini tidak diubah oleh Cupertino.

Dengan rekaan baharu yang lebih kontemporari ini, iPad Mini akhirnya mempunyai skrin yang lebih besar 8.3″ berbanding hanya 7.9″ pada iPad Mini 2019. Skrin juga berubah ke nisbah 3:2 dari 4:3 sebelum ini bagi menawarkan permukaan paparan yang lebih besar. Teknologi IPS LCD masih dikekalkan bersama dengan kadar segar semula 60Hz. Ada yang mengeluh kerana inginkan Pro Motion 120Hz pada iPad Mini tetapi Apple masih belum bersedia menjadi jin Aladdin yang menganugerahkan permintaan dari peminat Apple sejak iPad Pro 12.9 Gen 3 dilancarkan pada tahun 2018.

Paparan warna pada hemat saya masih lagi cantik dan hidup walaupun masih sekadar IPS LCD. Tiada isu colour banding atau warna kurang menyerlah. Isu jelly scroll yang dilaporkan oleh sesetengah pengulas sebelum tidak saya sedari atau alami langsung. Mungkin kerana saya tidak menatal dengan pantas. Isu yang ada hanyalah tiada sokongan Dolby Vision yang menawarkan warna yang lebih cantik. Sedikit ironi Xiaomi Pad 5 yang dijual pada harga lebih mampu milik mampu menawarkan Dolby Vision.

Bezel juga tebal jika mengikut standard telefon pintar tetapi adalah setanding dengan yang ditemukan pada iPad Pro, Xiaomi Pad 5 dan Huawei MatePad Pro 12.6. Ia perlu lebih tebal bagi memberikan ruang yang cukup untuk meletakkan jari ketika digunakan serta menyorokkan sebuah kamera sebesar 12MP. Adakah ia menjengkelkan? Tiada sama sekali kerana ini ialah senipis mungkin sebuah tablet pada tahun 2021.

Akhir sekali isu yang ada ialah paparan tidak berapa jelas apabila digunakan di bawah cahaya matahari yang terik. Isu biasa kesemua skrin IPS LCD yang menyebabkan penggunaan OLED dan kini Mini LED menjadi perkara normal untuk menyelesaikan isu ini. Asalkan anda tidak bercadang menggunakan iPad Mini di bawah mentari terik, skrin tablet ini masih lagi memuaskan untuk penggunaan biasa.

Rekaan

Seperti yang saya katakan di awal ulasan, iPad Mini meminjam rekaan iPad Pro cuma dikecilkan. Sisi rata diperbuat daripada bahan aluminium membuatkan ia kelihatan cukup bergaya dan tegap. Saya amat gemarkan estetik ini kerana konsisten dengan iPad Pro dan iPhone 13 tahun ini.

Butang kuas yang besar diletakkan pada bahagian atas dengan pengimbas cap jari Touch ID terbina. Jika ada satu perkara yang saya rasakan mengecewakan mungkin penggunaan Touch ID. Ini adalah kerana saya sudah dimanjakan dengan Face ID pada iPhone 13 Pro Max dan iPad Pro yang juga saya miliki. Sistem imbasan masih lagi pantas tetapi tidak semudah wajah diimbas sekelip mata. Kerana tiada lagi butang home di bahagian hadapan, kerap kali saya tercari-cari lokasi pengimbas cap jari setiap kali ingin menggunakan iPad Mini di rumah.

Juga di bahagian atas adalah dua butang melaraskan audio yang diperbuat daripada logam. Sedap digunakan dengan binaan yang cukup tegap. Bergerak ke bahagian bawah pula, terdapat port pengecasan USB-C. Penggunaan port ini adalah amat saya alu-alukan kerana ia memang sudah sepatutnya menjadi I/O standard untuk semua peranti di pasaran.

Pada sisi kanan pula terdapat dok magnet untuk Apple Pencil Gen 2 yang menyokong tambatan secara bluetooth. Sambungan yang dilakukan tidak berapa kuat dan sebenarnya tidak saya sarankan Apple Pencil disimpan sepanjang masa pada dok magnet ini bagi mengelakkan ia keciciran.

Walaupun terdapat empat kekisi audio, sebenarnya tablet yang dilengkapi dua speaker yang menawarkan audio stereo. Sekali lagi penambahbaikan berbanding dua pembesar suara hanya di bahagian bawah pada iPad Mini terdahulu tetapi masih tidak setanding dengan empat speaker pada iPad Pro atau lapan speaker pada Huawei MatePad Pro 12.6. Saya akan menyentuh prestasi audio di segmennya yang tersendiri di bawah.

Bergerak ke belakang pula, iPad Mini dilengkapi panel logam dengan logo Apple tertera dengan bangganya. Sebuah kamera 12MP yang saiznya agak besar diletakkan di belakang lengkap dengan sebuah flash. Seperti kesemua produk mudah alih Apple kebelakangan ini, lensa kamera terkeluar daripada tubuh sehingga menyebabkan tablet tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Isu lensa tercalar juga boleh berlaku kerana rekaan lensa yang terjojol keluar ini.

Untuk menyelesaikan isu ini, terdapat Smart Folio ditawarkan dalam pelbagai pilihan warna. Folio boleh dilipat untuk mendedahkan skrin dan hadir dengan ciri sekunder sebagai tongkat untuk membolehkan iPad Mini berdiri. Saya sarankan pembelian Smart Folio kerana bukan sahaja mengelakkan lensa kamera dari tercalar tetapi juga berguna untuk meletakkan peranti pada sesi berdiri untuk sesi Face Time atau Zoom.

Secara keseluruhan rekaan tidak mengecewakan kerana kelihatan dan terasa teguh dalam tangan. Paling penting sekali saiznya tidak terlalu besar sehingga memudahkan penggunaan hanya sebelah tangan.

Penggunaan Dan Perisian

iPadOS 15 ialah sistem operasi tablet yang paling lengkap setakat ini. Saya katakan begini kerana set ciri yang kemudiannya menjadi ikutan pengeluar tablet Android dan HarmonyOS 2 serta sokongan aplikasi khusus untuk tablet yang terbaik di pasaran. Ini dibantu lagi dengan pelbagai ciri ekosistem Apple yang membuatkan ia amat senang digunakan bersama MacBook, Mac Mini, iPhone, dan AirPods.

Penggunaan adalah amat mudah walaupun tanpa sebarang manual. Bagi mereka yang tidak biasa dengan iPadOS, terdapat aplikasi terbina yang mengajar ciri-ciri asas tablet yang hanya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk dipelajari. Penggunaan dua aplikasi serentak disokong dengan saiz tingkap boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Animasi adalah lancar walaupun skrin terhad kepada 60Hz sahaja dan tiada sebarang isu esar yang saya hadapi sepanjang tempoh ulasan.

Sokongan aplikasi ialah kekuatan sebenar iPadOS 15 pada waktu ini. Jika anda memang pengguna tegar ekosistem Adobe, aplikasi telah dioptimasikan untuk tablet dan juga apabila dipadankan dengan Apple Pencil Gen 2. Pengalaman menggunakan Photoshop dan Illustrator hampir sama dengan menggunakan aplikasi desktop. Ini memudahkan mereka yang mempunyai cara bekerja hibrid pada desktop, komputer riba dan juga iPad. Ciri tambahan lain yang pastinya menarik minat pengguna ekosistem Apple ialah iPad Mini boleh diubah menjadi skrin sekunder kepada sebuah Mac sekiranya perlu tetapi harus saya katakan ini ciri yang saya sendiri tidak pernah gunakan kerana masih tiada keperluan.

Alang-alang kita sudah bercakap mengenai Apple Pencil Gen 2, ia pada waktu ini ialah stylus terbaik di pasaran. Saya katakan ni dengan nada geram kerana umum diketahui di Amanz saya ialah peminat tegar Samsung Galaxy Note. Saiznya yang lebih besar membuatkan ia selesa digunakan seperti sebuah pencil sebenar. Kemudian matanya yang sangat responsif mengesan tekanan dan pergerakan lakaran. Stylus juga disokong pada kesemua aplikasi pertama Apple termasuk kotak carian Spotlight. Kemudian jika tulisan ditulis dalam Notes, ia boleh diubah terus menjadi teks.    

Tetapi masih ada beberapa penambahbaikan yang perlu diberikan kepada iPadOS untuk menjadikannya benar-benar sistem operasi tablet terbaik. Saya merasakan jika ada ciri untuk memadankan dua aplikasi untuk dilancarkan sekali seperti yang diberikan One UI, tablet ini akan menjadi lebih padu. Tambahan pula jika ciri multi-tugas seperti Galaxy Z Fold3 dengan One UI 3.1 dipinjam, proses menukar aplikasi akan menjadi lebih pantas dan mesra pengguna. Android tidak mempunyai sebarang kesipuan untuk meniru ciri iPadOS maka saya rasakan tidak berdosa jika pertukaran teknologi rentas platform boleh dilakukan dalam masa terdekat sekaligus memperkukuhkan ekosistem lagi tablet Apple.

Satu lagi perubahan yang mungkin boleh dilakukan oleh Apple ialah membenarkan kustomasi saiz grid susunan aplikasi. Pada waktu ini ia masih terhad kepada 6X5 sahaja yang mempunyai banyak ruang negatif besar kerana sepatunya lebih banyak ikon aplikasi boleh dimuatkan pada skrin. Maka saya terpaksa menggunakan ikon besar untuk mengisi kekosongan ruang negatif yang menyakitkan mata.

Penanda Aras

Dalam ujian Geekbench 5, cip Apple A15 Bionic yang digunakan peranti mencatatkan 1595/4525 markah dan dalam ujian Antutu 3D pula mencatatkan 834,632markah. Ini ialah markah yang meletakkan iPad Mini Gen 6 hampir setanding dengan markah yang dicatatkan oleh iPhone 13 Pro Max. Hanya beberapa ratus markah sahaja membezakan tablet dan iPhone ini. Sungguhpun begitu A15 Bionic bukan cip paling berkuasa pernah digunakan pada iPad kerana pada waktu ini takhta masih dipegang iPad Pro Gen 5 dengan cip Apple M1.

Dengan cip A15 Bionic tidak mengejutkan semua permua yang memerlukan cip berprestasi tinggi dapat dimainkan tanpa sebarang isu. COD Mobile dapat dimainkan pada tetapan paling tinggi dan pek tekstur resolusi tinggi pada kadar bingkai tertinggi. Begitu juga dengan Asphalt 9 dan Genshin Impact. Prestasi yang tinggi ini dibantu pula dengan masa membuka aplikasi yang juga pantas. Lebih pantas jika ingin dibandingkan dengan pengalaman menggunakan telefon pintar Android dengan Snapdragon 888.

Pengoptimasian yang dilakukan oleh iPadOS membuahkan hasil. Malahan jika anda ingin menjadikan iPad Mini sebagai konsol mudah alih juga tiada masalah. Saya sendiri menggunakan iPad Mini sebagai peranti pilihan untuk COD Mobile kerana ia paling tidak banyak songel.

Padankan tablet dengan pengawal Sony DualShock 4 dan memang terasa tablet ini mempunyai potensi menjadi Nintendo Switch untuk Apple. Pantas dan laju tanpa masalah haba melampau. Ya selepas 4-5 pusingan COD Mobile ia hanya setakat suam-suam kuku dan ini memastikan kadar bingkai yang stabil serta bateri tidak akan digunakan terlalu pantas.

Kamera

Kamera utama 12MP pada bahagian hadapan dipadankan dengan kamera hadapan 12MP. Saiz sensor yang sama dengan yang digunakan pada iPhone 13 tetapi tidak semua sensor adalah setanding. Dari segi prestasi kamera, saya boleh katakan dengan ikhlas bahawa kualiti gambar yang boleh ditangkap menggunakan iPad Mini Gen 6 ini adalah mengecewakan jika dibandingkan dengan iPhone.

Gambar dalam situasi yang paling baik sekalipun tidak cukup tajam, kurang bermaya penghasilan warnanya dan mempunyai hingar yang ketara. Pada waktu malam pula prestasi gambar semakin menjunam dengan isu blooming, hingar dan imej yang menjadi semakin kurang lembut.

Tetapi adakah tablet perlu mempunyai prestasi kamera yang setanding dengan sebuah telefon pintar? Saya rasakan tidak keran setakat ini belum pernah lagi menggunakan tablet yang mempunyai sistem kamera yang senonoh. Ikhlas saya katakan prestasi kamera pada iPad Mini Gen 6 setanding dengan sebuah telefon pintar Android kelas permulaan sahaja.

Audio

Dengan dua speaker dan empat kekisi audio, pengalaman audio iPad Mini Gen 6 hanyalah sekadar sederhana. Mod stereo jelas ketika mendengar pelbagai jenis media dan juga sesi permainan video. Pada tetapan audio lebih tinggi, kualiti mula menjunam dengan bunyi mula berkecamuk. Audio kualiti Lossless Apple Music sekalipun kedengaran mendatar dan kosong apabila didengari menerusi speaker iPad mini. Sungguhpun begitu ia masih baik digunakan untuk sesi telesidang dan menonton filem. Ia juga masih lebih senonoh jika dibandingkan dengan 90% speaker telefon pintar lain di pasaran. Standard Emas audio pada tablet masih utuh di tangan iPad Pro.

Bateri

Bateri sebesar 5124 mAh yang diberikan menjanjikan penggunaan sehingga 10 jam oleh Apple. Di makmal Amanz, saya dapat menikmati SOT yang menghampiri apa yang dijanjikan oleh Apple ini. Secara lazimnya tablet hanya dicas setiap 3-5 hari bergantung kepada penggunaan. Saya harus akui hanya menggunakan iPad Mini Gen 6 untuk sesi permua, membaca artikel dan membaca eBuku maka oleh sebab itu bateri boleh bertahan selama beberapa hari.

Menerusi pengecas 20W yang disertakan pula (terima kasih Apple), masa hampir dua jam diperlukan untuk mengecas semula bateri sehingga penuh. Seperti pada iPhone 13 Pro Max, pengecasan sehingga 75% adalah pantas sebelum ia diperlahankan untuk menjaga kesihatan bateri. Untuk pencipta pengecasan nirwayar, tiada sokongan pengecasan Qi ataupun MagSafe diberikan.

Pesaing

Apple iPad Mini Gen 6Apple iPad Gen-9Xiaomi Pad 5
8.3″ Liquid Retina IPS LCD, 1488 x 2266, 60Hz (327 ppi)10.2″ IPSLCD, 1620 x 2160, 60Hz (265 ppi)11″ IPS LCD, 1600 x 2560, 120Hz (274 ppi), Dolby Vision
A15 Bionic (5nm)
2 X 3.22 GHz Avalanche
4 X ? GHz Blizzard
A13 Bionic (7nm)
2 X 2.65 GHz Lightning
4 X 1.8 GHz Thunder
Snapdragon 860 (7nm)
1 X 2.96 GHz Kryo 485 Prime
3 X 2.42 GHz Kryo 485 Gold
4 X 1.78 GHz Kryo 485 Silver
Apple GPU 5 TerasApple GPUAdreno 640
4 GB LPDRR53 GB LPDDR4X6 GB LPDRR4X
64/256 GB NVMe64/256 GB NVMe
128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama
12-Megapixel (f/1.8)
Kamera Utama
8 Megapixel (f/2.4)
Kamera Utama
13Megapixel (f/2.0)
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
8-Megapixel f/2.0
Tidak kalis airTidak kalis airTidak kalis air
Tiada bicu audioBicu audio Tiada bicu audio
Audio Stereo Audio StereoAudio Stereo
5124 mAh (Berwayar 20W)8557 mAh (Berwayar 20W)8720 mAh (Berwayar 33W)
Harga bermula RM2299Harga bermula RM1499Harga Harga bermula RM1399

Kesimpulan

Apple iPad Mini Gen 6 ialah ialah tablet bersaiz kompak terbaik di pasaran kerana mempunyai kuasa setanding dengan iPhone 13 tahun ini tetapi dengan skrin yang lebih besar. Ia saya sarankan kepada mereka yang mencari tablet berkuasa yang boleh digunakan dengan hanya satu tangan. Terbaik bukan sahaja untuk pembelajaran di rumah dan sesi telesidang tetapi juga sebagai pemain media untuk tontonan video ketika berbaring di atas katil.

Nilai tambahan dalam bentuk sokongan Apple Pencil dan cip berkuasa untuk memainkan permua pada tetapan tertinggi juga membuatkan saya menyarankannya kepada pembaca sekalian. Sokongan perisian dan aplikasi yang baik memberikan ia kelebihan yang ketara berbanding ekosistem Android. Ia mungkin kecil molek tetapi mampu membuatkan tablet Android lain di pasaran jatuh bergolek.

Kekurangan terletak pada kamera, skrin masih LCD 60Gz sistem multi tugas yang tidak sebaik yang diperkenalkan oleh Samsung. Tetapi kesemua kekurangan ini adalah kecil jika dibandingkan dengan kelebihan yang ditawarkan. Pada harga jualan bermula dari RM2299, ia masih dijual pada harga yang munasabah bagi sebuah produk Apple.

Pro

  • Rekaan baharu sejak 2013 yang lebih menarik berbanding model terdahulu.
  • Skrin lebih besar yang menyokong Apple Pencil 2.
  • Cip A15 Bionic amat berkuasa.
  • Sokongan perisian dan aplikasi terbaik untuk tablet.
  • Hayat bateri yang juga memuaskan.
  • Pengecasan USB-C dan pemindahan data sehingga 5 Gbps

Kontra

  • Kamera kurang memuaskan.
  • Skrin masih 60Hz.
  • Pengecasan mengambil masa hampir 2 jam.
  • Multi tugas tidak sebaik One UI 3.1.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd