Cari @ Amanz

Tahun lalu Samsung melancarkan Eco Remote yang boleh dicas semula menggunakan panel solar terbina pada bahagian belakang. Untuk tahun 2022, mereka melancarkan model terkini Eco Remote yang turut boleh dicas semula menggunakan frekuensi radio dari penghala Internet di rumah. Dengan ini ia masih boleh dicas semula dalam gelap selagi rumah mempunyai WiFi.

Pada waktu yang sama Eco Remote baharu masih boleh dicas semula dengan panel solar terbina di bahagian belakang dan menggunakan kabel USB-C secara sambungan terus. Samsung ingin mengurangkan penggunaan bateri AAA yang selama ini membekalkan kuasa kepada alat kawalan jauh alatan audio visual mereka. Dengan ini Samsung berharap dapat mengurangkan penggunaan sehingga 99 juta sel bateri alkali dalam masa 7 tahun.

Eco Remote baharu akan disertakan dengan pembelian televisyen gaya hidup mereka di bawah siri Sero, Serif dan The Frame tahun 2022 yang dilancarkan di CES 2022 minggu ini. Bagi mereka yang benci alat kawalan jauh sentiasa habis bateri, ini ialah penyelesaian yang lestari.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd