Ulasan TicWatch Pro 3 Ultra GPS – Lebih Ultra, Lebih Padu

Diterbitkan pada Mac 15, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Dua tahun lepas, Mobvoi telah hadir dengan jam tangan pintar Wear OS yang pada hemat saya paling berkuasa ada di pasaran. Ia adalah TicWatch Pro 3 GPS. Jam ini dijana dengan cip Snapdragon Wear 4100, menggunakan dua skrin dan mempunyai ketahanan bateri mencapai lima hari. Berbeza dengan kebanyakan jam Wear OS lain yang hanya boleh bertahan sekitar kurang dua hari.

Model kemaskini jam ini dilancarkan pada tahun lalu, ia digelar sebagai TicWatch Pro 3 Ultra GPS. Secara keseluruhan ia masih sama sahaja, namun perubahan besar yang dilakukan adalah skrin kedua kini ada pilihan warna backlight, dibina dari bahan binaan yang lebih tahan lasak, serta kemampuan GPS yang dipertingkatkan. Namun menjadi persoalan, yang mana satukah lebih berbaloi untuk dimiliki? Selepas beberapa bulan menggunakan jam ini sebagai jam harian, ini adalah apa yang kami suka dan tidak suka terhadap jam ini.

Spesifikasi Dan Rekaan

TicWatch Pro 3 Ultra GPS
Skrin1.4” Retina AMOLED 454 x 454
FSTN dengan 8 pilihan warna latar
Kaca anti-cap jari Gorilla Glass
PemprosesSnapdragom Wear 4100
Cip dwi-teras Mobvoi
Memori1GB RAM + 8GB Storan
Sistem OperasiWear OS
PerlindunganKalis Air & Debu IP68
Boleh Di bawa berenang
MIL-STD-810G
Bateri577mAh
SensorGPS+Beidou+Glonass+Galileo+QZSS
PPG Heart Rate Sensor
Accelerator
Gyroscope
Ambient Light Sensor
Barometer
Lain-LainNFC Untuk Pembayaran, WiFi
PengecasanSambungan Magnetik Pada Dermaga Khas
Bahan BinaanBesi tahan karat
Nilon kukuh dengan gentian kaca
Getah Fluoro pada tali jam
Ketahanan BateriWear OS: Mencapai 3-5 hari
Mod Essential: Mencapai 45 hari
HargaRM1299

TicWatch Pro 3 Ultra GPS tidak mempunyai banyak perbezaan dengan TicWatch Pro 3 GPS sebelum ini. Ia masih lagi mengekalkan identiti variasi Pro TicWatch dengan penggunaan dwi-skrin, iaitu skrin utama dengan panel AMOLED 1.4-inci beresolusi 454×454 dan skrin kedua dengan panel LCD FTSN yang memberi paparan seakan jam digital biasa. Namun kali ini, panel FTSN ini menawarkan pilihan warna lampu latar untuk memberi pengguna kebebasan dalam memilih warna yang menepati citarasa masing-masing serta seakan lampu pada jam digital biasa.

Dalaman juga masih sama iaitu dengan Snapdragon Wear 4100 dan dipadankan dengan cip dwi-teras tersendiri Mobvoi untuk skrin kedua. Jenama lain akan menggunakan Snapdragon Wear 4100+ untuk Always On Display yang lebih baik – tetapi tidak diperlukan untuk TicWatch Pro 3 Ultra GPS kerana sudah ada yang tersendiri. Memori juga kekal dengan 1GB RAM dan storan 8GB. Cuma bateri daripada 595mAh kini menjadi 577mAh. Walaupun begitu Mobvoi masih menjanjikan penggunaan lebih kurang sama.

Rekaan yang klise digunakan, tidak nampak seperti Galaxy Watch4 atau Fossil Generasi keenam yang lebih moden dan cantik. Nilai premium itu juga masih kekal, cuma Mobvoi menggantikan beberapa bahan binaan plastik kepada nilon yang kukuh bersama gentian kaca. Tali jam pula diperbuat daripada getah Fluoro yang tahan lasak dan boleh bertahan di bawah suhu tinggi.

Jam ini masih selesa di tangan, saya bawa tidur pun tidak terasa begitu berat dan janggal. Penggunaan masa panjang seperti sepanjang hari termasuk di bawa mandi pun tidak memberi sebarang masalah. Mobvoi juga jujur dengan kualiti binaan lebih kukuh, kerana banyak kali jam ini terjatuh dan terhentak – ia masih dalam keadaan baik dan seakan baru.

Apa yang menarik?

Skrin

Sehingga hari ini, saya masih berpendapat yang jam TicWatch Pro 3 Ultra GPS masih mempunyai skrin terbaik. Tetapi terbaik sebagai satu pakej, bukan sebagai setiap satu skrin. Saya akan sentuh mengenai paparan OLEDnya terlebih dahulu. Kalau bercakap mengenai skrin OLED untuk jam, sudah semestinya Apple Watch Series 7 antara kegemaran saya. Kedua adalah Amazfit GTR 3 Pro yang mempunyai warna yang tajam dan kecerahan yang hebat. Tetapi OLED pada TicWatch ini ia seimbang dan baik-baik sahaja. Ia mampu memaparkan warna yang cukup jelas dan terang, mempunyai kecerahan yang boleh dilihat di bawah matahari serta skrin 1.4-inci pada saya sudah cukup besar untuk penggunaan harian sebagai peranti kedua untuk menemani telefon saya yang hanya di dalam kocek jika sedang sibuk bekerja.

Skrin kedua pada jam ini adalah alternatif kepada Always-On Display. Tidak ada masalah pun untuk hidupkan AOD pada jam ini, tetapi ia tidak akan memanfaatkan panel kedua jam dan akan memakan bateri yang banyak. Skrin kedua ini memberi paparan jam, tapak, dan informasi ringkas sahaja. Sebaik sahaja tangan diangkat, ia akan terus paparkan skrin OLED yang mana penukarannya lebih pantas dan tiada sela masa atau perlu hidup dan matikan semula jam. Panel kedua yang kini lebih ceria juga mudah untuk saya padankan dengan pakaian harian atau mengikut aktiviti dan dengannya ia memberi ketahanan bateri lebih hebat daripada menggunakan AOD.

Prestasi

Sejak ada Snapdragon Wear 4100, pengalaman saya menggunakan jam Wear OS amat berbeza. Ia benar-benar pantas, hebat, dan memuaskan. Setiap tatalan sungguh lancar, setiap aplikasi dibuka/tutup/tukar ke aplikasi lain juga cepat dan semuanya berjalan dengan baik tanpa ada masalah serius. Pemberian notifikasi yang beratus-ratus juga sangat baik dan jam tidak ada lengah masa. Ini menjadikan pengalaman saya berinteraksi dengan jam lebih baik dan tidak menjengkelkan untuk tunggu peralihan animasi atau ia memuat. Walaupun masih Wear OS 2.x (jam ini Wear OS 2.8) – beberapa ciri menarik daripada Mobvoi sudah cukup membantu untuk tugasan harian atau untuk senaman mingguan saya.

Aplikasi daripada Google juga kerap dikemaskini untuk menjadi yang terkini dengan antaramuka hampir seakan Material You pada Wear OS 3.0. Ini termasuk penawaran Spotify dan YouTube Music untuk muat turun luar talian. Play Store dan beberaoa bahagian teras utama juga menggunakan antaramuka yang lebih kemas dan memberi keselesaan tambahan. Paling menarik, penggunaan Google Assistant yang tidak perlahan membuatkan saya teruja mengarah pembantu digital ini memaklumkan kepada saya jadual harian dan sebagainya.

Bateri

Disebabkan penggunaan skrin kedua FTSN tadi, jam Wear OS ini pada hemat saya satu-satunya dalam pasaran yang boleh bertahan lebih daripada 3 hari. Saya pernah bernasib baik mencapai sehingga lima hari untuk penggunaan ringan. Namun sepanjang beberapa bulan penggunaan, 2-3 hari adalah standard ketahanan bateri jam ini. Apabila bateri mati, mod Essential yang akan menggunakan skrin kedua sepenuhnya menjadikan jam ini seakan penjejak kesihatan seperti Xiaomi Smart Band. Ia boleh baca nadi, menjejak tapak dan memaparkan informasi asas seutas jam. Mod ini memberi tambahan sekitar 2 hari tambahan. Namun apabila menggunakan mod ini sepenuhnya, ia boleh bertahan lebih daripada satu bulan dengan satu pengecasan sahaja.

Kekurangan bahagian bateri ini hanyalah pada pengecas dengan magnet yang tidak begitu kuat dan kerap kali ia terputus daripada sambungan. Jika menggunakan dermaga magnetik yang lebih kuat atau menyokong pengecasan nirwayar, ia akan menjadikan jam ini jam terbaik sepanjang kerjaya saya di dalam Amanz (untuk kategori Wear OS).

Apa yang tidak menarik?

IHB/AFib Dan GPS

Sebelum saya sebut mengenai IHB/AFib dan GPS, jam in turut mempunyai sensor tekanan untuk Barometer. Ini bermakna pengguna yang aktif dengan sukan lasak atau kerap mengembara seperti mendaki, berkhemah di hutan dan sebagainya ia ada sensor tambahan yang akan memberi maklumat baik demi keselamatan dan kecergasan diri. Saya hanya uji daripada tingkat 21 rumah sewa saya, dan ia boleh memaparkan anggaran ketinggian daripada tingkat bawah jika saya mula hidupkan dari bawah dan bergerak ke atas.

Baiklah, jam ini ada ciri IHB atau kemampuan membaca degupan jantung yang tidak sekata. Mobvoi menggunakan algoritma tersendiri untuk menjadikan ia seakan satu bacaan AFib. Namun ia tidak boleh diakses oleh pengguna sepenuhnya kerana bergantung kepada ‘kecerdasan buatan’ dan hanya aktif jika corak degupan jantung adalah aneh dan tidak sekata. Ia juga cuba berlagak sebagai satu sistem ECG dan kerana tidak ingin melepasi piawaian jabatan kesihatan mana-mana, mereka hanya gunakan perisian dan bukannya sensor sebenar seperti Apple Watch.

GPS yang lebih baik pula membawa maksud ada sokongan kompas. Namun sistem kompas pada jam ini, untuk unit saya dimatikan dan saya tidak boleh mengujinya. Malah aplikasi kompas juga tidak ditemui. Di dalam Facebook Group rasmi Mobvoi, saya temui yang ramai pengguna alami masalah yang sama. Walaupun begitu, penggunaan GPS untuk aplikasi peta misalnya – ia masih baik lebih-lebih lagi dengan Google Maps yang boleh memberikan arahan selok-belok dengan keadaan yang menggembirakan saya.

Google yang tidak adil

Untuk jam Wear OS yang sudah bertahun aktif dan memberi pengguna sesuatu yang baik, Google seakan melupakan kewujudan Mobvoi. Sedangkan Google juga terlibat dengan pembangunan jenama ini pada suatu ketika dahulu. Wear OS terkini iaitu Wear OS 3.0 hanya diberi secara eksklusif kepada Samsubg untuk siri Galaxy Watch4 mereka. Itu pun bukan Wear OS 3.0 asli, kerana sudah diubahsuai dengan tema One UI. Ini bukan berlaku kepada Mobvoi sahaja, malah turut berlaku pada jenama jam Wear OS lain.

Google hanya memberi sokongan baik pada aplikasi Wear OS dalam Android. Selebihnya Mobvoi perlu hadir dengan aplikasi tersendiri untuk pengguna kawal jam mereka. Aplikasi tersendiri mereka walaupun kelihatan sedikit baik daripada sebelum ini, ia ada banyak masalah dan tidak begitu mesra. Dan disebabkan di Malaysia komuniti Mobvoi tidak begitu hebat, aplikasi tersendiri mereka ini cukup hambar untuk digunakan.

Kesimpulan

TicWatch kali ini benar-benar membuatkan saya rasa puas untuk menggunakannya. Skrin masih terbaik, bateri masih lagi tahan lama dan paling penting Wear OS juga memberi prestasi yang lancar, ekosistem yang hebat untuk peranti Android – ia adalah satu jam tangan pintar yang patut semua miliki. Harga versi Ultra ini sedikit tinggi iaitu RM1399 atau ketika promosi RM1299 ia adalah antara jam yang berkuasa anda boleh cuba. Cuma fikirkan terlebih dahulu adakah harga tambahan beberapa ratus berbaloi untuk binaan yang lebih kukuh atau anda boleh jimat beli model lama?

Pada hemat saya daripada membeli jam TicWatch Pro 3 Ultra GPS dengan beberapa ciri yang gimik, lebih baik beli sahaja TicWatch Pro 3 GPS kerana harga jauh lebih murah. Ia kini RM949 sahaja atau jika pada promosi anda boleh dapatkan serendah RM899. Kenapa bayar lebih jika pengalaman keseluruhan adalah lebih kurang sama? Jika anda inginkan skrin LCD dan bateri kecil kerana tidak kisah untuk caj banyak kali, TicWatch E3 dengan prestasi lebih kurang sama pada saiz lebih kompak boleh didapati pada harga RM699.

Jika anda lihat harga Amazfot GTR 3 Pro yang berharga hampir RM800-RM900, dengan sistem operasi yang belum matang dan bukannya jam tangan pintar penuh lagi – TicWatch ini adalah antara yang terbaik.

Pro

  • Dwi-skrin yang unik dengan panel kedua sebagai pengganti AOD.
  • Jangka hayat bateri yang menakjubkan untuk jam Wear OS.
  • Rekaan yang premium dan selesa tanpa ada rasa janggal.
  • Snapdragon Wear 4100 memberi prestasi yang hebat dan memuaskan.

Kontra

  • Pengecas dermaga khusus masih digunakan dan magnetnya lemah.
  • Versi Ultra terasa satu gimik sahaja untuk menjual jam ini pada harga tinggi.
  • Sistem getaran yang sangat lemah.
  • Google yang tidak adil dengan pengedaran Wear OS 3.0.

komen


© Amanz / 2022 Kami