Bagi yang tidak tahu, industri audio ini sebenarnya gila besar. Kita tidak terdedah kerana kita bukan seorang audiophile. Tetapi pengguna yang benar-benar meminati audio atau mereka yang digelar audiophile ini pasti akan tahu pelbagai jenama yang ada di pasaran daripada DAC/AMP, IEM, set fon telinga dan pelbagai produk audio lain daripada pelbagai negara ada sahaja. Kadangkala namanya juga pelik-pelik.
Technics adalah antara jenama itu. Tetapi produk terkini mereka bukanlah menyasarkan kepada penggemar audio, tetapi kepada pengguna biasa – iaitu set fon telinga nirwayar sebenar EAH-AZ40. Ia adalah TWS daripada mereka yang dikatakan “mampu milik” yang fokus kepada kualiti audio.
Jenama di bawah Panasonic ini bukan kali pertama hadir dengan TWS, cuma ini adalah antara model yang baru dilancarkan di Malaysia secara rasmi. Cuma adakah dakwaan Technics ini benar? Antara jenama yang kurang popular Technics vs Jabra siapa lagi hebat atau terus pilih jenama daripada China sahaja – ini adalah ulasan.
Spesifikasi Dan Rekaan
Technics EAH-AZ40 | |
---|---|
Jenis | Fon dalam telinga Putik telinga silikon |
Pemacu Audio | 6mm SBC & AAC |
Mikrofon | Monaural 6x MEMS |
Sensor | Bluetooth 5.2 Auto jeda |
Bateri | Mencapai 7.5 jam berterusan 25 jam dengan pengecas 15 minit cas, 90 minit guna |
Tambatan | Bluetooth 5.2 |
Pengecasan | USB-C |
Sokongan aplikasi | Technics Audio Connect App Android & iOS |
Kawalan | Pad sesentuh |
Kemampuan kalis air | IPX4 |
Harga Jualan | RM649 |
Technics EAH-AZ40 adalah TWS mampu milik dan mempunyai spesifikasi sederhana berbanding AZ60. Ia adalah TWS kelas pertengahan yang Technics memfokuskan kepada audio dan pengguna semua boleh beli pada harga yang tidak gila mahal. TWS ini juga direka untuk lihat premium dan nampak mewah agar sesuai dengan hasrat asal mereka dalam penawaran produk ini.
Seperti syarikat audio lain, Technics turut mempunyai keunikan tersendiri dengan menawarkan teknologi tersendiri yang mereka bangunkan. Antara fungsi ini adalah JustMyVoice, iaitu fungsi yang meningkatkan fokus kepada vokal pengguna. Melalui fungsi ini, penerima panggilan telefon boleh mendengar suara pemanggil dengan lebih jelas. Ia adalah seakan Sidetone daripada Jabra.
Sudah tentu, Technics juga tidak ingin ketinggalan kerana turut menawarkan mode tembus bunyi tersendiri Ambient. Ia akan meningkatkan kuasa mikrofon untuk mendengar bunyi di sekeliling dan/atau jika ingin bercakap dengan seseorang. Fungsi ini amat hebat dan baik, boleh dikatakan hampir setaraf dengan Jabra. Mod Attention pula lebih kurang sama, tetapi bunyi di sekeliling dibatalkan dengan fokus kepada bunyi penting seperti pengumuman masa penerbangan, berlepas dan sebagainya. Ini juga baik, cuma saya akan pilih Jabra kerana ada rasa lebih puas.
Fungsi penting yang Technics buang bagi membezakan AZ60 dan AZ40 adalah LDAC. Mod tambatan dengan sela masa rendah serta memfokuskan kepada kualiti audio. Untuk menyesuaikan kepada pelbagai penggunaan, sokongan perlindungan IPX4 turut disertakan.
Rekaan EHA-AZ40 ini tampak seperti dibina dengan bahan binaan premium. Tetapi sebenarnya ia adalah plastik dan rasa sangat murah dan seakan TWS kelas asas sahaja. Pod pengecas sudah rasa sedikit solid, tetapi penutupnya yang lemah dan longgar amat menjengkelkan. Port pengecasan USB-C disertakan dengan jika dibuka penutup akan nampak lampu LED indikasi dengan jelas.
Setiap fon telinga mempunyai rekaan profesional. Ia lebih kepada rekaan yang tidak dipandang oleh mereka yang mencari yang sesuai dengan OOTD atau penggunaan bersahaja. Rekaannya akan mengingatkan anda kepada TWS daripada Jabra. Juga dibina daripada plastik, tetapi butiran pada lubang dan putik telinga amat diberi perhatian yang jelas cuba mencuri perhatian.
Ia juga rasa sedikit lebih selesa di dalam telinga, dan tidak menjadi masalah untuk penggunaan jangka masa panjang.
Kualiti Audio
Memandangkan kami mempunyai masa terhad dengan TWS ini, dalam masa beberapa minggu penggunaan kami berjaya mengujinya untuk kongsi kepada pembaca mengenai pengalaman penggunaan. Apa yang boleh saya cakap, jika telinga sudah biasa dengan TWS kelas mercu, seperti abangnya AZ60, Jabra Elite 85T, Elite 7 Pro, Sony XM3/XM4 – anda akan rasa menyesal mendengar audio yang keluar daripada TWS ini.
Ujian adalah dengan tetapan lalai sebelum ditala mengikut citarasa sendiri.
Bass/Lows
Bass yang berdentum dengan kuat, ada definisi yang dalam dan mendebarkan adalah antara bass yang enak. Tetapi bass kuat ini ada masanya, jika sepanjang masa pun atau tidak bersesuaian dengan muzik akan hancurkan pengalaman penggunaan. Itulah yang berlaku pada TWS ini, bass yang terlampau kuat dan berlebihan.
Ia tidak enak dan rasa pening kepala, perkara ini juga membuatkan kesan bunyi dentuman ini seakan bocor memasuki ke frekuensi lain menjadikan kualiti audionya seakan daripada produk tidak berkualiti.
Walaupun pada aplikasi ada pilihan mengawal aras bass, tetapan rendah pun masih berdentum dengan kuat dan dahsyat. Peminat bass pun pasti akan geleng kepalalah kepada kualiti sebegini.
Vokal/Mids
Secara keseluruhan, vokal yang dihasilkan adalah baik. Tetapi ia seakan ada benda yang menghalang untuk ia lebih menyerlah. Ia seakan tertutup dengan sesuatu agar kehebatan utama hanya boleh didapatkan pada versi mercu dan pada versi ini lebih terhad.
Muzik yang dinyanyikan oleh penyanyi lelaki adalah lebih natural dan lembut. Ia enak dan rasa merdu sentiasa. Bergantung kepada muzik, tetapi majoriti akan enak. Suara wanita sayang sekali tidak begitu enak. Ia kasar dan tidak menyenangkan.
Nada Tinggi/Highs
Ia baik sahaja dan rasa biasa. Tidak ada bahagian yang buat saya teruja dan rasa puas. Malah saya rasakan untuk harga yang dijual ia patut boleh mempunyai kualiti nada tinggi yang lebih baik dan lebih enak. Tetapi sekadar di tahap kelas asas amat mengecewakan.
Pementasan Audio & Pengasingan
Bukan yang terbaik untuk Technics. Walaupun audio yang dihasilkan rancak dan tiada rasa lengah masa atau tergendala, ia masih tidak cukup baik untuk bersaing dalam pasaran tempatan.
Technics EAH-AZ40 ini turut masih boleh menawarkan pengasingan bunyi yang baik. Ia memelihara butiran dengan baik dan seimbang, secara tidak langsung membawa pengguna ke dunia imersif yang tersendiri. TWS ini juga tiada pembatalan hingar, tetapi ia mempunyai silikon yang berkualiti memberi sedikit pembatalan hingar pasif dan memberikan isolasi audio yang bagus.
Pementasan audio pula amat terhad, Ia terlampau rapat pada telinga dan penggunaan lama mungkin boleh rasa pening kepala dan menjengkelkan. Rasa tidak selesa itu pasti jika sumber audio terlampau rapat.
Fungsi tambahan
Seperti yang dikatakan tadi, ini adalah TWS asas – ANC pun tiada. Bukan itu sahaja, sensor cahaya ambien untuk fungsi auto jeda juga tidak disertakan pada TWS ini. Kawalan adalah pada permukaan fon telinga dengan sentuhan. Semua kawalan nasib baik adalah lancar adan mudah digunakan.
Bateri
Technics mendakwa ia boleh digunakan secara berterusan tanpa mod apa-apa diaktifkan selama 7.5 jam. Kemudian dengan pod pengecasan pula sehingga 25 jam. Sokongan pengecasan pantas turut disertakan dengan 15 minit cas boleh bertahan sehingga 90 minit.
Disebabkan tidak dapat menggunakan TWS pada jangka masa lebih panjang, saya hanya boleh berikan jangkaan saya sahaja berdasarkan peratus bateri ada dan baki selepas menguji TWS ini. Awal penggunaan tanpa cas ada bateri yang cukup baik untuk penggunaan lama. Sebaik habis digunakan, masa disimpan di dalam pod ia akan dicas lagi. Jadi sekitar satu minggu penggunaan, saya langsung tidak cas TWS ini. Dalam kiraan saya, dakwaan Technics ini adalah benar.
Aplikasi
Aplikasi pula pada awal kelihatan amat serabut untuk digunakan dan sukar untuk faham kerana rekaan antaramuka yang tidak begitu mesra pengguna dan pilihan warna yang tidak begitu hidup. Apa-apa pun AZ40 ini dan AZ60 menggunakan aplikasi yang sama, cuma pada AZ40 banyak yang disembunyikan untuk kesesuaian masing-masing.
Aplikasi ini selepas tahu tetapan mana ada di mana ia mudah digunakan. Butang besar, cuma teks kecil dan butiran pada setiap kawalan tidak begitu jelas. Pada AZ40 bayak tetapan seakan tidak berfungsi, yang saya tidak pasti masalah perisian atau kerana ia memang terhad.
Kesimpulan
Technics EAH-AZ40 ini banyak mengingatkan saya kepada TWS Jabra dalam kelas yang sama. Cuma AZ40 ini setakan penggunaan singkat, memberikan perasaan mirip dengan Jabra Elite 3 yang berkali ganda lebih murah dan padat dengan ciri dan fungsi yang menarik.
Technics ini seakan tidak kaji pasaran dan pesaing mereka. Kalau Jabra jual sekitar RM300 tidak cecah RM400, Technics cuba menjual AZ40 ini pada RM649. Ia memang tidak masuk akal, dan adalah sukar untuk bertanding. Jenama yang tidak dikenali ramai dan produk yang tidak begitu menarik perhatian akan membuatkan orang mudah lupa akan kewujudannya.
Beberapa aspek TWS ini amat memuaskan. Lagi-lagi pada AZ60 yang seakan ada magis kerana kualiti audio yang sangat enak. Technics patut kaji lagi pada harga atau kualiti binaan. Idea sudah ada, kebaikan sudah nampak, potensi juga ada – cuma masih tertinggal di belakang pesaing.
Pro
- Kualiti audio yang menarik dan ada potensi untuk bersaing
- Bateri yang tahan dan boleh diterima
- Fungsi menarik yang cuba mencuri perhatian
Kontra
- Kualiti binaan yang murah
- Aplikasi yang seakan tidak berfungsi
- Harga jualan yang agak mahal