Cari @ Amanz

Setelah melancarkan televisyen Sero untuk generasi TikTok yang menonton video secara menegak, Samsung melancarkan pula Samsung The Fresstyle – sebuah projektor mudah alih yang bukan sahaja boleh digunakan untuk menonton video tetapi juga digunakan sebagai lampu mood di rumah.

The Freestyle mampu memaparkan kandungan video pada resolusi 1080P sehingga saiz 100 inci pada dinding. Ia mempunyai pemegang yang boleh memutarkan The Freestyle sehingga sudut 180 darjah. Sebuah speaker pada bahagian belakang pula menawarkan pengalaman audio 360 darjah kepada penonton. Antara ciri menarik dalam mod projektor ialah auto-keystone yang memastikan video dipancarkan dengan tepat pada dinding dan padanan warna automatik apabila kandungan dipancarkan ke dinding yang tidak berwarna putih.

Ia turut boleh dikawal menggunakan pembantu maya Bixby dan hadir dengan sokongan sambungan HDMI serta USB-C. Pancaran dari telefon pintar juga boleh digunakan. Apabila tidak digunakan sebagai projektor, ia juga boleh digunakan sebagai lampu dengan penyesuai untuk disambung seperti sebuah mentol E26. Di dalam bilik menggunakan penutup khas, ia boleh digunakan sebagai lampu mood dengan pelbagai warna.

Kerana saiznya yang kompak dan seberat 830 gram sahaja, ia juga mudah alih untuk digunakan di luar rumah. Dari segi perisian, ia menggunakan sistem operasi Tizen seperti televisyen pintar dan projektor The Premiere yang dilancarkan sebelum ini. Oleh itu kesemua ciri standard televisyen pintar boleh digunakan pada Samsung The Freestyle yang dijual pada harga $900 (~RM3772) sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd