Carian
Dell Mengumumkan Monitor UltraSharp 32″ – Hadir Dengan Kamera Web 4K HDR Sony Terbina
January 5, 2022 Fahim Zahar

Jun tahun lepas, Dell telah melancarkan kamera web berkualiti DSLR di bawah nama UltraSharp. Kamera web ini menggunakan teknologi CMOS Sony STARVIS, dan dijual pada harga sekitar RM1100 seunit. Di acara CES 2022, Dell telah mengumumkan monitor 32-inci baharu yang mempunyai kamera web ini hadir secara terbina.

Dell U3223QZ adalah monitor 4K bersaiz 32-inci, panel yang digunakan adalah jenis IPS. Ia juga menyokong sambungan USB-C untuk memudahkan lagi pengguna. Monitor ini turut hadir dengan dua mikrofon terbina dan dua pembesar suara 14W. Monitor UltraSharp Dell ini adalah khusus untuk mereka yang aktif dengan telesidang seperti pada Zoom, Google Meet dan sebagainya.

Kamera ini juga boleh diubah posisinya ke 20 darjah, 65, 78 atau juga 90 darjah bagi menyesuaikan mengikut penggunaan masing-masing. Monitor ini turut mempunyai lima port USB-A 10Gbps, ethernet, dan USB-C. Dell turut menyediakan DisplayPort jika pengguna ingin sambungkan dengan monitor 4K lain melalui sokongan Display Stream Compression .

Dell turut bekerjasama dengan Microsoft, kerana monitor inoi mempunyai butang fizikal untuk membuka Microsoft Teams. Jika ingin menggunakan secara menegak, monitor ini boleh dipusingkan. Selain daripada toleh ke kiri atau kanan dan atas serta bawah. Ketinggian juga boleh dilaras.

Dell turut menyediakan sokongan 100mm x 100mm cagak VESA jika pengguna ingin pasang terus ke dinding/panel atau pemegang yang bersesuaian. Harga jualan hanya akan didedahkan pada acara pelancaran 29 Mac akan datang.

Komen