Penstriman Video Cetak Rompak, Popcorn Time Berhenti Beroperasi

Diterbitkan pada Jan 6, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Perkhidmatan penstriman video cetak rompak, Popcorn Time, yang sangat popular ketika suatu masa dahulu, kini dilihat telah menamatkan operasinya. Laman berkenaan juga dikemaskini, dan memperlihatkan mesej RIP, selain graf minat yang merudum.

Untuk makluman, Popcorn Time telah dimulakan pada 2014 yang lepas, dan turut pernah dipetik oleh Netflix sebagai salah satu pencabar terdekat mereka. Namun, ia ditamatkan operasi tidak lama selepas itu, berkemungkinan kerana perundangan dan sebagainya.

Disebabkan oleh kod sumbernya ditawarkan secara terbuka, pada 2016, salah seorang pembangun meneruskan penawaran Popcorn Time.

Popcorn Time menggunakan teknologi torrent, dan berbeza berbanding yang lain, ia beroperasi dalam bentuk penstriman. Ini bermakna pengguna tidak perlu memuat-turun, dan boleh menontonnya terus – lebih kurang Netflix. Malah disebabkan mereka tidak mengehos fail media, pembangunnya turut pernah mengatakan kepada Bloomberg, mereka tidak bertanggungjawab terhadap cetak rompak.

Pada hari ini, ramai telah mula melanggan perkhidmatan penstriman, dan mengakses kandungan secara serentak pada peringkat global – sekaligus mengurangkan kadar cetak rompak. Namun, disebabkan oleh kepelbagaian perkhidmatan penstriman berbeza dengan kandungan eksklusif, ada beberapa pandangan mengatakan kadar cetak rompak mungkin kembali meningkat.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami