Terdahulu kami pernah melaporkan yang mana peranti dengan skrin boleh lipat Pixel dikatakan hadir dengan janaan cip Google Tensor. Terkini, timbul pula desas-desus baharu yang mengatakan markah penanda aras untuk peranti tersebut telah pun tertiris.
Ia menunjukkan sebuah peranti dengan kod nama pipit yang mungkin dijana dengan cip Google Tensor, memori 12GB RAM dan menjalan Android 12. Kutipan markah turut menunjukkan peranti mendapat 4,811 mata untuk ujian satu-teras, sementara itu 11,349 mata pula untuk markah pelbagai-teras. Ini sahaja maklumat yang diketahui buat masa ini.
Google baru-baru ini telah mengumumkan Android 12L sebagai sistem operasi Android untuk peranti dengan skrin besar, boleh-lipat dan ChromeOS. Terdapat ura-ura yang mengatakan peranti mungkin menggunakan sistem operasi berkenaan. Spekulasi awal mengatakan peranti dengan skrin boleh lipat pixel mungkin dikenali sebagai Pixel Fold.
Peranti juga mungkin dilengkapi 12MP sensor utama bersama 12MP lagi untuk kamera ultra-lebar. Di samping itu, ia juga dijangka tiba tidak lama lagi. Namun, masih belum ada sebarang tarikh rasmi untuk pelancaran tersebut.
Sumber : Gizmochina