Siri BlackShark 4 telah diumumkan terlebih dahulu di China sekitar bulan Mac yang lalu. Tidak lama kemudian, salah satu daripada variasi untuk siri berkenaan iaitu BlackShark 4 mula ditawarkan di Malaysia dan ia menjadi pilihan editor Amanz sebagai antara peranti permua terbaik untuk 2021. Bagi yang menunggu versi pro pula, peranti berkenaan bakal dilancarkan pada 17 Januari ini.
Bercakap lebih lanjut mengenai BlackShark, kini timbul desas-desus baharu yang mengatakan jenama ini dalam persediaan untuk pengenalan model kemas kini untuk rangkaian peranti pintarnya yang dikenali sebagai BlackShark 5. Menurut spekulasi awal, ia dikhabarkan bakal penambahbaikan berbanding pendahulunya. Di mana, ia akan dibekalkan cip pemproses, kapasiti bateri dan sistem operasi yang lebih baik.
BlackShark 5 dikhabarkan hadir dengan cip Snapdragon 8 Gen 1, menjalankan Android 12 dan bateri 4,600mAh yang menyokong pengecasan pantas 100W. Untuk versi pro pula, peranti masih menggunakan cip yang sama tetapi kapasiti bateri lebih besar dengan 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 120W. Dalam pada itu, ia juga akan dilengkapi skrin AMOLED 2K sebesar 6.8-inci dengan kadar segar semula 144Hz.
Buat masa ini, tiada sebarang perkongsian lanjut mengenai tarikh pelancaran peranti-peranti ini. Pada masa sama, BlackShark juga masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan ini. Jadi, lebih baik sekiranya kita menganggap maklumat dikongsi masih di peringkat ura-ura.
Sumber : Gizmochina