OnePlus Buds Pro Edisi Lord Of The Rings Diumumkan – Hadir Dengan Warna ‘Mithril’

Diterbitkan pada Jan 12, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Seiring pengenalan OnePlus 10 Pro, jenama ini turut mengumumkan edisi khas untuk aksesori audionya – iaitu OnePlus Buds Pro. Tiada sebarang perubahan dari aspek spesifikasi yang dibuat, tetapi ia menerima kemasan khas yang diilhamkan daripada siri Lord Of The Rings. Di samping itu, ia turut dikemaskini dengan sokongan sambungan pintar untuk dua peranti secara serentak.

Tidak seperti model sebelumnya, edisi khas ini hadir dengan salutan logam yang diperbuat daripada teknologi Non-Conductive Vacuum Metallization (NCVM). Ia berkilat tetapi tidak mudah memerangkap kotoran cap jari. Pada masa sama, ia juga ringan dan langsung tidak mengganggu pengalaman penggunaan. Untuk harga, ia dijual bermula ¥699 (~RM459) untuk seunit.

Sebagai rujukan, OnePlus Buds Pro dilengkapi sepasang pemandu audio bersaiz 11mm, sokongan Adaptive Noise Cancellation, tiga mikrofon yang mampu mengurangkan bunyi hingar sehingga 40dB secara automatik dan mod permainan dengan latensi 94ms.

Tidak ketinggalan, ia juga mampu beroperasi sehingga 38 jam berterusan jika pembatalan hingar dimatikan. Jika sebaliknya, ia boleh bertahan maksimum 23 jam dengan pod pengecas. Di samping itu, ia turut diiklankan mampu untuk menawarkan masa main balik selama 5 jam dengan pembatalan hingar dihidupkan atau mencapai 7 jam tanpanya.

Sumber : OnePlus China

komen


© Amanz / 2022 Kami