Cari @ Amanz

Huawei P50 Pocket dilancarkan secara rasmi di Malaysia hari ini sebagai pesaing sebenar kepada Samsung Galaxy Z Flip3 yang mula ditawarkan di Malaysia sejak Ogos 2021. Sejak dari awal pelancarannya, Huawei P50 Pocket di China beberapa minggu yang lalu, ia sering dibandingkan dengan peranti skrin boleh-lipat paling laku Samsung tahun lalu. Memandangkan saya yang mengulas Galaxy Z Flip3 untuk Amanz beberapa bulan lalu, maka orang yang paling serasi menulis artikel ini juga pastinya saya.

Peranti manakah yang paling layak dibeli sekiranya anda mencari telefon pintar skrin boleh-lipat bersaiz kompak hari ini? Apakah kelebihan P50 Pocket berbanding Galaxy Z Flip3 dan apakah pula kekurangannya. Dalam ulasan penuh ini saya akan cuba menjawab kesemua persoalan ini supaya pembaca dapat melakukan pilihan yang paling bijak untuk keperluan peribadi.

Spesifikasi

Huawei P50 Pocket
SkrinDalam – 6.9″ OLED, 1188 x 2790 pixel
(442 ppi), 120Hz adaptif

Luar – 1.04″ OLED, 1340 x 340 pixel (328 ppi)
PemprosesSnapdragon 888 4G (5nm)
Cip1 X 2.84GHz Kryo 680 Prime
3 X 2.42 GHz Kryo 680 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 680 SIlver
Cip GrafikAdreno 660
RAM8 Gigabyte
Muatan Dalaman256GB (NM card 256GB)
Kamera Utama40+13+32 Megapixel.
f/1.8+f/2.2+f/1.8, OIS, HDR, 4K 30p
Kamera Depan10.7 Megapixel f/2.2, 4K 30p
Bateri4000 mAh
Pengecasan berwayar 40W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFCYa
Infra MerahTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanCap jari sisi
Harga JualanRM5999 (8/256GB)
RM7299 (12/512GB)

Skrin

Dengan Skrin 6.9″ OLED, kelebihan diberikan kepada P50 Pocket kerana ia lebih besar berbanding 6.7″ pada Galaxy Flip3. Kelebihan lebih besar P50 Pocket ialah skrin langsung tidak mempunyai sebarang kesan lipatan apabila dibuka. Teknologi lipatan Huawei adalah sebaik Oppo Find N yang juga sempat tiba ke makmal Amanz beberapa minggu lalu. Huawei menggunakan mekanisme berbeza yang melipatkan skrin ke dalam bentuk titisan air. Menurut Huawei ini adalah sebab mengapa tiada rongga antara skrin apabila peranti ditutup dan kesan lipatan tidak begitu ketara.

Sebuah kamera swafoto diletakkan di dalam lubang yang terletak simetri di tengah atas skrin. Ia tidak begitu mengganggu pengalaman menonton video. Terdapat sokongan kadar segar semula 120Hz adaptif. Tetapi pengguna boleh mengubahnya ke 60Hz atau 120Hz sepanjang masa. Dalam kelebihan wujud juga kekurangan. Pertama sekali panel P50 Pocket tidak mempunyai sebarang sokongan HDR secara rasmi. Tetapi jika kandungan HDR dibuka di YouTube, tiada isu untuk memainkannya. Dari segi keterangan dan penghasilan semula warna, saya merasakan ia setara dengan Galaxy Z Flip3.

Skrin luaran sebesar 1.04″ OLED pula berbentuk bulat dengan resolusi 340x 340 pixel. Ia boleh digunakan untuk memaparkan notifikasi, kawalan muzik, melihat ramalan cuaca dan memudahkan pengambilan swafoto. Ciri yang diperkenalkan oleh Motorola RAZR ini menarik tetapi harus saya katakan skrin ini terlalu kecil untuk menjadikannya praktikal.

Notifikasi hanya boleh dibaca tetapi tidak boleh dibalas cari skrin ini seperti pada RAZR. Adalah lebih baik sekiranya skrin besar digunakan. Tetapi Huawei ingin mengekalkan rekaan dwi-bulatan seperti P50 Pro pada P50 Pocket maka ini tidak boleh dilakukan. Kualiti panel OLED ini saya rasakan kurang baik jika dibandingkan dengan skrin utama. Sekilas pandang nampak seperti skrin jam pintar murahan yang sedikit sebanyak mengurangkan tahap premium P50 Pocket.

Nisbah skrin ialah 21:9 yang membawakan beberapa kebaikan dan kekurangannya yang tersendiri. Kelebihan ialah apabila menonton filem-filem moden, keseluruhan skrin digunakan yang memberikan pengalaman menonton yang lebih sinematik.

Rekaan

Rekaan tubuh juga berkongsi banyak elemen dengan Galaxy Z Flip 3 cuma ia sedikit lebih besar tetapi dapat kedudukan melipat adalah sedikit lebih nipis. P50 Pocket melipat sepenuhnya tanpa ruang tang ketara berhampiran engsel. Dengan tiadanya ruang rompong seperti Galaxy Z Flip 3, pemilik tidak perlu risau objek memasuki di antara lipat skrin dan mengakibatkan kerosakan. Walaupun tanpa ruang ini, skrin masih dapat dilipat tanpa ada kesan lipatan yang jelas. Pasukan rekaan dan kejuruteraan Huawei harus saya puji di sini.

Bingkai logam berkilat memastikan peranti kelihatan kukuh di dalam tangan. Panel belakang walau bagaimanapun diperbuat daripada bahan plastik yang terasa rompong. Selepas menggunakan Galaxy Z Flip3 dengan panel kaca, penggunaan panel plastik pada P50 Pro membuatkan saya kecewa. Perasaan premium di dalam dan apabila dilihat di depan mata tidak dapat dirasakan sama sekali.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dengan pengimbas cap jari terbina. Butang laras audio juga diletakkan di sisi yang sama. Kedua-dua butang mempunyai binaan yang kukuh dan sedap apabila ditekan. Di bahagian bawah terdapat bicu port pengecasan USB-C dan kekisi audio. Apabila dipadankan dengan speaker pada gagang telinga menyokong sistem audio stereo. Sebuah talam untuk dwi-SIM nano dan NM Card diletakkan pula pada sisi kanan peranti.

Satu ciri P50 Pro yang tidak dibawa ke P50 Pocket ialah pemancar infra merah. Ia bukanlah ciri yang perlu tetapi membezakan peranti Huawei dengan majoriti pengeluar lain yang merasakan pemancar infra merah boleh dibuang bersama dengan bicu audio 3.5 mm.

Apabila dibuka sepenuhnya peranti terasa cukup tegap. Engsel yang digunakan mampu mengekalkan struktur tubuh dari terlipat secara tidak sengaja. Di dalam tangan saya boleh katakan P50 Pocket terasa sama sahaja dengan peranti candbybar yang lain.

Yang mengecewakan ialah P50 Pocket tidak mempunyai sebarang piawaian kalis air rasmi seperti Galaxy Z Flip3. Engselnya juga mengeluarkan bunyi yang sedikit aneh ketika digunakan. Ia turut tidak boleh dikekalkan pada sudut 90 darjah seakan Flex Mode Galaxy Z Flip3. Jika dicuba juga peranti akan melipat dengan sendirinya. Malahan sokongan perisian seakan Flex Mode juga tidak disertakan oleh Huawei melainkan pada aplikasi kamera.

Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan

Unit Huawei P50 Pocket yang diterima makmal Amanz menggunakan EMUI 12.0.1 tidak seperti P50 Pro yang menggunakan HarmonyOS 2.0. Tetapi izinkan saya berkata bahawa sebenarnya tiada perbezaan yang banyak antara EMUI dan HarmonyOS kecuali pada sokongan widget dan ikon yang lebih baik. Video ciri menarik HarmonyOS 2.0 ada Amanz terbitkan di laman YouTube rasmi sebelum ini.

Talam tetapan pantas misalnya lebih mirip iOS 15 dengan kotak besar khusus untuk mengawal media, aksesori bluetooth dan juga WiFi. Kemudian jubin-jubin pintasan pantas lain seperti mod kapal terbang boleh ditambah sekiranya diinginkan oleh pemilik peranti. Apabila ditatal dari atas kiri ke bawah, notifikasi boleh dilihat secara setempat. Tatalan dari atas kanan ke bawah pula kan membuka talam pintasan pantas seakan Control Center pada iOS. Dengan kata lain EMUI (dan HarmonyOS) menggabungkan ciri iOS dan Android dalam satu sistem operasi baharu.

EMUI adalah antara pelancar yang menawarkan pengalaman yang baik walaupun selepas digunakan untuk tempoh yang lama berdasarkan pengalaman saya menggunakan P30 Pro sehingga sekarang. Pada P50 Pocket yang masih bau kedai ini ia berfungsi dengan amat lancar sekali dibantu oleh skrin 120Hz. Pengalaman penggunaan langsung tiada bezanya dengan P50 Pro kecuali skrin boleh melipat.

Huawei Mobile Services semakin matang dengan aplikasi bertambah berbanding dua tahun lalu. Aplikasi penting di Malaysia seperti MySejahtera, Maybank, CIMB Clicks, Astro GO dan Grab. Masih wujud kerompongan seperti Foodpanda di mana pautan ke versi web diberikan apabila carian dilakukan menerusi App Gallery. Jika tiada aplikasi ditawarkan, Petal Search akan memberikan pautan muat turun dari APKMirror. Bukan penyelesaian yang terbaik tetapi sekurang-kurangnya lebih baik berbanding melalukan sideloading manual.

Penanda Aras

Cip Snapdragon 888 4G digunakan. Saya agak musykil mengenai perbezaan cip ini dengan Snapdragon 888 5G. Dalam ujian Geekbench 5 ia mencatatkan 885/2746 markah dan dalam ujian Antutu 3D pula mencatatkan 535,767 markah.

Prestasi Snapdragon 888 4G pada P50 Pocket adalah lebih rendah berbanding Snapdragon 888 5G yang digunakan pada Galaxy Z Flip3 yang saya senaraikan di bawah. Hanya markah penanda aras saya paparkan buat masa ini kerana analisa lebih mendalam akan hanya dilakukan dalam artikel alasan penuh kelak.

  • Snapdragon 888 5G – Geekbench 5 (816/3256) dan Antutu 3D (678,600)
  • Apple A15 Bionic – Geekbench 5 (1716/4678) dan Antutu 3D (789,647)
  • Kirin 9000 – Geekbench 5 (785/3174) dan Antutu 3D (683,878)
  • Exynos 2100 – Geekbench 5 (709/2474) dan Antutu 3D (719864)

Kamera

Sistem tri kamera digunakan dengan lensa sudut lebar 30MP, lensa ultra sudut lebar 13MP, dan sensor 32MP Ultra Spectrum. Kamera swafotonya pula sebesar 10.7 MP. Huawei P5 Pocket ialah peranti boleh-lipat kompak pertama dengan sistem tri kamera utama. Di atas kertas sistem kamera yang digunakan adalah cukup menakjubkan walaupun tidak dipadankan dengan lensa Leica. Berikut ialah beberapa sampel gambar yang sempat kami tangkap untuk tontonan anda.

Kesimpulan

Pesaing sebenar kepada Galaxy Z Flip3 akhirnya muncul di Malaysia. Motorola RAZR yang memasuki pasaran tempatan pada Februari tahun lalu dilengkapi pemproses kelas pertengahan serta hanya satu kamera utama. Dari pengalaman menggunakan peranti selama dua hari, Huawei P50 Pocket mempunyai potensi menewaskan peranti skrin boleh-lipat paling laku jualannya tahun 2021. Di Malaysia pratempahan untuk P50 Pocket akan dibuka pada 22 Januari hadapan pada harga RM5999 untuk versi biasa dan RM7299 untuk Premium Edition. Nantikan ulasan peranti ini dalam masa seminggu sahaja lagi untuk menjawab soalan sama ada ia lebih berbaloi berbanding Galaxy Z Flip3 ataupun tidak.

Pro

  • Skrin 6.9″ OLED 120Hz adaptif
  • Spesifikasi tahap mercu yang baik.
  • Tri-kamera yang berkuasa.
  • Tiada rongga ketara apabila ditutup.

Kontra

  • Tidak kalis air.
  • Panel tubuh plastik kurang premium.
  • Harga jualan kurang kompetitif.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd