Setelah dua tahun hidup di zaman pandemik, saya masih sukar untuk kembali ke norma lama pergi menonton filem terkini di panggung wayang. Dengan varian Omicron menghambat pelbagai negara maju, kerisauan diri dijangkiti Covid-19 meningkat naik semula. Dengan panggung wayang di Malaysia ditutup semasa fasa pertama PKP, terdapat banyak filem ditayangkan terus ke platform penstriman membuatkan kerinduan untuk pulang ke panggung juga berkurangan.
Tetapi hakikatnya ialah televisyen 50″ di rumah tidak akan dapat menandingi skrin gergasi TGV dan GSC. Perasaan menonton masih tidak puas. Alternatif yang boleh diambil peminat filem ialah membina sendiri panggung peribadi di rumah. Dengan Samsung The Premiere LSP7T ia menjadi amat mudah lebih-lebih jika anda berkemampuan.
Spesifikasi
Samsung The Premiere LSP7T | |
---|---|
Jenis | Projektor laser lontaran pendek |
Resolusi | 4K |
Saiz skrin | Sehingga 130″ |
Sistem operasi | Tizen |
HDR | Ya / HDR10+, HLG |
Keterangan maksimum | 2200 ANSI Lumens / 642 nits |
Audio | 2.2, 30W, Dolby Digital Plus |
I/O | 3x HDMI (1x eARc), 1 USB-A 2.0, RF, Optical Audio |
DTTV | Ya/DVB-T2 |
Pembantu maya | Bixby |
WiFi | WiFi 5 |
Bluetooth | BT 4.2 |
AirPlay 2 | Ya |
Berat | 9.1 kg |
Harga Jualan | RM 20,539 |
Rekaan
Rekaan Samsung The Premiere LSP7T adalah lebih bergaya berbanding projektor lain di pasaran kerana diperbuat daripada bahan plastik dan juga fabrik di hadapan yang menutup speaker. Tubuhnya juga lebih dibulatkan untuk kelihatan moden dan tidak berkotak. Terdapat lohong penyedut pengudaraan pada sisi kanan dan kiri yang dibelakangnya kelihatan empat kipas bersaiz besar. Kesemua input I/O terletak di bahagian belakang bersama dengan butang kuasa, kunci Kensington dan lohong hembusan udara untuk sistem penyejukan.
Secara ikhlasnya saya masih tidak tahu kenapa semua projektor di pasaran hanya ditawarkan dalam warna putih. Kenapa tiada dalam warna hitam. Ini bukanlah warna yang aneh memandangkan kesemua televisyen di pasaran majoritinya berwarna hitam. Kalau ianya berwarna hitam saya rasakan ia akan kelihatan lebih cantik tetapi ini sekadar pilihan peribadi saya.
Sistem tri-laser diletakkan di bahagian atas pada alur yang tersorok. Oleh sebab itu bahagian kaca lensa DLP LSP7T terlindung dari sentuhan secara tidak sengaja atau terdedah kepada kerosakan apabila cuba diangkat. Pada projektor biasa, lensa terletak di hadapan dan kerap kali ia disentuh apabila cuba diangkat. Ini akan mengakibatkan terdapat kotoran pada visual yang dilontarkan pada permukaan dinding. Sumber cahaya projektor ini boleh bertahan sehingga 20,000 jam bersamaan dengan digunakan secara berterusan selama 2.28 tahun.
Pilihan I/O adalah agak mewah dengan 3X HDMI yang salah satunya menyokong eARC. Ketiga-tiganya juga hadir dengan sokongan HDMI-CEC yang mengesan input dari peranti yang disambung untuk menghidupkan LSP7T secara automatik. Ini dipadankan dengan 1X USB-A 2.0, RJ45 LAN, output audio optikal dan sambungan RF. Sebuah dekoder DVB-T2 terbina juga disertakan bagi mereka yang ingin menonton televisyen digital tanpa perkakasan tambahan.
Pada bahagian bawah terdapat tiga kaki pelapik dalam konfigurasi tripod dengan permukaan getah. Dua daripada kaki yang berbentuk bulat mempunyai skru untuk melaraskan ketinggian serta membolehkan imej yang selari ditala dengan terperinci.
Berdasarkan spesifikasi ini, LSP7T adalah serupa dengan sebuah televisyen pintar Samsung cuma tanpa skrin LED/QLED yang besar. Kesemua komponen ini dimasukkan ke dalam tubuh sebesar 532 x 132.7 x 342 mm dan seberat 9.1 kilogram. Ia cukup selesa saya angkat kesana kemari dengan sebelah tangan sahaja.
Penggunaan Tizen
Sebelum meneruskan perlu saya jelaskan kepada pembaca apakah yang dimaksudkan dengan lontaran pendek di sini. Tidak seperti projektor biasa yang memerlukan ruang kosong yang besar di hadapan untuk melontar imej projektor lontar pendek LSP7T ini hanya memerlukan ruang sekitar 303mm sahaja untuk melontar imej sebesar 100-inci ke dinding. Kesemua ini juga dilakukan dari bahagian bawah bukan betul-betul di hadapan permukaan rata.
Oleh itu LSP7Tserasi sekali untuk digunakan dalam ruang apartmen yang kecil kerana berapa ramai di antara kita yang mempunyai ruang tamu besar seperti yang dipaparkan dalam drama Melayu di waktu petang. Semasa mengulas, saya tidak langsung perlu mengubah kedudukan atau ketinggian meja TV di rumah saya yang kecil. Ini juga bermakna jika anda membeli LSP7T perabot sedia ada tidak perlu disentuh. Rekaan ruang yang anda sudah selesa di rumah boleh terus digunakan.
Sistem operasi Tizen digunakan sama seperti kesemua televisyen pintar Samsung di pasaran sekarang. Pada waktu ni Tizen ialah sistem operasi dengan peratusan pengguna yang terbesar diikuti oleh WebOS yang digunakan oleh LG. Saya cukup suka dengan Tizen kerana antaramukanya minimalis dan tidak menyemakkan kepala. Ikon-ikon aplikasi yang dipasang disusun sebaris bagi memudahkan pencarian.
Saranan kandungan untuk ditonton hanya dipaparkan apabila pengguna memilih aplikasi pada talam panjang ini. Rekaan antaramuka Tizen berbeza dengan yang dilakukan pada Google TV yang meletakkan kesemua kandungan setempat secara serentak sehingga boleh mengakibatkan proses menatal skrin terasa kurang lancar.
Tizen juga melakukan tugas yang baik untuk memudahkan proses mengubah tetapan televisyen. Misalnya kandungan Netflix masih boleh distrim di latar belakang tetapi menu untuk mengubah tetapan televisyen akan diapungkan di hadapannya. Tekan butang back selepas usai mengubah tetapan dan kandungan yang ditonton terus bergerak tanpa halangan. Ini mustahil dilakukan pada Android TV yang pernah saya ulas di Amanz kerana pengguna perlu keluar dahulu dari aplikasi sebelum tetapan boleh diubah.
Kesemua aplikasi utama seperti YouTube, Prime Video, Netflix, Apple TV+, Apple Music dan Spotify boleh dimuat turun. Satu aplikasi yang masih belum ditawarkan ialah Disney+ Hotstar walaupun perkhidmatan sudah hampir setahun tiba ke Malaysia. Mengapa tak ada? Ini soalan yang perlu ditujukan kepada Disney+ Hotstar kerana di pasaran lain Disney+ telah lama ditawarkan di stor aplikasi Tizen.
Tanpa aplikasi cara yang boleh dilakukan pelanggan Disney+ Hotstar untuk menonton ada tiga. Cara pertama ialah menerusi pelayar web terbina. Cara kedua ialah menggunakan Apple AirPlay 2 dan cara terakhir menggunakan Samsung SmartView pada telefon pintar. Harus saya akui ini bukanlah penyelesaian yang elegan tetapi ia adalah pilihan yang perlu diambil jika anda memerlukan Disney+ Hotstar.
Satu lagi ekosistem Samsung yang disokong ialah Samsung DeX secara nirwayar dan juga berwayar. Bagi mereka yang ingin memainkan video dari storan luaran, port USB-A di belakang menyokong sambungan pemacu ibu jari, storan SSD dan storan cakera keras. Lebih menarik sekali ialah Tizen boleh membaca storan yang menggunakan format FAT32, NTFS dan APFS. Ini satu lagi kelebihan Tizen pada hemat saya kerana pada Android TV format APFS tidak disokong menyebabkan video, gambar atau audio yang disimpan tidak boleh dibaca.
Alat Kawalan Jauh
Alat kawalan jauh standard Samsung disertakan yang memerlukan dua bateri bersaiz AA. Sebuah butang bulat multi arah dengan satu butang utama di tengah dipadankan dengan dua butang laras audio dan menukar saluran TV. Rekaan alat kawalan jauh adalah ergonomik dengan ikonografi yang mudah difahami. Satu kekurangan ialah tiada tiga butang pintasan pantas melancarkan aplikasi seperti Netflix, Prime Video dan laman web. Sedikit pelik ia tidak disertakan kerana ia biasanya diberikan Samsung pada alat kawalan jauh televisyen mereka.
Penggunaan The Premiere Dan Kualiti Visual
Apabila palam kuasa dipasang dan elektrik diaktifkan sebuah lampu LED merah dapat dilihat di hadapan terselindung di sebalik pelitup fabrik speaker. Tekan butang kuasa pada alat kawalan jauh dan LSP7T akan dapat digunakan selepas sekitar 10 saat. Pengguna kemudian disarankan untuk log masuk akaun Samsung mereka. Bagi pengguna Samsung proses ini adalah mudah kerana boleh dilengkapkan pada telefon pintar dengan menekan hanya beberapa butang. Jika anda memiliki televisyen Samsung sebelum ini, tetapan pada televisyen lama boleh dikembalikan pada LSP7T dalam masa beberapa minit.
Proses pengaktifan buat kali pertama adalah lebih mudah sekiranya anda memiliki akaun Samsung kerana TLSP7T menggunakan ekosistem Samsung. Bagi pengguna peranti lain ia sedikit leceh kerana pengguna perlu mendaftar akaun baharu dan menaip menggunakan alat kawalan jauh yang disertakan.
LSP7T mempunyai ciri auto-keystone yang secara automatik memastikan imej yang terpancar pada dinding adalah segi empat tepat. Pemfokusan imej juga dilakukan sendiri oleh perisian secara automatik. Ciri ini amat saya hargai kerana semasa di kolej dahulu bertugas dalam unit audio visual. Tugasan paling leceh ialah memastikan imej projektor yang dipancarkan adalah segi empat bukannya trapezoid dan difokus dengan betul. Walaupun anda seorang teruna atau anak dara menggunakan projektor, LSP7T boleh digunakan terus tanpa isu kerana ianya idiot proof.
Ciri paling menarik bagi saya ialah ia mengesan apabila pengguna ingin melihat terus pada lampu laser ketika ia beroperasi. Lampu laser akan dimatikan terus apabila mengesan pengguna di hadapannya. Ini amatlah berguna untuk mengelakkan kecederaan mata sekiranya pengguna secara tidak sengaja memandang sumber cahaya. Di rumah ia beberapa kali menyelamatkan mata anak dari terbakar kerana ingin tahu sumber cahaya yang terang.
Jika sistem automatik tidak memenuhi piawaian anda, terdapat pelbagai pilihan untuk mengubah bentuk skrin, saiz skrin, fokus imej, keterangan dan dari mana imej dipancarkan. Samsung menyertakan kesemua jenis mod dan tetapan yang diperlukan bagi mendapatkan visual yang paling memuaskan pengguna.
Kualiti visual amat bergantung kepada kegelapan bilik dan permukaan imej dipancarkan. Pada hemat saya imej 4K yang terhasil adalah cukup tajam asalnya saiz skrin tidak melangkaui 80-inci. Pada saiz lebih besar imej mula tidak begitu tajam. Saya mengulas dari sudut seorang insan yang sudah pernah menggunakan televisyen 8K sebelum ini. Jadi mata saya boleh melihat perbezaan ketajaman visual 4K dan 8K dari jarak sekitar 2 meter. Bagi mereka yang matanya belum pernah dimanjakan dengan skrin 8K HDR, imej yang lebih lembut LSP7T pada saiz pancaran lebih besar mungkin tidak akan disedari atau peduli.
Penghasilan semula warna juga agak baik lebih-lebih lagi dalam Filmmaker Mode yang digunakan khusus untuk memastikan imej mengikut piawaian pembikin filem. Mod lain seperti Dynamic, Natural dan Standard boleh dipilih tetapi saya merasakan Dynamic mungkin yang paling ekstrem kerana saturasi warna yang agak melampau.
Jika bilik tidak cukup terang, gambar yang dipancarkan menjadi sedikit kelabu dan wash out. Walaupun dikatakan mampu mencapai keterangan sehingga 2200 ANSI Lumens (~642 nits) tetapi secara ikhlasnya saya rasakan ini tidak berlaku. Oleh sebab itu prestasi HDR pada LSP7T adalah tidak begitu ketara ataupun memuaskan. Televisyen pintar LED tahun 2019 yang saya gunakan di rumah kelihatan lebih terang.
Kepuasan visual LSP7T amat bergantung kepada tiga faktor iaitu asalkan tidak dipancarkan terlalu besar, anda tidak pernah menonton skrin 8K HDR dan kegelapan bilik. Oleh itu jika anda mempunyai ruang TV yang tidak boleh digelapkan, LSP7T tidak boleh dinikmati pada kualiti paling optimum.
Kualiti Audio
Speaker saluran 2.2 dengan output 30W adalah amat lantang untuk sebuah projektor. Ia amatlah baik untuk sebuah projektor yang rata-ratanya masih lagi sekadar dilengkapi speaker mono. Audio dilontarkan terus ke hadapan dan bukannya ke bawah seperti 99% televisyen di pasaran oleh itu saya merasakan ia mampu memuaskan mereka yang mahukan visual dipadankan dengan audio yang sama mantap.
Sistem audio yang disokong hanyalah Dolby Digital Plus dan bukannya Dolby Atmos. Sungguhpun begitu jika anda mempunyai sistem audio Dolby Atmos, LSP7T menyokong passthrough asalkan sambungan HMDI eARC digunakan. Saya mencubanya sendiri tanpa masalah dengan memadakan LSP7T dengan sebuah Sonos Beam (Gen2) yang diulas beberapa minggu yang lalu.
Kesimpulan
Pada harga RM20,539 sebuah ia jelas bukan produk yang mampu dimiliki oleh semua. Tetapi sebenarnya ini ialah harga jualan yang lebih murah berbanding RM24,999 semasa dilancarkan di Malaysia tahun lalu. Memang nampak mahal tetapi murah jika dibandingkan dengan harga TV dengan skrin 100″ di Malaysia sekarang.
Bagi yang mahukan sebuah panggung wayang di rumah dengan sokongan multimedia yang lengkap LSP7T tidak mengecewakan. Sistem operasi Tizen menyokong pelbagai aplikasi, sambungan input, format storan, input dan ekosistem. Penggunaanya mudah tanpa perlu membaca manual terlebih dahulu. Ada sebab mengapa Tizen ialah sistem operasi televisyen pintar dan kini projektor pintar di dunia.
Proses penetapan skrin juga amat mudah kerana automatik. Dibantu pula dengan pelbagai pilihan tetapan tambahan sekiranya pengguna ingin melakukan talaan imej yang lebih terperinci dan granular. Visual 4K HDR adalah memuaskan dengan audio pula jauh lebih baik berbanding projektor biasa.
Kekurangan terletak pada keperluan mempunyai bilik yang benar-benar gelap untuk visual yang optimum. Jika ada sumber cahaya, imej yang dipancarkan terus kehilangan warna. Ia juga tidak menyokong format HDR Dolby Vision dan speaker bukan Dolby Atmos. Speaker berasingan diperlukan jika anda masih inginkan Dolby Atmos.
Bagi mereka yang ingin mencari projektor lontaran rendah yang tidak memerlukan ruang yang luas, Samsung The Premiere LSP7T ialah pilihan yang munasabah kerana boleh menawarkan saiz skrin yang besar tanpa perlu berbelanja besar relatif kepada harga TV dengan saiz skrin yang setanding.
Pro
- Sokongan 4K HDR yang memuaskan.
- Mudah untuk digunakan kerana pelbagai tetapan automatik.
- Audio yang amat baik untuk sebuah projektor.
- Lontaran pendek tidak memerlukan ruang yang besar atau susunan semula perabot.
- Perisian Tizen yang baik lengkap dengan sokongan AirPlay 2 dan Samsung SmartView.
- Pilihan I/O yang lengkap.
Kontra
- Memerlukan bilik yang benar-benar gelap untuk visual optimum.
- Tiada sokongan Dolby Vision.
- Harga masih di luar kemampuan majoriti.