Audio ialah antara aspek yang sentiasa dianaktirikan oleh pengguna kerana skrin yang cantik, skrin yang besar dan pemproses yang berkuasa adalah tiga kategori yang lebih diutamakan. Ramai sebenarnya tidak menyedari bahawa speaker televisyen yang mereka gunakan sekarang adalah kurang memuaskan kerana menembak ke bawah dan dalam 90% kes hanya sekadar stereo serta bersaiz kecil.

Saya adalah antara insan yang dahulunya berpuas hati sahaja dengan speaker TV di rumah. Tetapi sejak bekerja di Amanz, saya banyak mengulas kelengkapan audio yang berprestasi tinggi. Selepas “hijab” yang menutup telinga dibuka, mustahil untuk ditutup semua dan kembali ke speaker stereo 2.0 biasa. Analoginya adalah seperti kali pertama anda menonton kandungan 1080P di TV. Saya saya ramai di kalangan anda sudah tidak boleh lagi menerima resolusi yang lebih rendah.
Sonos Beam (Gen 2) ialah speaker yang boleh dikategorikan sebagai kelas bangsawan di Malaysia. Ia sudah dipasarkan sejak beberapa minggu yang lalu jadi adakah soundbar bersaiz kompak ini mampu menawarkan pengalaman audio yang terbaik membuatkan harga RM2699 untuk membelinya berbaloi?
Spesifikasi
Sonos Beam (Gen 2) | |
---|---|
Jenis | Soundbar |
Pemandu | Lima Pemandu Audio |
Port I/O | HMDI eARC, LAN |
CODEC | Dolby Digital Plus. Dolby Atmos (Dolby Digital Plus) Dolby Atmos Dolby TrueHD Dolby Atmos (True HD) Multichannel PCM Dolby Multichannel PCM |
Sistem operasi disokong | Semua |
Sokongan pembantu maya | Ya/Assistant dan Alexa |
Pad sesentuh | Ya |
Bluetooth | Tiada |
Bicu Audio AUX | Tiada |
NFC | Ya |
Harga Jualan | RM 2699 |
Sonos Beam Gen 2 ialah model kemas kini untuk Sonos Beam asal yang dilancarkan pada tahun 2018. Oleh itu apabila dilihat pada rekaan luaran, tiada perbezaan ketara dapat dilihat. Keseluruhan tubuh soundbar diperbuat daripada bahan plastik termasuklah kekisi speaker di bahagian hadapan dan sisi. Ada yang kurang menggemari penggunaan bahan plastik pada soundbar tetapi saya secara peribadi merasakan ia adalah rekaan yang lebih praktikal jika dibandingkan dengan kemasan fabrik pada Sonos Playbar.

Sonos Playbar yang telah saya gunakan di pejabat sejak enam tahun lalu kini berhabuk dengan penutup kanvas yang suka dibersihkan serta sudah mula koyak. Kekisi plastik jauh lebih mudah dibersihkan tanpa risiko koyak di masa hadapan. Dalam hal ini Sonos mengambil langkah praktikal jangka panjang berbanding kemasan yang akan membuatkan Beam kelihatan lebih premium.
Rekaan Beam Gen 2 adalah amat kompak berbanding beberapa soundbar yang memasuki makmal Amanz sebelum ini. Walaupun kecil ia memuatkan lima pemacu audio. Dua menembak ke depan, dua menembak ke sisi dan satu di hadapan untuk audio perbualan. Aneh sekali walaupun menyokong Dolby Atmos, Beam Gen 2 tidak dilengkapi pemacu audio yang ditembak ke atas untuk audio lebih menyeluruh. Sebaliknya perisian digunakan oleh Sonos untuk memberikan kesan audio yang datang dari atas.

Rekaan yang kompak dipadankan pula dengan kemasan yang cukup minimalis. Tiada sebarang butang fizikal. Sebaliknya butang kawalan muzik dan menyeru pembantu maya sesentuh diletakkan pada bahagian atas. Sebuah lampu LED juga diletakkan pada bahagian atas untuk menunjukkan status soundbar ketika melakukan tambatan buat pertama kali dan ketika dalam mod pembantu maya.
Tambah berani alat kawalan jauh juga tidak diberikan. Sebaliknya kawalan dilakukan sepenuhnya menerusi aplikasi Sonos pada peranti pintar. Telefonlah menjadi alat kawalan jauh ketika menstrim muzik dari pelbagai platform penstriman popular. Apabila Sonos disambungkan kepada televisyen pula, secara automatik alat kawalan jauh TV boleh digunakan untuk mengawal kelantangan audio Beam Gen 2.

Beberapa perenggan di atas saya mengatakan saiz Beam Gen 2 adalah kompak. Berapa kompak?
Hanya sebesar 651 x 100 x 69 mm yang adalah sekitar saiz soundbar yang boleh diletakkan di meja kerja cuma ianya lebar. Seperti yang dapat anda lihat di atas, ianya lebih kecil berbanding lebar sebuah monitor sebesar komputer 32″.
Beratnya pula ialah 2.8 kilogram. Proses mengubah kedudukan Beam Gen 2 adalah mudah kerana hanya soundbar perlu diubah tanpa perlu mengubah juga sebuah kotak subwoofer berasingan. Beam Gen 2 ialah sistem audio yang direka untuk pengguna moden yang duduk di dalam rumah bersaiz kecil dan inginkan sebuah soundbar yang boleh digunakan terus dari luar kotak tanpa perlu melakukan multi-sambungan kepada woofer dan satelit.

Dengan ketinggian 69mm, ia juga boleh diletakkan di bawah beberapa televisyen pintar dengan cukup selesa. Dari pengamatan saya ia tiada masalah dimasukkan di bawah televisyen Sony, Samsung, Prism+ dan Huawei yang ada di studio AV Amanz sekarang. Dengan penggunaan ruang adalah penting, Beam Gen 2 ialah antara paling mudah untuk digunakan di ruan tamu kerana saiznya yang cukup padat.
Penggunaan
Satu perkara yang perlu diketahui oleh mereka yang berminat membeli Beam Gen 2 ialah ia hanya menyokong tambatan audio menggunakan WiFI dan sambungan HMDI eARC. Tiada langsung tambatan menggunakan bluetooth atau kabel audio biasa. Alasannya mungkin kerana Sonos ialah soundbar untuk mendengar audio tahap premium dan bluetooth serta kabel biasa tidak boleh memberikan pengalaman audio maharaja. Untuk menikmati audio Dolby Atmos juga anda perlu memastikan televisyen anda menyokong sambungan HMDI eARC. Tanpa sokongan eARC, format audio yang disokong terhad kepada Dolby Digital 5.1 sahaja.
Proses mengaktifkan Beam Gen 2 untuk kali pertama saya dapati jauh lebih mudah pada peranti Apple. Lebih pantas dan mudah untuk menambah perkhidmatan seperti Apple Music ke dalam aplikasi. Secara keseluruhan proses mengaktifkan soundbar pertama kali mengambil masa sekitar 5 minit. Ini adalah isu saya dengan kesemua “peranti pintar” sekarang. Semuanya perlu menjalani proses pendaftaran akaun Sonos dan memerlukan Internet. Tanpa Internet anda tidak boleh menggunakan Beam Gen 2 kerana seperti saya katakan tadi tiada sokongan bluetooth dan berkabel biasa.

Ini ialah pengorbanan yang perlu dilakukan apabila memasuki ekosistem pintar. Selepas semuanya selesai Beam Gen 2 tidak lagi mendatang sebarang masalah. Di makmal Amanz, sebuah televisyen 65″ Samsung QN900A Neo QLED 8K dan monitor 32″ Smart Monitor M7 saya gunakan untuk menguji Beam Gen 2. Ini adalah bagi melihat sama ada proses menyambungkan soundbar konsisten pada sebuah televisyen RM20,000 dan monitor pintar RM 2000.

Dalam kedua-dua situasi proses menyambungkan Beam Gen 2 adalah semudah melakukan sambungan HDMI. Kedua-dua monitor pintar mengesan Beam Gen 2 sebagai soundbar Atmos sebelum menggunakannya sebagai speaker audio utama. Semudah menekan “ok” pada skrin. Pengalaman yang lancar ini sedikit sebanyak mengubati proses mengaktifkan soundbar yang mengambil masa lima minit yang saya katakan tadi.
Satu perkara yang perlu saya sentuh ialah menggunakan Beam Gen 2 sebagai speaker pintar di rumah. Di Malaysia ciri menggunakan seruan suara Amazon Alexa dan Google Assistant masih tidak disokong. Jadi satu ciri yang diiklankan tidak boleh digunakan.

Selepas semua ini dilakukan, Beam Gen 2 tersedia menanti untuk digunakan. Sepanjang tempoh dua minggu lebih mengulas tiada isu lain yang serius saya alami semasa menggunakannya sebagai sistem audio hiburan utama di makmal Amanz.
Kualiti Audio
Ringkasan pendek untuk kualiti audio ialah WOW. Ini ialah soundbar yang kecil tetapi dengan audio yang besar. Ia mengingatkan saya kepada Rick Astley dan Tay Zonday. Rupa paras fizikal memang tidak sepadan dengan pengalaman audio yang mungkin terbaik untuk sebuah soundbar yang pernah saya gunakan.
Pertama sekali ialah audio yang cukup jelas. Di awal filem Red Notice di Netflix terdapat suara latar menceritakan sejarah artifak sejarah yang menjadi plot utamanya. Suara narasi yang dilontarkan seperti pemilik suara benar-benar berada di depan muka. Kemudian dalam babak seterusnya terdapat mesin pencetak 3D berfungsi dan bunyi mekanisme motor elektrik, peralatan elektrik di bahagian sisi dan televisyen yang masih memainkan suara narasi. Kesemua audio dari pelbagai peralatan ini dapat didengari dengan jelas, tajam dan dapat dikesan kedudukannya secara tiga dimensi.

Sedikit sukar untuk menulis pengalaman mendengar audio dalam bentuk perkataan. Tetapi jika anda pernah menonton filem dalam panggung Dolby Atmos, pengalaman audio pada Beam Gen 2 adalah sama tetapi pada skala lebih kecil.
Lontaran audio dari atas mungkin tidak begitu menjadi kerana menggunakan perisian. Tetapi ini ialah kekurangan yang kecil jika dibandingkan dengan kelebihan yang boleh dinikmati. Letupan dan tembakan pistol terasa seperti menumbuk dada walaupun Beam Gen 2 tidak mempunyai sebuah subwoofer kayu besar. Treble juga gemersik dengan bunyi kaca berderai bergerak di depan kepala.
Bagi mereka yang tidak pernah menggunakan sistem audio 5.1 atau Atmos, saya sarankan anda jangan cuba jika tidak mempunyai impian membeli kerana ia akan membuatkan anda tidak akan kembali ke sistem audio 2.1 biasa lagi. S

Saya katakan di makmal Amanz sebuah 65″ Samsung QN900A Neo QLED 8K digunakan untuk menguji Beam Gen 2. Kualiti speaker Beam Gen 2 adalah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan sistem audio terbina televisyen pintar yang langsung tidak menyokong Atmos ini. Akhirnya visual mantap boleh ditonton pada skrin 8K QLED premium dengan audio Atmos sebenar. Seperti berubah dari sebuah TWS ke fon kepada Sony dengan LDAC. Itulah perbezaannya pada telinga saya kerana memperkenalkan dimensi baru kepada telinga.
Jika anda pelanggan Apple Music pula, Beam Gen 2 kami sarankan untuk mendengar muzik Atmos dan Apple Lossless. Telinga terasa seperti sedang dibasuh bersih dari dosa-dosa mendengar muzik menggunakan fon telinga murahan sahaja selama ini. Frekuensi dan alatan muzik yang selama ini tenggelam secara magis muncul apabila didengari menerusi Beam Gen 2.
Sekiranya anda sudahpun mempunyai speaker pintar Sonos yang lain di rumah, Beam Gen 2 boleh digabungkan dengan Sonos One dan Sonos Sub untuk pengalaman audio yang lebih baik.
Kesimpulan
Sonos Beam Gen 2 ialah soundbar TERBAIK pernah kami gunakan dan ulas di makmal audio visual Amanz. Walaupun bersaiz lebih kecil berbanding soundbar lain di pasaran, prestasi audionya langsung tidak dijangka. Lantang tetap terang. Bass berdentum kuat tetapi audio tidak berkecamuk menjadi rojak apabila dimainkan pada tetapan audio tinggi. Treble gemersik sehingga terasa tajam di telinga dengan pergerakan objek di skrin berpadanan dengan audio yang menerjah ke rongga telinga. Atmos ialah sistem audio yang perlu didengari sendiri dengan telinga untuk memahami mengapa harga kelengkapan AV yang menyokongnya tinggi di pasaran.
Proses memasangnya juga semudah menyambung dua kabel sebelum mendaftarkannya kepada rangkaian internet rumah. Hanya proses ini boleh dikatakan kelemahan sebenar Beam Gen 2. Kelemahan lain yang agak ketara ialah ia tidak menyokong sambungan bluetooth dan AUX yang menjadi standard pada sistem soundbar lain Tetapi ia boleh dimaafkan kerana prestasi audio yang disokong adalah amat-amat memuaskan.

Pada harga RM2699 sebuah memang ia jatuh ke dalam kategori premium mercu kurang mampu milik. Tetapi jika anda mahukan soundbar terbaik dengan ATMOS tetapi tidak memerlukan ruang yang besar di meja TV rumah, Sonos Beam Gen 2 adalah amat berbaloi.
Pro
- Rekaan kecil padat tidak memakan ruang tapak yang besar.
- Sokongan Dolby Atmos yang premium.
- Pengalaman audio yang baik pada sebuah soundbar kecil.
- Mudah untuk disambungkan dan dikawal menggunakan peranti pintar.
- Kemasan mudah dibersihkan kerana tiada fabrik yang mudah koyak.
Kontra
- Tiada sokongan bluetooth atau AUX.
- Memerlukan TV dengan eARC untuk Dolby Atmos. Televisyen yang digunakan juga perlu mercu.
- Proses mengaktifkan kurang konsisten. Lebih mudah pada peranti iOS berbanding Android.
- Ciri seruan Google Assistant dan Amazon Alexa tidak disokong di Malaysia.
