Cari @ Amanz

Oppo Find X5 Pro dikatakan adalah pengganti kepada Oppo Find X3 Pro. Sejak Find X2 lagi, Oppo mula fokus untuk menawarkan sebuah peranti mercu yang mampu bersaing dengan Samsung atau Apple. Mereka mula menawarkan rekaan menarik, kamera hebat, skrin cantik dan spesifikasi yang mantap.

Selepas imej pengolokan Find X5 Pro tertiris, yang mana memperlihatkan rekaan modul kamera yang unik dengan konfigurasi tri-kamera. Agak aneh kerana Find X3 Pro mempunyai empat, apa sebab Oppo buang pada Find X5 Pro tidak tahu?

Pagi semalam, spesifikasi yang didakwa adalah untuk peranti ini tertiris. Sejurus selepas ia tersebar di Internet, aneh sekali sumber Digital Chat Station terus sunting ciapan Weibo beliau dengan perkara lain. Spesifikasi Oppo Find X5 Pro dilihat mirip dengan OnePlus 10 Pro, tetapi sedikit berbeza pada kamera dan perisian.

PFEM10 iaitu nombor model Find X5 Pro disenaraikan menggunakan skrin 6.7-inci 2K AMOLED, 120Hz dan LTPO 2.0. Dijana pula dengan cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 1, memori mungkin sehingga 12GB RAM dan storan jenis UFS 3.1. Untuk kamera ia dilihat menggunakan sensor 50MP IMX766 utama, OIS + 50MP IMX766 sudut ultra-lebar + 13MP telefoto, manakala kamera swafoto pula adalah 32MP IMX709. Tidak lupa juga yang Oppo turut menggunakan ISP tersendiri, Oppo MariSilicon X.

Bateri dikatakan sama 5000mAh dengan OnePlus 10 Pro bersama dengan sokongan pengecasan pantas 80W SuperVOOC dan pengecasan nirwayar pantas AirVOOC 50W. Perisian pada peranti ini adalah ColorOS 12.1 yang berasaskan Android 12.

Tarikh pelancaran dan harga jualan buat masa ini masih belum diketahui. Oppo juga dijangka turut akan memperkenalkan salah satu model Find X5 dengan cip MediaTek Dimensity 9000. Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd