Carian
Imej Pengolokan Realme 9 Pro Pula Tertiris Ke Arena Web
January 14, 2022 Amy Maizuraa

Baru-baru ini, Realme 9 Pro telah tertiris dalam beberapa imej lakaran tular yang menunjukkan rekaan pada peranti secara kasar. Terbaharu, OnLeaks sekali lagi berkongsi mengenainya tetapi kini ia diperlihatkan dalam imej pengolokan pula. Di mana, ianya lebih jelas dengan keperincian yang kemas.

Ia memperlihatkan Realme 9 Pro dalam kemasan berwarna serba hitam. Panel belakangnya berkilat dengan bahan binaan seumpama poli-karbonat. Modul kamera berbentuk segi empat dengan sistem tri-kamera utama turut boleh dilihat pada peranti. Melaluinya, ia mempunyai susunan kamera seumpama yang terdapat pada Realme GT Neo2.

Dua sensor diletakkan secara menegak, sementara satu lagi ditempatkan pada sisi bersebelahan. Spekulasi awal mengatakan ia mungkin menggunakan sensor utama 64MP yang kemudiannya diikuti dengan dua lagi sensor lain sebesar 8MP dan 2MP.

Seterusnya, peranti juga menggunakan panel hadapan berlubang dengan skrin sejenis rata. Bersama-samanya, peranti turut menyokong kamera swafoto tunggal yang di tempatkan pada bucu atas sebelah kiri. Saiz bezel kelihatan seimbang pada bahagian sisi dan atas.

Buat masa ini, tiada sebarang tarikh pelancaran khusus yang dikongsi untuk peranti. Tetapi, Realme telah mengesahkan ia bakal tiba pada tahun ini. Ramai menyasarkan, ia besar kemungkinan diumumkan pada suku pertama tahun ini. Sama-sama kita nantikan.

Sumber : OnLeaks

Komen