Kain lap Apple dilancarkan Disember lalu dan terus menjadi bahan jenaka Internet kerana harga jualan RM99 yang dianggap terlalu mahal. Sungguhpun dikritik, kain lap ini mendapat sambutan yang amat luar biasa sehingga waktu menunggu untuk pembelian diterima mencecah 12 minggu.

Dengan secara tiba-tiba kembali boleh dibeli beberapa hari yang lalu, saya bernasib baik dapat membelinya dan ini ialah ulasan kain lap Apple. Adakah ia pembelian yang berbaloi ataupun kain serat mikro (microfibre) yang boleh dibeli di Shopee lebih mantap?
Rekaan
Kain lap ini diperbuat daripada bahan serat mikro yang amat popular digunakan untuk mengelap kaca cermin mata, skrin peranti dan sebarang permukaan tanpa meninggalkan kesan calar. Satu perkara yang mengejutkan saya ialah kain ini sebenarnya lebih kecil dari disangka iaitu 16×16 cm. Hanya sedikit lebih lebar berbanding tetapi sama tinggi dengan sebuah iPhone 13 ProMax.

Perkara pertama yang saya sedari ialah tekstur kain yang agak kesat dan kain yang lebih berat berbanding kain lap serat mikro yang pernah dimiliki sebelum ini. Seperti yang didedahkan oleh iFixit, kain terasa berat kerana ia menggunakan dua lapisan kain yang dijahit. Hasilnya kain terasa lebih mewah dan sedap di dalam tangan ketika mengelap.
Bagi menunjukkan ia memang sebuah produk keluaran Apple, pada bucu bawah kanan sebuah logo syarikat diletakkan. Logo hanya dapat diletakkan pada satu bahagian sahaja bagi memudahkan mereka yang hanya ingin menggunakan hanya satu bahagian kain sahaja untuk mengelap.

Ini adalah perlu kerana selepas hanya mengelap tiga peranti di makmal Amanz, kesan kotoran yang agak ketara dapat dilihat. Oleh sebab itulah saya pelik Apple menjual kain ini hanya dalam warna kelabu.
Jika kain ditawarkan dalam warna hitam, kotoran akan menjadi lebih sukar untuk dilihat dengan mata kasar. Sebelum ini bagi mereka yang membeli MacBook Pro, Apple memberikan kain lap baldu yang berwarna hitam.Bercakap mengenai kain lap lama Apple, kain lap baharu ini terasa empat kali ganda lebih mewah dan mudah digunakan berbanding kain baldu yang licin.

Gosok-Gosok
Adakah kain mahal menjanjikan peranti yang digosok akan dapat dibersihkan dengan jayanya? Bagi menguji keberkesanan kain lap Apple RM99 ini saya akan cuba membersihkan kesemua skrin produk Apple yang wujud di pejabat Amanz iaitu MacBook Air M1, iPhone 13 Pro Max, Apple Watch dan iPad Mini. Kesemuanya hadir dengan aiz skrin dan penggunaan peranti yang berbeza antara satu sama lain.

Skrin MacBook Air M1 menjadi skrin pertama yang secara rasmi dibersihkan dengan kain yang baru dibeli ini. Ia pilihan sebagai peranti pertama kerana ia adalah yang paling besar dan paling kotor. Di rumah saya sering bertarung dengan anak yang suka benar menyentuh skrin kerana menganggap ia adalah sama seperti iPad miliknya.
Seperti yang dapat anda lihat di bawah skrin MacBook Air M1 yang saya miliki memang amat kotor dengan kesan minyak yang menjijikkan kerana jari anak dan juga kesan minyak dari papan kekunci yang kemudiannya dipindahkan ke skrin apabila ditutup. Sebelum ini di rumah saya hanya membersihkan skrin menggunakan kertas pengelap cermin mata sahaja. Kesemua percubaan untuk mengembalikan kebersihan skrin seperti baru keluar dari kotak mencapai jalan buntu.

Percubaan sulung adalah kurang memberangsangkan dengan masih terdapat banyak kesan minyak di skrin selepas permukaan digilap sekitar lima minit. Tahap keberkesanan kain saya rasakan hanya sekitar 30 peratus. Rasa sedikit kecewa kain lap Apple tidak memerangkap kotoran dengan mudah seperti yang diinginkan.

Tetapi selepas itu saya menonton beberapa video YouTube cara terbaik membersihkan skrin komputer bagi mengelakkan kesan calar dan tidak mengakibatkan kerosakan akibat menyental dengan terlalu kuat. Teknik yang sepatutnya digunakan ialah menggosok permukaan skrin dalam bulatan kecil yang sekata. Hasilnya kotoran mintak yang besar berjaya dihilangkan dengan hanya tompokan partikel bersin yang degil sahaja yang tinggal.

Apple menyarankan penggunaan alkohol isopropil untuk mencapai tahap pembersihan yang optimum. Sayang sekali cecair pencuci ini tidak pula kami jumpa di makmal Amanz. Sungguhpun begitu saya masih berpuas hati dengan teknik gosokan berputar kerana perbezaan sebelum dan selepas adalah amat ketara.
Kerana papan kekunci yang berminyak boleh memindahkan kotoran ke skrin, saya turut membersihkan permukaan kekunci. Hasilnya cukup memuaskan dengan butang kekunci tidak lagi berkilat seperti orang minyak yang usai memangkah huruf-F pada wajah anak dara kampung.

Seterusnya saya membersihkan semula skrin iPad Mini yang mempunyai kesan kotoran yang panjang yang ditinggalkan oleh permukaan Smart Folio. Teknik gosokan bulat yang mirip meletakkan lapisan pengilat kereta sekali lagi berjaya menanggalkan kesemua kotoran.


Kita bergerak pula ke iPhone 13 Pro Max yang pada waktu ini saya gunakan sebagai peranti panduan harian. Dari segi kekotoran ia tidak seberapa kerana sejak pandemik saya sudah mem–Pavlov-kan diri untuk membersihkan skrin dengan kerap. Kesan cap jari amat mudah dihilangkan menggunakan kain lap walaupun tanpa teknik gosokan berputar.

Akhir sekali ialah skrin Apple Watch yang juga merupakan peranti dengan skrin terkecil setakat ini. Kotoran seperti dijangka dapat ditanggalkan dengan mudah tetapi beberapa kesan calar masih kekal kelihatan. Kain lap Apple cemerlang menghambat tompokan minyak dan cap jari tetapi tidak boleh menghilangkan kesan calar.

Kesimpulan
Kain lap Apple RM99 benar-benar boleh membersihkan permukaan skrin-skrin produk Apple yang diuji dengan prestasi yang bercampur baur. Pada skrin MacBook yang amat kotor, saya merasakan ia hanya sekitar 80% sahaja berjaya kerana terdapat kotoran lama yang lebih keras. Penggunaan cecair pelarut diperlukan tetapi kotoron minyak boleh disental keluar menggunakan teknik gosokan berputar. Pada iPad Mini, Apple Watch dan iPhone kain lap boleh melakukan pembersihan yang amat-amat memuaskan.
Isu kami hanyalah warna kelabu yang digunakan menunjukkan kotoran dengan ketara hanya selepas membersihkan satu peranti. Adalah lebih baik jika kain lap ditawarkan dalam warna hitam seperti kain lap yang diberikan dengan setiap pembelian MacBook Pro beberapa tahun yang lalu.

Saiz kain lap memang agak kecil tetapi ia mencukupi untuk membersihkan skrin peranti-peranti yang diuji. Malahan Apple mengatakan ia boleh juga digunakan untuk membersihkan skrin Pro Display XDR sebesar 32″. Kain lap ini cukup tebal dan saya tidak takut ia akan terkoyak dengan mudah. Memang terasa premium dengan kemasan sama seperti permukaan penutup Smart Folio.
Jadi adakah Apple Polishing Cloth ini berbaloi pada harga RM99. Jawapannya ialah ya kerana ia berfungsi seperti yang diiklankan. Bagi mereka yang mempunyai pelbagai peranti Apple, membersihkan skrin dengan kain jenama Apple adalah sesuatu yang normal. Lengkapkan ekosistem sehingga ke kain pencuci! Tetapi secara ikhlasnya semua jenis kain serat mikro di pasaran juga berkesan membersihkan skrin tetapi pada harga lebih rendah.
Pada waktu ini kain lap Apple RM99 adalah sama seperti kesemua peranti keluaran mereka. Anda tidak memerlukannya tetapi jika ingin menikmati penggunaan tahap premium anda perlu membayar lebih. Bagi peminat Apple anda mungkin sudahpun membelinya dan tidak memerlukan ulasan ini.
Pro
- Permukaan kain sedap dipegang dan ia lebih tebal berbanding kain lap biasa.
- Mampu membersihkan kesan minyak dan kotoran kecil pada skrin dengan baik.
- Saiz yang cukup besar untuk pelbagai permukaan skrin peranti.
Kontra
- Warna kelabu mudah menunjukkan kotoran selepas digunakan sekali.
- Harga premium untuk sekadar sehelai kain pengelap.
