Cari @ Amanz

Bermula hari ini, kini para pengguna Lebuhraya Utara-Selatan turut boleh menikmati satu lagi kaedah baharu dalam pembayaran tol, iaitu melalui laluan RFID.

Dibuka kepada semua bermula 10 malam, 15 Januari 2022, kini anda boleh menggunakan laluan RFID untuk pembayaran tol bagi laluan lebuhraya utara-selatan, sekaligus mengurangkan lagi tempoh masa di plaza tol. Untuk menggunakannya, pengguna perlu mempunyai pelekat RFID yang dipasang pada kenderaan, dan dipautkan kepada dompet digital Touch n Go eWallet.

Pelekat RFID ini ditawarkan pada harga RM35 oleh pihak TNG. Ia juga turut memudahkan pengurusan baki akaun, memandangkan dipautkan kepada kredit di dompet digital, sekaligus memudahkan proses pembayaran.

Pengenalan tol RFID ini dijangka akan menjadi titik tolak kepada pengenalan plaza tol tanpa palang dalam beberapa tahun lagi. Malah laluan SmartTAG dan juga kad Touch n Go akan mula digantikan secara berperingkat, dan disasar ditamatkan penggunaan di plaza tol menjelang penghujung 2023 kelak.

Selain itu, pihak PLUS sendiri mengatakan akan menawarkan lebih banyak alternatif pembayaran, termasuk dengan menggunakan kad debit atau kad kredit di plaza tol. Buat masa ini, ciri berkenaan telah mula diuji di beberapa plaza tol.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd