Carian
Canon EOS R5 C Diumumkan Dengan Rakaman Video 8K 60FPS Cinema RAW
January 20, 2022 Effi Saharudin

Canon EOS R5 C telah dilancarkan hari ini sebagai kamera video digital berprestasi tinggi dari mereka. Ia menggabungkan kemampuan fotografi Canon R5 dengan teknologi video EOS bagi memberikan kebebasan kepada pembikin filem untuk memenuhi visi di dalam kepala mereka.

Kamera dilengkapi sensor 45-MP CMOS bingkai penuh yang dipadankan pula dengan cip pemproses imej DIGIC X. Ini membolehkan ia merakam gambar pada kadar 12FPS menggunakan pengatup mekanikal atau 20FPS dengan pengatup elektronik yang senyap.

Tetapi EOS R5 C sebenarnya lebih memberikan tumpuan kepada kemampuan video. Ia boleh merakam video pada tetapan 8K 60FPS dalam format Cinema RAW Light. Rakaman 8K 30FPS dapat dilakukan dalam format ProRes RAW. Jika resolusi direndahkan kamera dapat merakam video pada tetapan 4K 120FPS. Dengan sistem penyejukan aktif terbina, rakaman 8K 60FPS boleh dilakukan tanpa had sehingga kehabisan storan.

Sensor mempunyai 1000 titik pemfokusan untuk rakaman gambar dan 800 titik pemfokusan untuk video. Sebuah skrin LCD 3.2″ diletakkan di bahagian belakang dan sebuah viewfinder OLED 5.76 juta titip turut disertakan. Bagi memudahkan operasi, terdapat butang khas untuk memilih mod fotografi atau video serta butang merah besar untuk memulakan penggambaran. Canon EOS R5 C akan mula dijual pada bulan Mac pada harga $4,499 (~RM 18,839) tanpa lensa. Ia serasi digunakan dengan lensa dengan cagak RF Canon.

Komen