Siri Samsung Galaxy FE bermula dengan Note Fan Edition, iaitu Note 7 yang dipasarkan semula tanpa isu bateri yang mengakibatkan jualan dihentikan. Selepas bertahun tiada edisi ini, Samsung kembali dengan S20 FE pada tahun 2020 dan untuk S21 mereka sedikit lambat kerana hanya pada tahun ini S21 FE dilancarkan.
S21 FE ditawarkan pada harga lebih mampu milik tetapi masih mengekalkan elemen terbaik dari tiga peranti siri S21 yang dilancarkan tahun lalu, Yang menjadi persoalan ialah sehebat manakah peranti ini dan adakah benar ia untuk peminat tegar Samsung?
Kami di Amanz telah menerima peranti untuk diuji seminggu lalu adan cuba menjawab soalan penting ini. Peranti hadir dengan spesifikasi mercu tahun lalu tetapi mula dijual ini sebenarnya agak hebat, tetapi dengan sedikit kaveat.
Spesifikasi
Galaxy S21 FE | |
---|---|
Skrin | 6.4″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+ 1080 x 2400, Victus |
Pemproses | Exynos 2100 (5nm) |
Cip | 1 x 2.9 GHz Cortex-X1 3 x 2.80 GHz Cortex-A78 4 x 2.2 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G78 MP14 |
RAM | 8GB + RAM Plus 4GB |
Storan Dalaman | 128/256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 12MP f/1.8 – Utama, OIS 8MP – f/2.4 – Telefoto, 3x Optikal, OIS 12MP f/2.2 – Sudut Ultra-Lebar, 123 darjah |
Kamera Swafoto | 32MP f/2.2 |
Bateri | 4500 mAh Pengecasan berwayar 25W Pengecasan nirwayar 15W Pengecasan nirwayar berbalik |
SIM/Telefoni | 5G, Dwi SIM Nano |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | Cap jari bawah skrin |
Harga Jualan | RM2899 8/128 GB RM3099 8/256 GB |
Rekaan
Samsung Galaxy S21 FE menggunakan rekabentuk yang lebih kurang sama dengan Galaxy S21. Panel belakang masih lagi polikarbonat dengan kemasan kusam yang memberi cengkaman yang baik apabila di dalam tangan. Modul kamera dengan Contour Cut yang ikonik dikekalkan dan ini ialah rekaan yang nampaknya akan diteruskan juga pada siri S22 nanti berdasarkan beberapa imej pengolokan rasmi yang sudahpun tertiris.
Secara peribadi saya merasakan tindakan Samsung mengekalkan elemen rekaan yang konsisten adalah baik kerana sudah agak lama ia tidak dilakukan. Perubahan rekaan saban tahun menyebabkan keluarga Galaxy S seperti tidak mempunyai identiti tersendiri.

Di hadapan pula adalah skrin rata bersaiz 6.4-inci daripada panel Dynamic AMOLED 2x dengan kadar segar semula 120Hz dan menyokong paparan HDR10+ serta dilindungi dengan kaca Gorilla Glass Victus. Sisi kiri peranti tiada apa-apa, tetapi di kanan terdapat semua butang laras suara dan kuasa. Di bawah pula terdapat slot kad SIM, port USB-C, lubang mikrofon dan kekisi pembesar suara.

Peranti ini amat selesa di tangan dan begitu mudah untuk dikendalikan. Untuk diri saya, ia seakan memegang sebuah Pixel 6 atau Pixel 5, kerana terasa kecil dan kompak. Ia juga tidak terasa begitu berat sehingga tidak seimbang seperti abang besar S21 Ultra. Pada waktu yang sama masih lagi agak nipis. Untuk menepati citarasa lebih ramai peminat, Samsung turut menawarkan pelbagai pilihan warna seperti Graphite pada unit ulasan kami ini, Olive, Lavender atau juga White.
Hanya empat warna untuk FE tahun ini berbanding enam tahun lalu. Warna yang tidak ditawarkan tahun ini ialah Cloud Orange, dan Cloud Red. Sedikit mengecewakan kerana pilihan warna pelangi pada S20 FE membuatkannya unik berbanding peranti lain yang ditawarkan dalam warna-warna standard yang membosankan.
Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan
Keunikan Galaxy S21 FE ini adalah ia terus hadir dengan One UI 4.0 yang menjadikannya peranti pertama Samsung ditawarkan dengan sistem operasi Android 12 terus dari kotak. Pengalaman penggunaan peranti ini terasa lebih menarik dan sedikit berbeza dengan One UI 3. Walaupun tidak banyak beza dari segi visual,dalam masa singkat saya menggunakan S21 FE ini dapat dirasakan perbezaannya dan boleh dilihat ciri baru yang ditawarkan oleh Samsung.

Antara yang menarik pada hemat saya adalah penggunaan widget yang lebih menarik dan memberi kebebasan kepada pengguna untuk lebih kreatif dalam menyusun atur skrin utama peranti. Walaupun widget yang digunakan banyak yang tersendiri, aplikasi daripada Google yang sedia menyokong widget baharu Android 12 turut boleh digunakan. Seperti Android 12 asli, Samsung turut memberi tumpuan yang lebih baik kepada kawalan privasi.
Sebagai contoh pintasan pantas Camera Access dan Microphone Access boleh diaktifkan terus dari talam Quick Settings. Dengan hanya satu butang kamera dan mikrofon boleh dinyahaktifkan di tahap sistem untuk mengelakkan sebarang bentuk intipan.

Bahagian pengurus peranti – Device Care juga menjadi lebih menarik dengan rekaan yang mesra pengguna. Samsung juga menyertakan sokongan tambahan memori secara maya melalui ciri RAM Plus yang mengambil 4GB daripada storan dalaman sekaligus membolehkan peranti mempunyai sehingga 12GB RAM secara keseluruhan. Dengan kata lain semua ciri One UI 4.0 yang kini digunakan pada peranti seperti S21 Ultra dan Note20 Ultra turut diberikan kepada S21 FE.

Selain itu Samsung turut menawarkan ciri kustomasi warna, yang menawarkan palet warna berbeza yang ditetapkan sendiri mengikut keperluan pengguna. Memandangkan S21 FE adalah tergolong dalam kategori peranti mercu, ia disahkan menerusi tiga kemas kini versi Android dan kemas kini tampalan sekuriti selama empat tahun. Dari apa yang dapat dilihat pada tahun 2021, kelebihan paling ketara peranti Samsung berbanding pengeluar Android yang lain termasuk Google ialah kemas kini yang diberikan jauh lebih pantas pada pelbagai kelas peranti yang dijual.

Selepas menggunakan peranti ini sekitar seminggu, saya tidak menemui sebarang isu yang serius. Cip Exynos 2100 masih lagi sebuah cip yang berkuasa dengan tiada masalah untuk bermain permua dengan grafik tetapan tinggi. Saya tahu ramai yang kecewa dengan tiadanya cip Snapdragon tahun in memandangkan S20 FE hadir dengan cip Qualcomm.
Masalah yang kami hadapi adalah dalam bentuk pemanasan serta lengah masa yang berlaku secara rawak. Dalam penggunaan saya, bermain permua ringan dalam jangka masa panjang tidak ada masalah – tetapi sejurus aplikasi kamera dibuka ia terus menjadi perlahan. Manakala jika ada aplikasi media sosial lain yang berat seperti Facebook, 120Hz akan menjadi seakan 60Hz, kerana tatalan menjadi perlahan.
Walaupun begitu, dalam 90% situasi penggunaan harian tidak ada sebarang masalah serius dan ia peranti masih lancar seperti menggunakan peranti mercu tahun 2021 sahaja. Prestasi keseluruhan juga adalah setaraf dengan peranti Snapdragon 888, dengan skor AnTuTu boleh mencapai 714469 markah dan Geekbench 5 pula adalah 1062/3282 markah untuk satu teras/multi teras.

Kamera
Kamera juga memuaskan kualiti imejnya setanding dengan Galaxy S21 biasa. Perbezaan hanya terletak pada kamera telefoto yang kini dilengkapi dengan sensor 8MP sahaja dan bukannya 64MP pada S21. Bagi yang tertanya-tanya kedua-dua kamera sudut lebar serta telefoto dilengkapi sistem penstabilan OIS yang perlu bagi peranti mercu. Tanpa OIS gambar mod malam yang tajam dan gambar telefoto yang tidak kabur mustahil dapat diambil tanpa tripod. Pengguna OIS secara harfiah memberikan perbezaan kualiti antara langit dan bumi.




Perbandingan
Samsung Galaxy S21 FE | Samsung Galaxy S21 |
6.4″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+ 1080 x 2400, Victus | 6.2″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+ 1080 x 2400, Victus |
Exynos 2100 (5nm) 1 x 2.9 GHz Cortex-X1 3 x 2.80 GHz Cortex-A78 4 x 2.2 GHz Cortex-A55 | Exynos 2100 (5nm) 1 x 2.9 GHz Cortex-X1 3 x 2.80 GHz Cortex-A78 4 x 2.2 GHz Cortex-A55 |
Mali-G78 MP14 | Mali-G78 MP14 |
8GB + 4GB RAM Plus | 8GB |
128/256 GB | 256 GB |
Kamera Utama 12MP f/1.8 – Utama, OIS 8MP – f/2.4 – Telefoto, 3x Optikal, OIS 12MP f/2.2 – Sudut Ultra-Lebar, 123 darjah | Kamera Utama 12MP f/1.8 – Utama, OIS 64MP – f/2.0 – Telefoto, 3x Optikal, OIS 12MP f/2.2 – Sudut Ultra-Lebar, 123 darjah |
Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.2 | Kamera Hadapan 10-Megapixel f/2.2 |
IP68 | IP68 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo |
4500 mAh (Berwayar 25W) | 4000 mAh (Berwayar 25W) |
RM2899 8/128 GB RM3099 8/256 GB | RM3199 8/256 GB |
Kesimpulan
Secara keseluruhan, Galaxy S21 FE adalah lebih kurang sama sahaja dengan S21 biasa. Ada yang ditambah-baik dan ada juga kurangnya. Peranti ini tidak dinafikan baik sahaja untuk digunakan sepanjang hari, kerana ia tidak akan memberikan masalah serius seperti yang ramai sangkakan. Exynos sebenarnya adalah cip yang baik, kamera juga adalah cukup baik, skrin sudah semestinya masih antara yang terbaik dalam industri telefon pintar.

Menggunakan Android 12 secara terus tanpa perlu kemas kini dan tetapkan semula peranti, memang memberikan pengalaman yang baik. Cuma untuk tahun 2022 ini, pesaing sudah banyak melancarkan peranti yang jauh lebih hebat dengan spesifikasi yang berganda lebih baik pada harga hampir 50% lebih murah.
Setakat ini sahaja pandang pertama saya untuk Samsung Galaxy S21 FE. Untuk ulasan penuh nantikannya dalam masa terdekat. Berdasarkan penggunaan yang tidak begitu lama ini saya dapat melihat potensi peranti ini cuma wujud persoalan sama ada pengguna di luar sana mempunyai perasaan yang sama kerana wujud juga beberapa keterangan yang ketara.
Pro
- Binaan yang selesa di tangan dan masih rasa premium walaupun polikarbonat.
- Prestasi yang masih lancar dengan cip yang masih berkuasa.
- Skrin yang cantik untuk hiburan berpanjangan.
Kontra
- Kadar segar semula 120Hz tidak konsisten dalam penggunaan singkat ini.
- Lewat empat bulan ke pasaran dengan Galaxy S22 akan dilancarkan dalam masa kurang 3 minggu sahaja lagi.