Perkhidmatan penstriman muzik ada banyak di pasaran sekarang. Sama seperti video, mereka berperang di antara satu sama lain. masing-masing ada penawaran tersendiri yang unik untuk menarik pelanggan, seperti harga langganan murah, penstriman muzik nirhilang, atau kandungan yang ditawarkan.
Antara yang popular adalah Spotify, kerana antaramuka yang mesra pengguna serta kandungan yang lebih banyak. namun sejak Apple Music mula menawarkan penstriman audio nirhilang pada harga sama dan Spotify pula tunda pelancaran pelan mereka – Apple Music dilihat mula menarik perhatian orang ramai.

Terkini dalam laporan yang diterbit oleh MIDiA, iaitu syarikat kajian – mereka mendapati penggunaan platform penstriman muzik Apple Music telah meningkat di pasaran global sejak suku kedua 2021 tahun lepas. Daripada lebih sembilan platform dengan 523.9 juta pelanggan, Apple Music memegang sebanyak 15% dalam pasaran.

Apple Music dilihat berada di tempat kedua di bawah Spotify. Walaupun begitu, Spotify masih lagi pemegang majoriti pelanggan terbanyak dengan 31% (160 juta) secara keseluruhan. Spotify walau bagaimanapun tahun demi tahun pelanggan semakin berkurangan, kerana 2019 mereka pegang 34% dan pada tahun 2020 33%.
Dalam laporan ini juga, MIDiA mendedahkan yang YouTube Music juga dilihat semakin meningkat yang kini memegang 8%.