Cari @ Amanz

Batu penghalang kepada peranti berhubung (IoT) ialah sumber kuasa yang terhad. Fon telinga, jam tangan pintar, penjejak objek dan banyak lagi masih memerlukan bateri yang perlu dicas dengan kerap untuk beroperasi. Keperluan bateri juga menyebabkan saiz peranti menjadi agak besar. Oleh itu masa depan untuk IoT yang lebih baik ialah dengan menjadikannya nirbateri.

Oppo hari ini menerbitkan kertas putih untuk sistem Komunikasi Kuasa-Sifar (Zero-Power Communication) mereka untuk peranti IoT masa hadapan. Tanpa bateri, peranti akan mendapatkan sumber kuasa menerusi isyarat frekuensi radio sahaja seperti WiFi, bluetooth, menara televisyen, dan stesen selular yang banyak di sekeliling kita.

Dengan wujudnya sumber kuasa yang mudah, lebih banyak peranti IoT boleh digunakan tanpa risau mengenai hayat bateri dan hayat peranti itu sendiri kerana tiasa lagi isu bateri yang perlu ditukar selepas beberapa tahun. Antara peranti terawal yang boleh memanfaatkan Komunikasi Kuasa-Sifar ialah penjejak objek dan gelang yang dipasang pada haiwan liar untuk menjejak pergerakan mereka.

Oppo yakin dengan masa depan teknologi ini bukan sahaja di era 5G tetapi seterusnya juga untuk era 6G yang pastinya melihat lonjakan penggunaan peranti berhubung dalam kehidupan seharian. Menggunakan isyarat frekuensi radio bukanlah idea baharu. Di CES baru-baru ini Samsung teleh memperlihatkan Smart Remote terkini mereka yang mendapatkan bekalan kuasa menerusi isyarat WiFI di rumah pengguna.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd