Dua hari yang lalu Ericsson memfailkan saman ke atas Apple keran didakwa melanggar paten 5G yang dipegang oleh mereka. Ericsson memfailkan saman ke atas Apple kerana produk Apple seperti iPhone, iPad dan Apple Watch menggunakan ciptaan Ericsson yang merupakan sebahagian daripada perkara utama dalam piawaian industri untuk telekomunikasi, termasuk 5G.

Tetapi kini Apple memfailkan saman balas mereka pula ke atas Ericsson dengan sasaran untuk mengharamkan kelengkapan Ericsson dari diimport masuk ke Amerika Syarikat. Menurut Apple, Ericsson telah melanggar paten teknologi 5G mmWave pada kelengkapan telekomunikasi yang digunakan sekarang. Perbalahan di antara Apple dan Ericsson bermula selepas tempoh pelesenan teknologi LTE Ericsson tamat tetapi kedua-dua syarikat gagal mendapatkan persetujuan.
Dengan kedua-dua syarikat ingin mengharamkan produk masing-masing, jalan penyelesaian yang diambil ialah kembali ke meja perbincangan seperti yang telah dilakukan oleh Ericsson dengan Samsung tahun lalu.