Cari @ Amanz

Adakah pengambilan alkohol berbahaya kepada kesihatan. Terdapat pelbagai kajian sains dilakukan sebelum ini dengan saranan berbeza. Ada yang mendapati pengambilan alkohol yang sedikit boleh memanjangkan umur tetapi kajian Universiti Oxford tahun lau mengatakan alkohol adalah berbahaya kepada tubuh dalam apa jua kuantiti. Kajian terkini dari Universiti Oxford kini menemukan kaitan pengambilan alkohol mengakibatkan kanser.

Oxford bekerjasama dengan Peking University dan Chinese Academy of Medical Sciences, Beijing untuk mengkaji genetik individu yang mempunyai tahap ketahanan alkohol yang rendah dengan kebarangkalian menghidapi kanser. Pada individu berketurunan Cina dan Asia Timur, mutasi pada dua alel mengakibatkan mereka mempunyai ketahanan mengambil alkohol yang rendah. Akibatnya ia mengganggu fungsi enzim yang mengurangkan tahap alkohol dalam tubuh sehingga menghasilkan sebatian acetaldehyde – sebuah karsinogen kumpulan-1 dalam darah.

Kajian menggunakan data dari 150,000 peserta (60,000 lelaki dan 90,000 wanita) yang dikumpul oleh China Kadoori Biobank. Data yang dikumpul secara purata selama 11 tahun mendapati individu dengan alel tahap ketahanan alkohol rendah yang masih mengambil alkohol dalam jumlah yang banyak mempunyai risiko lebih tinggi menghidap kanser esofagus, leher dan kepala. Mereka yang mempunyai alel yang sama tetapi tidak meminum alkohol atau minum sekali sekala tidak menunjukkan peningkatan risiko kanser.

Keputusan kajian adalah sama selepas faktor lain seperti menghisap rokok. diet, aktiviti fizikal, berat tubuh dan sejarah kanser dalam keluarga diambil kira. Oleh itu penyelidik yakin terdapat kaitan jelas pengambilan alkohol dan risiko menghidapi kanser. Kajian akan diteruskan untuk melihat sama ada wujud perkaitan yang sama pada individu berketurunan Eropah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd