Vivo Y75 5G Mungkin Dilengkapi Dimensity 700 – Pengenalan Tidak Lama Lagi

Diterbitkan pada Jan 24, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Vivo Y76 5G telah diumumkan di Malaysia dengan tanda harga RM1299. Ia merupakan peranti dengan janaan cip Dimensity 700, kamera 50MP dan bateri dengan pengecasan pantas 44W. Ia juga boleh didapati dalam dua pilihan warna seperti Cosmic Aurora dan Midnight Space.

Dalam perkembangan terkini, terdapat sebuah lagi peranti Vivo di bawah diri yang sama bakal diumumkan. Dikenali sebagai Vivo Y75, ia bakal dilancarkan di India tidak lama lagi. Pengenalannya juga telah mula diacah menerusi poster rasmi yang kini tular menerusi ciapan terkini Vivo India di Twitter.

Ia juga telah disahkan hadir dengan rangkaian 5G terbina. Di samping itu, rekaan panel belakangnya turut telah diperlihatkan. Meskipun agak samar mengenai rekaannya, namun beberapa imej pengolokan tular menunjukkan peranti akan mempunyai sistem tri-kamera utama. Dua daripadanya disusun kemas secara menegak, sementara itu satu lagi sensor diletakkan bersebelahan.

Turut boleh dilihat, Vivo masih belum boleh lari daripada penggunaan takuk. Melaluinya, ia memuatkan lensa swafoto tunggal bersama ketebalan bezel yang hampir sama besar di bahagian sisi. Peranti juga akan mempunyai port sambungan USB-C, bicu audio 3.5mm dan pembesar suara pada bahagian bawah. Tidak ketinggalan, ruang slot SIM pula berada pada bahagian atas.

Setakat yang diketahui, Vivo Y75 5G mungkin menggunakan cip MediaTek Dimensity 700, kamera 50MP, bateri 5,000mAh yang menyokong pengecasan 18W. Seterusnya, ia juga dipadankan dengan memori 8GB RAM (tambahan 4GB RAM) dan storan dalaman pula sebesar 128GB. Buat masa ini, belum ada perkongsian lanjut mengenai tarikh pelancaran rasmi. Sama-sama kita nantikan.

Sumber : Vivo India

komen


© Amanz / 2022 Kami