Tahun 2021 telah melabuhkan tirai dan kini tibanya tahun 2022 dengan hadapan landskap teknologi bakal dipenuhi dengan lambakan peranti yang menarik. Tahun ini turut sama memperlihatkan para pengeluar hadir dengan pelbagai penawaran baharu untuk rangkaian produk masing-masing. Ini termasuklah Realme yang baru sahaja memperkenalkan Realme 9i sekitar minggu lalu. Ia menjadi antara peranti terawal yang menggunakan cip Snapdragon 680 di Malaysia. Menurut Realme, ia menjanjikan peningkatan kuasa CPU sehingga 25% dan peningkatan GPU sehingga 10% berbanding Snapdragon 662. Tapi, bagaimanakah prestasi peranti ini dalam dunia nyata? Ini adalah perkongsian kami untuk pengalaman penggunaan peranti dengan lebih menyeluruh.
Spesifikasi Peranti
Realme 9i | |
---|---|
Skrin | 6.6-inci IPS LCD, 1080 x 2400 (FHD+), 90Hz |
Pemproses | Snapdragon 680 4G (6 nm) |
Cip | 4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold 4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver |
Cip Grafik | Adreno 610 |
RAM | 4GB |
Muatan Dalaman | 128GB |
Kamera Utama | 50 + 2 + 2 Megapixel (f/1.8 + f/2.4 + f/2.4), [email protected] |
Kamera Depan | 16-Megapixel (f/2.1), [email protected] |
Bateri | 5,000mAh Pengecasan Pantas 33W |
SIM/Telefoni | SIM Nano + SIM Nano + MicroSD |
NFC | Tiada |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas Cap Jari Sisi Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM799 (4GB/128GB) RM869 (6B/128GB) |
Realme 9i merupakan sebuah peranti kelas pertengahan. Seperti yang kami katakan, ia merupakan antara peranti terawal di Malaysia yang menggunakan cip Snapdragon 680. Daripada segi rekaan luaran, ia cukup kemas dan cantik. Keadaan ini boleh dilihat menerusi rekaan panel belakang serba baharu dengan kemasan yang digelar sebagai Stereo Prism Design. Ia hadir dengan dua pilihan warna menarik seperti Prism Blue dan Prism Black, ini sekaligus menjadikannya tampak lebih mengujakan. Ditambah lagi dengan efek berjalur bersama pantulan warna yang berkilauan, sekilas pandang peranti ini seakan menggunakan binaan berasaskan kaca.

Tetapi, tidak sama sekali. Sebaliknya, ia hanya menggunakan tubuh dengan binaan berasaskan polikarbonat berkilat. Idea ini menarik, tetapi sayangnya, salah satu masalah ketara yang dihadapi oleh kami adalah kotoran cap jari yang mudah sangat melekat. Pada masa sama, penjagaan rapi harus dilakukan sekiranya anda mahukan peranti kekal cantik dan malar hijau meskipun sudah makan tahun. Penggunaan bahan polikarbonat turut menimbulkan kebarangkalian untuk peranti terdedah kepada kesan calar halus adalah tinggi. Pada masa sama, terdapat juga berbagai punca lain yang turut sama menyumbang kepada berlakunya permasalahan ini. Kebiasaannya, ia melibatkan kesan calar daripada kunci kereta atau sebarang benda yang tajam.

Seterusnya, Realme 9i menggunakan panel hadapan sebesar 6.6-inci LCD dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 90Hz. Ia juga mempunyai kadar pensampelan sentuh 180Hz dan kepadatan piksel 401 ppi. Melengkapinya adalah skrin sejenis rata dengan bezel yang seimbang pada bahagian sisi dan atas peranti. Namun begitu, tidak pada bahagian bawah yang jelas menunjukkan wujudnya dagu yang agak tebal. Kewujudannya bagaimanapun tidak mengganggu penggunaan mahupun mencacatkan pandangan ketika menonton kandungan video sewaktu keseluruhan skrin digunakan.

Tetapi lain pula ceritanya untuk kewujudan lubang kamera pada bucu atas kiri. Ia menempatkan kamera swafoto tunggal dengan konfigurasi sebesar16-Megapixel. Sama ada rasa terganggu atau tidak, ia bergantung kepada pengguna itu sendiri. Tambahan pula, sebilangan besar peranti pintar ketika ini sedia hadir dengan rekaan sebegini. Tetapi adalah lebih baik sekiranya, ciri kebolehan menyembunyikan lubang turut disertakan pada peranti. Sayangnya, ciri berkenaan tidak ditemui pada Realme 9i.

Kemudian, panel belakang pula menempatkan modul kamera berbentuk segi empat dengan tiga kamera di dalamnya. Kalau perasan, ia sememangnya mirip dengan Realme GT Neo2 yang kami pernah ulas sebelum ini. Bonggol kameranya cukup kemas, namun peranti sukar diletakkan secara rata pada permukaan meja. Namun usah runsing, permasalahan ini boleh diselesaikan dengan penggunaan kerangka. Realme juga bermurah hati memberikannya secara percuma di dalam kotak pembelian.

Tetapan kamera utama terdiri dengan 50-Megapixel untuk lensa utama, lensa potrait 2-Megapixel dan lensa makro 2-Megapixel. Tiada sokongan untuk OIS dan penstabilan terbina yang disertakan. Sekali lagi, hal yang menjadi persoalan adalah pemilihan lensa potret dan makro yang dirasakan sekadar gimik. Macam yang kami katakan dalam artikel pandang pertama sebelum ini, penggunaan lensa ultra-lebar dirasakan lebih baik. Sebabnya, ia cukup berguna untuk tangkapan gambar secara beramai-ramai tanpa perlu berhimpit. Tambahan pula, penangan Covid-19 ketika ini meminta kita untuk menjaga jarak di antara satu sama lain. Untuk rakaman video, peranti bole boleh dilakukan dengan kemampuan mencapai 1080P/30fps tanpa sebarang fungsi penstabilan yang disertakan.

Melengkapi peranti, sebuah bicu audio yang diletakkan pada bahagian bawah. Kami boleh memuji tindakan Realme ini kerana kewujudan bicu audio ini sudah semestinya akan menggembirakan hati kebanyakan pengguna. Mana tidaknya, tidak semua pengguna yang bersedia untuk berubah angin kepada penggunaan TWS. Seterusnya, port sambungan USB-C dan pembesar suara turut diletakkan pada bahagian yang sama. Lebih menariknya di sini, pembesar suaranya menyokong sistem audio stereo.
Perisian & Penggunaan
Di sinilah bermulanya kami akan bahaskan apakah perkara menarik dan tidak menarik yang terdapat pada peranti dengan lebih menyeluruh. Meneruskan artikel, perlu anda tahu sememangnya terdapat beberapa penambah baikan yang telah dibuat jika nak dibandingkan dengan pendahulunya iaitu Realme 7i. Kami membandingkannya dengan Realme 7i kerana Realme 8i tidak ditawarkan untuk pasaran Malaysia.
Pertama sekali, mari kami sentuh soal skrin. Sungguhpun tidak sebaik AMOLED, perlu kami akui paparannya masih mampu memberikan pengalaman penggunaan yang baik. Melihat pada penghasilan semula warnanya di sini, ia benar-benar terang dan nampak cantik. Ia juga boleh dikatakan hampir tidak mengecewakan sewaktu digunakan untuk menonton kandungan video dan bermain beberapa permua.

Pada masa sama, penggunaan di luar bangunan juga tidak mendatangkan masalah dengan kecerahan di tahap maksima. Seterusnya, kebolehan kadar segar semula 90Hz yang disertakan turut sama memberikan pengalaman penggunaan yang baik. Tiada masalah melampau yang ditemui sepanjang ulasan dibuat. Bercakap lebih lanjut mengenainya, ia merupakan antara peranti terawal di Malaysia yang menggunakan cip Snapdragon 680.
Ini merupakan cip dengan binaan 6nm dan ini boleh dianggap menarik kerana agak sukar untuk kita melihat peranti kelas pertengahan dilengkapi cip dengan binaan sebegini. Perlu juga anda tahu, ia merupakan cip 4G maka jelasnya di sini yang mana Realme 9i tidak menyokong rangkaian 5G secara terbina. Bukan apa, kami perasan ramai yang bertanyakan soalan mengenai rangkaian pada peranti ini di dalam video pandang pertama sebelum ini. Oleh itu, diharapkan dengan penjelasan ini secara tidak langsung telah menjawab segala persoalan tersebut.
Melengkapinya, sokongan memori sehingga 6GB RAM. Menariknya di sini, ia turut dipadankan dengan RAM maya mencapai 5GB RAM – tetapi ia bergantung kepada model peranti itu sendiri. Maksudnya di sini, Realme 9i dengan 4GB RAM menawarkan RAM maya mencapai 3GB RAM. Sementara itu, model dengan 6GB RAM pula dipadankan dengan RAM Maya mencapai 5GB RAM. Kedua-duanya bagaimanapun mempunyai ruang storan dalaman yang sama iaitu 128GB dan ruang tambahan menerusi kad microSD dengan kapasiti maksimum 1TB.

Perlu diakui, peranti sememangnya mampu berfungsi dengan baik untuk sejumlah besar aktiviti harian biasa. Sepanjang ulasan dibuat, boleh dikatakan kami hampir tidak menghadapi masalah multi-tasking sewaktu menggunakannya. Ini termasuklah penggunaan untuk menatal media sosial, melayari web untuk bacaan artikel yang panjang, proses menangkap pelbagai gambar serta video dan sebagainya. Namun begitu, anda tidak boleh mengharapkan pengalaman permua yang baik melaluinya. Beberapa permainan intensif masih boleh dimainkan, tetapi ia tidak begitu hebat. Sungguhpun begitu, perkara menariknya di sini peranti tidak memberikan isu memanas yang melampau.
Jenis Permainan | Tetapan Lalai | Tetapan Tertinggi |
---|---|---|
MLBB | High / High | High / Ultra |
PUBG | Smooth / Medium | Smooth / High Balanced / Medium |
COD | Medium / Medium | Medium / Very High Low / High |
Realme 9i menggunakan sistem operasi Android 11 yang dibina berasaskan pelancar RealmeUI 2.0. Ini adalah ciri yang digunakan pada peranti beberapa peranti Realme terkini mereka. Bercakap lebih lanjut mengenainya, kita sedia tahu Realme UI sememangnya kaya dengan kemampuan kostumasi yang pelbagai Kebanyakannya dilihat mesra pengguna dan boleh digunakan dengan baik sekali. Melaluinya, terdapat pelbagai fungsi yang boleh ditemui. Misalnya, mod tema gelap yang boleh diubahsuai, game space, Smart Sidebar, dan banyak lagi. Pada masa sama, terdapat juga sokongan untuk tetingkap terapung yang membolehkan penggunaan peranti lebih cekap. Tetapi seperti biasa, permasalahan yang tidak boleh dielak adalah kewujudan aplikasi gendut yang sedia dimuat-turun.


Kamera
Bahagian seterusnya adalah kamera. Seperti kebanyakan peranti dalam kelas sebegini, selagi gambar diambil pada pencahayaan yang cukup. Hasilnya akan baik. Kualiti gambar yang diambil boleh dilihat sendiri menerusi perkongsian di bawah. Cumanya, penghasilan semula gambar dan tona warna untuk sesetengah situasi adakalanya tidak konsisten. Di mana, adakala ianya terlalu terang, pekat dan sebaliknya. Misalnya dalam situasi tertutup, kontras pada sesetengah situasi dinaikkan sehinggakan tona warna terlebih jitu.






Secara tidak langsung, hasil gambar kelihatan tidak semula jadi. Pada masa sama, perincian pada gambar juga akan mula hilang. Ia bagaimanapun, bergantung kepada penerimaan diri masing-masing. Sebabnya, ada sahaja pengguna yang menyukai hasil yang sebegini. Sebabnya, ia juga menarik untuk dikongsikan terus ke media sosial tanpa memerlukan sebarang suntingan tambahan.
Kamera juga boleh dizum sehingga 10X. Namun begitu, hasil yang dirasakan baik hanyalah sehingga 5X. Selebihnya, imej kemudiannya akan menjadi pecah dan kabur. Kemudian, ketiadaan sokongan untuk OIS juga menyebabkan viewfinder menjadi terhuyung-hayang sehingga sedikit menyukarkan proses tangkapan gambar yang diingini.




Realme 9i juga dibekalkan mod malam terbina yang sepatutnya membantu untuk tangkapan gambar dalam pencahayaan rendah. Dapat dilihat, hasilnya adalah bergantung pada situasi sekeliling. Di mana, sesetengah keadaan menunjukkan hasil yang memuaskan dengan pewarnaan yang boleh diterima. Tetapi, sesetengah situasi memberikan hasil yang tidak berkualiti dengan perincian yang hilang dan masalah hingar sangat ketara. Sekali lagi kami katakan, prestasi kamera keseluruhannya adalah tidak konsisten. Kamera makro 2MP pula tidak ada yang istimewa. Adalah lebih baik sekiranya sensor ultra-lebar digunakan sebagai pengganti.
Audio & Sistem Sekuriti
Tidak dinafikan, kebanyakan daripada kita sering merungut mengenai tindakan Realme yang begitu gemar memberikan pembesar suara mono pada perantinya. Tetapi, tidak untuk peranti ini yang menyokong sistem audio stereo. Bercakap mengenai kualitinya, ia mempunyai kemampuan yang baik. Bunyi yang terhasil adalah seimbang dan jelas untuk didengari. Dalam erti kata mudah, audio boleh dimainkan dengan baik tanpa masalah pada peranti ini. Begitu juga dengan kemampuan sistem sekuritinya. Seperti yang diketahui, pengimbas cap jari yang terbina di sisi lebih memudahkan pengguna. Prestasinya juga memuaskan dengan kebolehan menyahkunci peranti dengan tepat dengan syarat jari sentiasa bersih dan tidak basah.
Bateri
Realme mempunyai bateri sebesar 5,000mAh yang turut menyokong pengecasan pantas 33W. Ketahanannya adalah baik dengan bacaan SOT melebihi 7 jam lamanya untuk penggunaan biasa. Ia bagaimanapun, ketahanan ini mampu meningkat melebihi sehari suntuk untuk penggunaan yang sederhana. Seterusnya, proses pengecasan pula mengambil masa sekitar 1 jam dan 10 minit untuk mengecas penuh peranti.

Telefoni & GPS
Perlu kami ingatkan sekali lagi, Realme 9i tidak menyokong rangkaian 5G secara terbina. Oleh itu, kami sekadar menguji rangkaian 4G sahaja setakat ini. Panggilan telefon boleh diterima dengan terang dan jelas lengkap dengan VoLTE secara terbina. Pada masa sama, capaian GPS juga baik dengan lokasi dapat dijejak dengan pantas apabila diuji menggunakan Waze dan Google Maps.
Pesaing Peranti
Realme 9i | Oppo A95 | Honor 50 Lite |
6.6-inci IPS LCD, 1080 x 2400 (FHD+), 90Hz | 6.43-inci AMOLED 60Hz, FHD+ (1080 x 2400 piksel) (~409 ppi) | 6.67-inci IPS LCD, FHD+ (1080 x 2376 pixel, (391 PPI) |
Snapdragon 680 4G (6 nm) 4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold 4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver | Snapdragon 662 (11 nm) 4 x 2.0 GHz Kryo 260 Gold 4 x 1.8 GHz Kryo 260 Silver | Snapdragon 662 (11nm) 4 X 2.0 GHz Kryo 260 Gold 4 X 1.8 GHz Kryo 26o Silver |
Adreno 610 | Adreno 610 | Adreno 610 |
4GB/6GB RAM 128GB ROM | 8GB RAM 128GB ROM | 8GB RAM 128GB ROM |
Utama – 50MP (f/1.8) Makro – 2MP (f/2.4) Potret – 2MP (f/2.4) | Utama – 48MP (f/1.7) Makro – 2MP (f/2.4) Kedalaman – 2MP (f/2.4) | Utama – 64MP (f/1.9) Ultra-Lebar – 8MP (f/2.4) Kedalaman – 2MP (f/2.4) Makro – 2MP (f/2.4) |
16MP (f/2.4) | 16MP (f/2.4) | 16MP (f/2.0) |
Tidak Kalis Air | Tidak Kalis Air | Tidak Kalis Air |
Bicu Audio 3.5mm | Bicu Audio 3.5mm | Bicu Audio 3.5mm |
Audio Stereo | Audio Mono | Audio Mono |
5,000mAh Pengecasan 33W | 5,000mAh Pengecasan 33W | 4300 mAh Pengecasan 66W |
RM799 (4GB / 128GB) RM869 (6GB / 128GB) | RM1,099 (8GB / 128GB) | RM 999 (8GB / 128GB) |
Kesimpulan
Pembukaan tahun 2022 memperlihatkan Realme memulakan pertaruhan dengan peranti 4G terlebih dahulu. Beberapa penambahbaikan juga telah dilakukan oleh Realme pada model baharu ini. Antaranya seperti skrin dengan resolusi lebih baik, memori dan storan dalaman lebih besar, sistem audio stereo dan bateri dengan pengecasan yang dipertingkatkan. Penggunaan kasual adalah baik sekali dan pujian turut boleh diberikan kepada ketahanan jangka hayat bateri yang baik.


Namun begitu, prestasi permua sekadar sederhana. Oleh itu, sekiranya prestasi menjadi keutamaan dan anda adalah pemain permua yang tegar, rasanya ia tidak disyorkan. Ketiadaan lensa sudut lebar juga telah ‘mencacatkan’ peranti ini sendiri. Bagi yang berminat, Realme 9i ditawarkan dalam dua variasi dengan harga bermula RM799 (4GB/128GB) dan RM869 (6GB/128GB). Namun begitu, hanya model 6GB/128GB yang tersedia buat masa ini. Ketersediaan untuk model lebih rendah akan diumumkan pada tarikh yang bakal dikongsi kelak.
Pro
- Rekaan yang selesa dipegang.
- Resolusi skrin yang dipertingkatkan berbanding model terdahulu.
- Memori dan storan lebih besar.
- Pengecasan pantas dengan kuasa output mencapai 33W.
- Pembesar suara stereo.
Kontra
- Bukan untuk permua tegar.
- Kapasiti bateri agak kecil.
- Penggunaan skrin IPS LCD yang baik-baik sahaja.
- Lensa potret dan makro sekadar gimik.
